Gambar kecil, Profesor Emeritus Tan Sri Anuar (kiri) dan Profesor Ts Dr Rabiah (kanan)
Gambar kecil, Profesor Emeritus Tan Sri Anuar (kiri) dan Profesor Ts Dr Rabiah (kanan)

Integrasi TVET inovatif bersama elemen ESG pacu ekonomi negara

06 Nov 2025 08:30am

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin mendapat perhatian Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO).

Malaysia memberi perhatian serius untuk meningkatkan penghasilan bakat untuk dikategorikan sebagai tenaga mahir melalui laluan pendidikan berunsur teknikal dan vokasional.

Secara asas, institusi TVET terdiri daripada tiga peringkat iaitu sekolah, kolej dan universiti.

Keprihatinan pihak kerajaan dalam memacu TVET dapat dilihat melalui penubuhan Majlis TVET negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, penting bagi kita terutama golongan akademia di universiti bersifat lebih agresif dalam meningkatkan kualiti bakat TVET agar dapat memenuhi peluang pekerjaan di pelbagai sektor dengan tujuan meningkatkan ekonomi negara.

Antara komponen yang perlu diintegrasikan dalam kerangka pendidikan TVET ini adalah elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus yang baik atau dalam bahasa Inggeris disebut Environment, Social & Good Governance (ESG).

Apakah elemen ESG dan bagaimana ia dapat meningkatkan nilai tenaga mahir graduan TVET?

TVET Inovatif

Artikel Berkaitan:

Kita sering mendengar pendidikan TVET di corong radio dan kaca televisyen.

Namun mungkin ramai dari kita masih kabur apakah komponen kriteria utama bakat dalam bidang TVET ini.

Adakah perbezaan di antara graduan TVET dan bukan TVET? Atau wajarkah kita klasifikasikan graduan dari program TVET atau program hanya bersifat TVET?

Kesemua persoalan ini sering bermain di fikiran namun kita boleh simpulkan dengan ringkas mengikut tafsiran dari UNESCO, pendidikan TVET adalah satu pendidikan dan latihan yang menjurus ke arah pekerjaan yang menekankan amalan industri dalam pelbagai bidang berkaitan.

Penting di sini adalah pendidikan dan latihan yang menekankan kepada amalan industri.

Bagi memastikan bidang TVET menepati keperluan industri, kolaborasi terpandu dalam membina amalan terbaik dan efektif mampu meningkatkan produktiviti.

Tenaga pengajar TVET perlu lebih inovatif dalam sesi pengajaran dan makmal.

Kemahiran dan ilmu bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kecerdasan buatan (AI) antara elemen inovatif perlu ada dalam pendidikan TVET.

Selain TVET inovatif, pemacu industri dunia telah menyatakan bahawa tenaga mahir yang lebih lestari amatlah penting.

Tenaga mahir ini datang dari graduan yang memahami konsep amalan menjaga alam sekitar, menghormati masyarakat dan berupaya mengurus dengan berpandukan kepada prinsip tatakelola yang tersusun baik.

Oleh itu pihak institusi pendidikan tinggi dan industri perlu melaksanakan proses integrasi dalam TVET inovatif dengan elemen persekitaran, masyarakat dan tadbir urus yang baik.

Mengenali kerangka ESG

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah menggariskan Kerangka Kebangsaan Industri Persekitaran, Sosial dan Tadbir urus atau National Industry Framework for ESG (NiESG).

Kerangka ini sebagai panduan kepada industri dalam mengurus isu perubahan iklim, menyantuni masyarakat, bijak tadbir urus sumber.

Secara lebih terperinci sektor industri perlu melihat tiga elemen penting iaitu:

(i) Elemen persekitaran (environment), dalam meletakkan indikator pencapaian keuntungan syarikat, pihak pengurusan perlu menjaga kelestarian alam, kehijauan bumi, penjimatan tenaga, pengurusan sisa serta pelepasan gas rumah hijau.

(ii) Memastikan masyarakat tempatan mendapat manfaat dan impak dari hasil ekonomi.

(iii) Mengaplikasikan tadbir urus telus dan beretika.

TVET inovatif dan ESG memacu ekonomi

Setelah menyentuh serba sedikit asas berkenaan TVET inovatif dan ESG, bagaimana ia berfungsi sebagai pemacu ekonomi negara?

Ekonomi Madani membawa Malaysia ke arah mampan dan sejahtera melalui dua fokus utama iaitu 'Malaysia Peneraju Ekonomi Asia' dan 'Meningkatkan Kualiti Hidup Rakyat'. 

Integrasi TVET inovatif bersama kerangka ESG

Integrasi TVET inovatif bersama elemen ESG dijangka dapat memberi nilai tambah kepada kualiti graduan.

Integrasi secara lebih berstruktur dan terpandu penting untuk dilaksanakan di semua peringkat pendidikan tinggi.

Elemen ESG mungkin telah atau boleh disuntik dalam inisiatif TVET inovatif melalui Kilang Pengajaran, Makmal Hidup dan Pembangunan Kurikulum.

Bagi memastikan proses integrasi terlaksana, hubungan institusi pendidikan TVET dan industri perlu lebih terpandu dan berobjektif.

Cabaran pasti ada. Apa yang penting menukarkan cabaran kepada peluang. Sudah tentu ia menghasilkan kecemerlangan luar biasa.

Maklumat penulis:

1) Mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Terbuka Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Anuar Ali

2) Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ts Dr Rabiah Ahmad

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

 

Ringkasan AI

  • Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin mendapat perhatian UNESCO
  • Malaysia berusaha meningkatkan penghasilan tenaga mahir melalui pendidikan TVET
  • Institusi TVET di Malaysia merangkumi peringkat sekolah, kolej dan universiti
  • Pemerintah Malaysia menunjukkan komitmen terhadap TVET dengan penubuhan Majlis TVET negara
  • Peningkatan kualiti pendidikan TVET diharapkan dapat memenuhi keperluan sektor pekerjaan dan menyumbang ke ekonomi negara
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp