DR UPM
DR UPM

PutraWASH - fasiliti cucian tangan berintegrasi

Azleenda Sahaludin
08 Nov 2022 05:47pm
A
A
A

Penyebaran wabak Covid-19 yang berisiko tinggi dalam kalangan pelajar sekolah telah mencetuskan idea baru kepada pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts. Dr Nor Azlina Alias untuk melaksanakan projek PutraWASH (Water, Sanitations and Hygiene).

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Azlina Alias.

Projek ini merupakan binaan fasiliti cucian tangan yang diintegrasikan dengan sistem rawatan air kelabu menggunakan blok salingkunci (IBS) dengan konsep bina sendiri oleh 12 orang sukarelawan dari Jabatan Kejuruteraan Awam UPM di dua buah sekolah yang terpilih di Selangor, iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Choh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Garing.

Rawatan air kelabu adalah sejenis rawatan keatas air dari sisa domestik yang boleh digunakan semula untuk pelbagai kegunaan. Namun, penggunaan semula air terawat dari fasiliti PutraWASH adalah terhad.

Fasiliti cucian tangan PutraWASH yang diintegrasi dengan sistem rawatan air kelabu yang terdiri daripada lapisan tanah, pasir, karbon teraktif dan kerikil ini lebih bertujuan meningkatkan kualiti air kelabu dari segi bau dan warna sebelum ia dilepaskan sebagai air sisa.

Menurut Dr Nor Azlina, projek ini merupakan satu khidmat komuniti untuk mendekatkan universiti dengan masyarakat. Pendedahan kepentingan menjaga kebersihan tangan dan penyediaan fasiliti cucian tangan yang mengambil kira aspek kelestarian disampaikan kepada komuniti terlibat.

“Selain itu, kita juga memberi pendedahan kepada pelajar aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) tentang Sains dan Teknologi Kejuruteraan terkini agar dapat menarik minat mereka untuk lebih meneroka dalam bidang ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Sementara itu, projek PutraWASH ini juga adalah langkah pencegahan dan kawalan jangka panjang bagi meningkatkan kesihatan serta wabak penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa pelajar sekolah.

Tambahnya, usaha untuk menambah fasiliti ini di sekolah-sekolah lain akan dipergiatkan lagi pada masa akan datang.

Artikel berkaitan

UPM perkasa EKSA, tingkat kualiti dan perkhidmatan

UPM raih kemenangan berganda Anugerah Inovasi negeri Selangor 2022

Kreatif! Pelajar MIDI UPM tonjol kreativiti reka bentuk perindustrian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok