anestasia universiti malaysia sabah
anestasia universiti malaysia sabah

Rancangan pewujudan Program Pascasiswazah Perubatan Anestesia di universiti tempatan

Rasyidah Zulkifi
30 Aug 2022 03:08pm
A
A
A

Melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam proses bagi membangunkan Program Kepakaran Pascasiswazah Anestesiologi dan Rawatan Rapi serta beberapa program klinikal yang lain.

Rancangan ini selaras dengan penubuhan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), di samping memenuhi keperluan perkhidmatan pakar klinikal di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi FPSK UMS, Datuk Dr D Kamarudin D Mudin, berkata, pembangunan program-program itu dijangka akan merancakkan lagi ekosistem akademik klinikal perubatan di Sabah dan serantau.

“Keperluan penghasilan pakar-pakar tempatan dalam semua bidang ini adalah sangat kritikal, jadi inisiatif ini dilihat sebagai satu usaha untuk membangunkan modal insan yang akan berjasa kepada negeri ini dan kemudiannya memberikan servis kepakaran yang menyeluruh di kemudahan-kemudahan kesihatan.

“Program ini diharapkan dapat memberikan hala tuju yang lebih bersepadu dalam kerjasama antara UMS, agensi berkaitan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan KKM untuk misi melahirkan pakar-pakar bagi memenuhi keperluan serantau.

“Dengan berpindahnya ibu negara Indonesia ke Sabah, dijangka mengakibatkan pertambahan bilangan penduduk serantau yang memerlukan ekosistem kesihatan lebih mampan dan bilangan pakar yang lebih ramai,” katanya.

Terbaru, FPSK telah mengadakan program perkongsian bersama Ketua Perkhidmatan Anestesia dan Rawatan Rapi Malaysia, Dr Zalina Abdul Razak, untuk membincangkan potensi dan peluang kerjasama di antara UMS dan KKM.

Program selama tiga hari itu merangkumi ceramah, perbincangan meja bulat dan mesyuarat Board of Studies untuk Program Kepakaran Pascasiswazah Anestesiologi dan Rawatan Rapi yang sedang dibangunkan di UMS.

Selain itu juga, program tersebut turut membincangkan peluang kerjasama antara UMS dan Hospital Angkatan Tentera Malaysia, Wilayah Kota Kinabalu (HATWKK) untuk menyumbang kepakaran mereka sebagai salah satu cadangan modul Program Pascasiswazah Anestesia dan Rawatan Rapi.

Artikel berkaitan

Kumpulan murid Orang Asli hiburkan tetamu dengan tarian sempena program merdeka 

15 delegasi teruja dengan modul Pusat Ulul Albab dari universiti tempatan 

8 pemimpin masyarakat terima keahlian kehormat dari universiti tempatan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok