no image

6 pelajar terima 'laptop', janji akan cemerlang dalam pengajian

Roshlawaty Md Raieh
08 Jun 2022 05:29pm
A
A
A

Menerima komputer riba secara percuma sudah cukup menggembirakan hati sesiapa sahaja.

Apatah lagi, jika yang mendapatnya adalah dalam kalangan mereka yang masih bergelar pelajar.

Bagi pelajar Tahun Satu, Bacelor Perakaunan (Kepujian) Universiti Putra Malaysia (UPM), Salamullah Kamsol, dipilih sebagai salah seorang penerima komputer riba, semestinya membuatkan dirinya terharu dan sebak.

“Harga sebuah laptop di pasaran sangat mahal dan saya tak mampu membelinya.

“Tetapi, bila nama dipilih sebagai salah seorang penerima, sudah tentu saya dan ahli keluarga yang lain gembira dan sebak.

"Harapnya selepas ini saya dapat belajar dan menyiapkan tugasan dengan sempurna,” katanya yang nekad akan belajar bersungguh-sungguh dan mencipta kecemerlangan dalam pengajian.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Putra Cakna Alumni Care: Hearr2Heart di Pusat Perhubungan Alumni UPM, baru-baru ini.

Selain Salamullah, turut menerima laptop tersebut adalah Thing Jing Xuan (Bacelor Sains Biokimia); Nurdinie Azlan (Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu); Meena A/P Shanmuganathan (Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan (Kepujian); Nur Arifah Arbanah Md Ramli (Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dengan Kepujian) dan Noraisyah Izzati Abdul Rahman (Bacelor Doktor Perubatan Veterinar).

Kesemua penerima ini adalah pelajar ambilan tahun pengajian 2021/2022.

Penyerahan peranti kepada pelajar terpilih telah disempurnakan oleh Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan juga Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Profesor Madya Dr Arba'ie Sujud.

Hanya lima pelajar sahaja yang hadir pada hari tersebut manakala Nur Arifah Arbanah tidak dapat hadir kerana positif Covid-19.

Bagaimanapun, pelajar ini telah dijemput secara dalam talian di Google Meet sebagai salah satu cara meraikannya sebagai penerima sumbangan tersebut.

Sementara itu, Jing Xuan ketika ditemui tidak menafikan dia sememangnya memerlukan sebuah komputer riba baharu.

“Sebelum ini, saya sudah ada sebuah komputer riba, tetapi ia sudah uzur dan kerap rosak.

“Tetapi, bila diberitahu yang saya akan menerima ‘laptop’ ini, semestinya diri gembira.

"Sekurang-kurangnya saya dapat meringankan beban kewangan keluarga yang tidak mampu untuk membeli gajet mahal tersebut,” jelas anak kelahiran Johor ini.

Salamullah (kiri) dan Jing Xuan merupakan antara penerima komputer riba, baru-baru ini.

Program Putra Cakna Alumni Care: Hearr2Heart merupakan program kerjasama Persatuan Alumni UPM (PAUPM) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP).

Ia merupakan program mengumpul dana sumbangan daripada alumni dengan pemberian bantuan berupa komputer riba kepada pelajar UPM terutamanya golongan B40 yang terpilih secara one-off.

Ia juga memberi peluang kepada barisan alumni yang melahirkan hasrat mahu membantu para pelajar yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sebanyak empat kriteria pemilihan telah dilakukan oleh penganjur dalam memilih pelajar yang berkaitan.

Kriteria tersebut adalah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM4,000 kerana amanah sumbangan ini adalah untuk golongan fakir, asnaf dan B40, memperoleh CGPA 3.00 dan ke atas pada semester pertama, masih tidak mempunyai peranti/rosak dan tidak mampu untuk memilikinya dan mendaftar dengan Pusat Pengurusan Zakat, Wakaf dan Endowmen UPM.

Artikel berkaitan 

Alumni kibar bendera universiti di puncak tertinggi dunia, jayakan misi UPM di Puncak Dunia@Everest

Kueggen harumkan nama UM dan negara dalam sukan karate. Tahniah!

Membanggakan! 4 pelajar Malaysia diterima sambung pengajian ke Akademi Tentera AS


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok