
Anak Orang Asli masuk universiti, ibu sebak! 'Belajar baik-baik, jadi contoh & teladan buat adik-adik'
Senyumannya tidak pernah lekang di bibir dalam setiap gambar yang dikongsi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di media sosial.
Wajahnya terpancar rasa syukur, gembira dan bangga apabila impiannya untuk melanjutkan pengajian ke universiti akhirnya menjadi nyata.
Itulah Hamizah Abdullah, seorang anak Orang Asli dari suku kaum Kensiu, yang kini mencipta sejarah peribadi apabila berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Berasal dari kawasan pedalaman di Baling, Kedah, kejayaan Hamizah menjadi sinar baru buat komuniti Orang Asli Kensiu yang paling minoriti di Semenanjung Malaysia.

Alumni Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Sik yang ditawarkan pengajian dalam Diploma Kaunseling berkongsi rasa gembira dan syukur kerana diterima masuk ke universiti tempatan.
"Terima kasih kepada pihak LZNK dan semua yang sentiasa memberi sokongan. Saya mahu menjadi contoh kepada adik-adik dan berharap agar satu hari nanti saya dapat kembali membantu masyarakat Orang Asli," kata Hamizah yang merupakan penerima tajaan penuh LZNK merangkumi yuran pengajian, asrama dan elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
Ibunya pula tidak dapat menyembunyikan rasa sebak melihat kejayaan anak menjejakkan kaki ke menara gading.
"Saya sangat terharu dan gembira. Sejujurnya, anak saya tidak pernah berhenti berusaha untuk mengubah nasib keluarga," luahnya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak LZNK yang telah banyak membantu anaknya sejak di bangku sekolah lagi.


