Saintis UKM cipta formulasi gel, bantu golongan disfagia menelan ubat-ubatan dengan baik
Saintis UKM cipta formulasi gel, bantu golongan disfagia menelan ubat-ubatan dengan baik

Saintis UKM cipta formulasi gel, bantu golongan disfagia menelan ubat-ubatan dengan baik

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
26 Sep 2022 10:07am

Pernahkah anda melihat seseorang yang mengalami masalah untuk menelan ubat-ubatan yang berbentuk pil atau tablet?

Masalah ini sebenarnya terjadi dalam masyarakat kita baik kepada orang dewasa dan apatah lagi bagi kanak-kanak.

Menurut Profesor Madya Dr Haliza Katas dari Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sememangnya terdapat golongan yang sukar untuk menelan ubat-ubatan sama ada dalam bentuk cecair mahupun pil.

Mereka ini dikenali sebagai disfagia iaitu satu keadaan yang membuatkan seseorang sukar untuk menelan seperti terasa tersangkut di tekak atau sakit ketika menelan dan kebiasaannya dihidapi oleh golongan kanak-kanak dan warga emas.

Dalam usaha membantu golongan tersebut, Dr Haliza dan rakan sepasukannya sepakat menghasilkan satu formulasi bagi memudahkan mereka menelan ubat-ubatan dengan lebih mudah dan selamat.

Formulasi gel mudahkan ubat ditelan

Formulasi gel merupakan suatu inisiatif yang membantu mengurangkan kesukaran menelan ubat-ubatan dan menghilangkan rasa kurang enak ubat-ubatan yang dimakan.

Ia dihasilkan dengan menggunakan gel yang berbentuk separa cecair dan juga separa gel kerana sifat gel itu sendiri yang mudah untuk ditelan oleh golongan yang bermasalah.

“Gel ini dihasilkan daripada polimer yang boleh ditetapkan kepekatannya mengikut kesesuaian dengan tahap keterukan disfagia.

“Pemilihan gel polimer dalam penghasilan formulasi ini disebabkan oleh penggunaannya yang meluas dalam sektor penghasilan makanan.

“Penggunaan gel berkenaan tidak akan memberikan sebarang kesan sampingan kepada pengguna malah kos penggunaan dalam formulasi ini juga tidaklah terlalu mahal,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Haliza memberitahu, formulasi gel itu bukan satu kaedah yang perlu dilakukan sendiri oleh pesakit tetapi ubat-ubatan ini telah siap diformulasikan terus semasa proses penghasilannya.

“Ini adalah untuk memastikan dos ubat yang dimasukkan adalah tepat dan tidak akan mendatangkan kesan yang tidak diingini kepada pengguna.

“Ubat-ubatan yang dimasukkan ke dalam gel ini hanya mengikut dos yang bersesuaian dan tidak dijual secara berasingan di pasaran,” ujarnya.

Cabaran hasilkan gel

Menurut Dr Haliza, beberapa cabaran terpaksa diharungi dalam usaha menghasilkan formulasi tersebut.

Antaranya, mereka terpaksa menangguhkan kajian yang dibuat disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

Sepanjang tempoh tersebut, mereka tidak dapat menggunakan makmal untuk melakukan pembangunan formulasi.

Namun begitu, pasukan ini bekesempatan untuk membuat kajian berkaitan kos, persepsi dan keutamaan pengguna terhadap formulasi yang tidak melibatkan penggunaan makmal pada ketika itu.

Idea hasilkan formulasi

Ketika ditanya mengenai idea menghasilkan formulasi tersebut, Dr Haliza berkata, ia tercetus apabila melihat anaknya sukar menelan ubat-ubatan berbentuk cecair disebabkan rasa ubat yang kurang enak.

Bukan itu sahaja, ibu dan bapanya juga mengalami masalah yang sama iaitu sukar menelan ubat-ubatan berbentuk tablet.

“Ubat-ubatan yang berbentuk tablet menyukarkan mereka untuk menelan secara terus dan merasakan seperti tersekat di kerongkong.

“Kesukaran menelan boleh menyebabkan ubat-ubatan atau cecair daripada mulut masuk ke dalam paru-paru dan sekiranya berlaku, jangkitan pada paru-paru mungkin akan terjadi.

“Kerana permasalahan ini, timbul idea untuk membantu mereka dan akhirnya, terciptalah formulasi gel yang dapat membantu golongan disfagia,” jelasnya.

Artikel berkaitan 

4 perkara penting dalam penulisan pelaporan inovasi, sila hadam!

Inovasi ciptaan 10 pelajar jadi pilihan juri, ini pesanan guru pembimbing kepada mereka

Murid tonjol semangat patriotisme, cipta robot Merdeka Rero Micro


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp