Untitled design (70)
Untitled design (70)

Program Pertukaran Pelajar ibarat sambil menyelam minum air – Nur Diyanah

Azleenda SahaludinAzleenda Sahaludin
16 Jan 2023 05:01pm

"Jangan jadi katak di bawah tempurung." Itulah ungkapan pelajar tahun akhir, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang kini berada di Jepun bagi Program Pertukaran Pelajar ke Shibaura Institute Technology (SIT).

Nur Diyanah

Sebelum ini, Nur Diyanah Hazwani Abdul Roni, 24, berangkat ke negara matahari terbit itu pada 9 September tahun lalu selama dua semester dan dijangka pulang ke tanah air pada September ini.

Lebih kurang empat bulan berada di sana, Nur Diyanah berkongsi beberapa pengalaman menarik selain turut mempunyai keluarga angkat.

Kata pelajar ijazah sarjana muda, Kejuruteraan Elektronik itu, perkenalan singkat dengan seorang pelajar Jepun yang menunjukkan minat dalam budaya dan bahasa Melayu telah mengakrabkan hubungan mereka.

Malah, keluarga pelajar berkenaan turut menganggap Nur Diyanah seperti anak sendiri sehingga dia tidak berasa sunyi sepanjang berjauhan dengan keluarga.

“Setiap tahun baru, budaya masyarakat Jepun akan menyambut satu perayaan di mana mereka akan mengambil satu kertas yang tertulis satu azam baru di kuil.

“Untuk itu, mereka juga telah menjemput saya untuk bersama-sama meraikan sambutan tahun baru itu selain mempelajari budaya Jepun.

“Ini ibarat satu peluang untuk saya mendalami budaya mereka sepanjang bergelar pelajar di sini, bak kata pepatah sambil menyelam minum air,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

 Cabaran yang dihadapi

Selain itu, anak kelahiran George Town, Pulau Pinang tersebut juga berkongsi antara cabaran yang perlu ditempuh lebih-lebih lagi Jepun kini mengalami musim sejuk.

Tuturnya, walaupun sudah memakai lapisan baju yang tebal namun suasana sejuk tetap dirasai sehingga menyebabkan Nur Diyanah terpaksa membuka pemanas bilik selama 24 jam.

Nur Diyanah memberitahu, dia turut memakai pek pemanas di dalam pakaiannya supaya dirinya tidak terganggu oleh cuaca sejuk sehingga menjejaskan fokus dalam pembelajaran.

Katanya lagi berkongsi satu fakta mengenai masyarakat Jepun, mereka akan minum minuman alkohol ketika cuaca sejuk untuk memanaskan badan.

 Persiapan menyambut Ramadan dan Raya Aidilfitri

Pada masa yang sama, Nur Diyanah turut bercerita persiapan bakal menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi di Jepun.

Jelasnya, walaupun ini merupakan kali pertama berjauhan dengan keluarga terutamanya ketika sambutan Ramadan dan Aidilfitri namun dia sama sekali tidak gusar kerana ramai rakyat Malaysia yang senasib dengannya turut mengadakan sambutan di Masjid Tokyo.

“Alhamdulillah, rakyat Malaysia di sini sangat membantu dan sentiasa bersedia memberi pertolongan jika diperlukan.

“Mereka sentiasa memberitahu dalam kumpulan Whatsapp tentang aktiviti yang dijalankan pada hujung minggu dan ketika perayaan kelak,” ujarnya lagi.

Artikel berkaitan

Muhammad Faris dan Chun An, graduan cemerlang UTHM terima Anugerah Pelajaran DiRaja

Panduan melahirkan graduan dinamik dan holistik, ini perkongsian pakar UTHM

126 graduan dirai dalam Majlis Konvokesyen Program Eksekutif UTHM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp