uthm2
uthm2

UTHM raih Anugerah Reka Bentuk Terbaik di Robocon Malaysia 2022

Nor Azma  Muhamat Laila
14 Jun 2022 03:28pm
A
A
A

PULAU PINANG – Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memenangi Anugerah Khas Robocon Malaysia 2022 bagi kategori Reka Bentuk Terbaik, baru-baru ini.

Kumpulan pelajar UTHM yang diselia oleh Ir Dr Budiman Azzali Basir dan Rosley Sawarno mempertaruhkan robot mereka yang dikenali sebagai R1 dan R2 di pertandingan yang melibatkan penyertaan 24 pasukan dari 20 universiti seluruh negara.

Mereka terdiri daripada Muhammad Zulhilmi Naim Azmi, Ahmad Haziq Ahmad Yusof, Nurul Ainaa Juhari, Nur Fazrina Abdul Rahim, Ahmad Zaim Amin Selamat, Nur Fazlin Mohamad Idros, Mohammad Izzat Azahar, Ahmad Syarizal Mohd Zubir, Mahamat Idriss Mahamat, Mohd Izzul Ariffi Ardani dan Muhammad Azharruddin Angsor.

Menurut Budiman, rekaan robot ini berasaskan konsep modular iaitu base module, control module dan game module.

“Robot R1 menggunakan swerve drive mechanism yang mana pasukan UTHM menjadi pasukan pertama membangunkan dan menggunakan mekanisma 'swerve drive' dalam pertandingan Robocon peringkat kebangsaan.

“Ia juga mempunyai 'shooting mechanism' yang dipasang pada dasarnya dengan dua degree of freedom (DOF), membolehkan ia menyasarkan bola ke Ball on Head pihak lawan.

“Reka bentuk robot yang berkonsepkan 'plug and play' serta unik ini adalah disebabkan ciri-ciri mekanismanya yang belum pernah digunakan di dalam pertandingan Robocon Malaysia sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu Dekan FKEE, Profesor Madya Dr Rosli Omar turut merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan ini.

“Saya berharap kejayaan ini dapat memberi motivasi kepada pasukan akan datang dan pelajar-pelajar lain untuk terus bersaing, sentiasa melihat ke hadapan dan juga berusaha mengharumkan nama universiti.

“Program ini bukan sekadar satu pertandingan, ia juga merupakan platform bagi pelajar untuk mempelajari reka bentuk, kemahiran baharu dan mewujudkan jaringan kerjasama bersama universiti luar,” ujarnya.

Artikel berkaitan

MPP UTHM sesi 2021/2022 terima watikah pelantikan, teruskan kesinambungan kepimpinan terdahulu

UTHM cipta rekod MBOR hasilkan dron kargo saiz besar pertama di Malaysia

Gadis Cina fasih berbahasa Melayu, Mek Yun UTHM raih 2 anugerah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok