Menjadi seorang yang bersikap perfectionist dalam kerjaya bukanlah satu kesalahan. Gambar kecil: Nurulhayati.
Menjadi seorang yang bersikap perfectionist dalam kerjaya bukanlah satu kesalahan. Gambar kecil: Nurulhayati.

Membantu anak yang bersikap 'perfectionist'

18 Jul 2025 11:30pm

Sebagai seorang ibu, tanggungjawab untuk menyokong anak bukanlah hanya ketika mereka gembira tetapi juga ketika mereka mengalami kesukaran.

Suatu hari, saya menerima panggilan dari anak yang baru sahaja memulakan kerjaya dan masih dalam tempoh percubaan. Dalam panggilan itu, dia menangis kerana merasa tertekan dan burn-out dengan bebanan kerja yang tinggi. Ini membawa kepada rasa putus asa kerana dia merasakan dia gagal menunjukkan prestasi yang baik dalam kariernya.

Mendengar tangisannya, hati berasa risau. Namun, saya tahu yang terbaik yang boleh dilakukan ialah mendengar dengan teliti apa yang dia ingin sampaikan.

Saya biarkannya luahkan tanpa sebarang gangguan agar dia berasa lega. Saya sedar bahawa keadaan emosinya perlu ditenangkan terlebih dahulu sebelum boleh bantu mencari jalan penyelesaian pada masalah itu.

Saya memutuskan untuk memberikan tumpuan pada menguruskan tekanan yang berpunca dari dalam dirinya terlebih dahulu. Dari perbualan itu, mula sedar bahawa anak ini memiliki ciri-ciri perfectionist (pencari kesempurnaan) dalam dirinya.

Selepas beberapa ketika, apabila dia sudah sedikit tenang, saya pun membantu dengan mengajukan soalan yang boleh memicu pemikirannya untuk mencari solusi praktikal terhadap masalah yang dihadapi. Saya mula dengan menyarankan padanya untuk berfikir sejenak bagi mencari punca-punca terbitnya perasaan dirinya gagal menunjukkan prestasi yang baik di tempat kerja. Adakah rungutan negatif itu datang dari majikan atau sebenarnya dari dirinya sendiri?

Dengan perlahan-lahan, dia mula sedar bahawa tiada siapa pun di tempat kerja yang menilainya sedemikian. Saya lantas membuka matanya pada elemen perfectionist yang ada dalam dirinya. Saya perjelaskan bahawa keadaan itu adalah normal, terutama bagi seseorang yang baru memasuki dunia pekerjaan dengan cita-cita yang besar untuk berjaya.

Menjadi seorang yang bersikap perfectionist dalam kerjaya bukanlah satu kesalahan, namun masalah timbul apabila seseorang itu gagal mengawal emosi apabila rasa diri tidak mencapai tahap prestasi yang diidamkan.

Artikel Berkaitan:

Lalu saya mencadangkannya untuk buat satu taktik yang diyakini berkesan untuk mengurangkan tekanan yang dirasai.

Saya minta senaraikan tugasan yang diamanahkan kepadanya. Selepas itu, dia perlu menilai sendiri tahap kecekapannya dalam setiap tugasan. Dia wajib tandakan betul (/) pada tugasan yang diyakini mempunyai tahap kecekapan yang tinggi dan pangkah (X) tugasan yang masih belum menunjukkan tahap kecekapan yang diharapkan.

Melalui senarai yang telah ditanda, anak saya itu dapat melihat dengan lebih jelas pencapaiannya. Daripada 10 senarai tugasan, seseorang itu mungkin telah cekap mengendalikan tujuh aspek dan hanya berbaki tiga aspek yang memerlukan usaha yang lebih sedikit untuk menambahbaik prestasi.

Jadi mengapa perlu terlalu beremosi terhadap tiga aspek yang masih lemah, sedangkan dia telah pun cemerlang dalam tujuh aspek yang lain? Bukankah kebih baik difikirkan bagaimana untuk meningkatkan usaha bagi meningkatkan tahap kecekapan pada 3 aspek yang masih sederhana itu?

Perbualan ringkas yang diadakan berjaya menenangkan anak saya. Apabila emosi dapat dikawal dengan baik, ia akan membantu dalam mengurus kerja dengan lebih baik. Penting untuk diingatkan bahawa teknik ini sangat berkesan untuk mengurangkan kemungkinan mengalami kejutan emosi yang negatif.

Dengan ini saya berharap kisah ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang baru menceburi kerjaya. Tidak salah untuk mempunyai cita-cita untuk mencapai kesempurnaan dalam segala hal, namun penting juga untuk menerima dan mengakui kelemahan diri sendiri.

Ini bukan sahaja membantu kita menerima diri kita seadanya, tetapi juga memberi kekuatan dan semangat untuk terus berusaha menjadi lebih baik setiap hari.

Seperti pepatah Melayu mengatakan, 'Alah bisa tegal biasa'. Setiap pengalaman baru dalam hidup kita mungkin akan terasa sukar pada permulaannya. Namun, dengan kesabaran dan ketekunan, kita akan mendapati bahawa tugasan-tugasan yang pada awalnya terasa berat akan menjadi lebih mudah apabila kita telah menguasainya.

 

Maklumat Penulis

Pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Poly-Tech Mara Ipoh, Nurulhayati Ilias

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp