HomeBuletin4 perkara penting dalam penulisan pelaporan inovasi, sila hadam!

4 perkara penting dalam penulisan pelaporan inovasi, sila hadam!

Sebagai seorang guru pakar dan berkemahiran dalam bidang Kajian Tindakan dan Inovasi, Cikgu Muhammad Sabiq Mohd Noor dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, Johor terpanggil untuk membantu warga pendidikan dalam aspek tersebut.

Katanya kepada Sinar Bestari, terdapat banyak perkara yang perlu guru-guru inovasi peka sekiranya mereka menyertai pertandingan berkenaan.

Jelasnya lagi, penulisan pelaporan inovasi adalah salah satu item yang dinilai juri dan ia harus dihasilkan dengan begitu teliti.

Sebagai panduan kepada semua guru dan murid yang mahu melibatkan diri dalam pertandingan inovasi, Cikgu Muhammad Sabiq kongsikan empat penulisan pelaporan inovasi untuk pengetahuan bersama.

Ini perkongsiannya.

*****

Penghasilan inovasi pendidikan merupakan satu usaha mewujudkan dalam membantu penguasaan sesuatu kemahiran atau peningkatan pencapaian murid.

Ia merupakan fasa mencipta dalam taksonomi bloom yang merupakan fasa tertinggi dalam domain kognitif.

Penghasilan inovasi kebiasaannya disertakan dengan pelaporan inovasi yang menjadi blueprint inovasi tersebut.

Ia merupakan pandangan pertama (first impression) pihak juri bagi menentukan pengiktirafan layak diterima.

Oleh yang demikian, di sini saya kongsikan beberapa perkara fokus dalam penulisan pelaporan inovasi.

1) Kreativiti inovasi

Kreativiti inovasi bermaksud inovasi itu dihasilkan atas cetusan idea sama ada yang baharu atau diadaptasikan.

Namun begitu, menilai kreativiti adalah sesuatu yang subjektif bergantung kepada kefahaman dan kompetensi pihak penilai.

Ia bukan sekadar menyatakan penggunaan aplikasi atau produk tertentu sebaliknya ia merujuk kepada model atau pendekatan pengajaran yang digunakan atau diintegrasikan dalam penghasilan inovasi.

Sebagai contoh, inovasi CEKAL [email protected] yang dihasilkan oleh saya adalah cetusan idea dalam pengintegrasian pendekatan melibatkan pembelajaran teradun dan pembelajaran berasaskan audio visual bagi mengatasi masalah literasi bahasa Melayu dalam kalangan murid pemulihan.

Idea inovasi ini sewajarnya dipaparkan dalam bentuk kerangka konsep bagi menyokong penulisan pelaporan.

2) Proses pembangunan inovasi

Proses pembangunan inovasi bermaksud langkah-langkah yang dilaksanakan bermula dengan penjanaan idea inovasi sehingga terhasilnya inovasi tersebut.

Bagi membangunkan inovasi, rakan-rakan perlu menentukan model proses yang wajar digunakan dalam penghasilan inovasi seperti model ADDIE, model ASSURE dan model PDCA.

Pelaksanaan pembangunan berasaskan model ini membolehkan pelaporan yang dihasilkan secara tersusun dan bersistematik bagi memudahkan rujukan para penilai.

Sebagai tambahan, rakan-rakan boleh sertakan rajah peta alir sebagai rumusan kepada penerangan prosesnya.

3) Keselarian objektif, kaedah pengumpulan dan analisis data

Objektif inovasi merupakan satu penyataan matlamat terhadap inovasi yang dihasilkan bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

Penulisan objektif perlu mempunyai kata kunci yang membolehkan pengukuran dalam membuktikan keberkesanan inovasi tersebut.

Bilangan objektif pula bergantung kepada inovator sendiri tetapi kebiasaannya terdiri daripada tiga hingga empat sahaja.

Penulisan objektif perlu seiring dengan kaedah pengumpulan dan analisis data yang wajar ditentukan oleh inovator terlebih dahulu.

4) Bahan-bahan tambahan

Kita sering terlepas pandang untuk meletakkan lampiran-lampiran tambahan dalam pelaporan kerana merujuk kepada format yang dibekalkan. Perkara ini akan memberi kesan kepada markah kita.

Dalam rubrik pemarkahan, terdapat beberapa item yang perlu disertakan dalam bahagian lampiran seperti bukti sebar luas dengan pihak sekolah dan pihak luar serta lampiran dokumen harta intelek.

Bagi bukti sebar luas di sekolah, rakan-rakan boleh melampirkan bersama guru atau bersama ibu bapa.

Bagi sebar luas bersama pihak luar pula, rakan-rakan boleh sertakan gambar sijil penyertaan pertandingan inovasi dalam pelbagai peringkat atau prosiding kertas kajian.

Manakala bagi dokumen harta intelek, lampiran ini memerlukan beberapa proses bersama pihak MyIPO yang boleh dilakukan secara bersemuka atau secara dalam talian.

Kesimpulannya, kepelbagaian format yang dibekalkan oleh penganjur pertandingan inovasi harus dipenuhi keperluannya oleh para peserta.

Terdapat beberapa bahagian yang sewajarnya diberi perhatian sebelum pelaporan inovasi diserahkan untuk tujuan penilaian.

Dengan beberapa perkara dan cadangan yang disediakan ini diharap menjadi panduan dan rujukan supaya rakan-rakan dapat menyediakan pelaporan yang sistematik, tersusun dan berkualiti.

Artikel berkaitan 

7 kriteria pemarkahan inovasi atau produk yang perlu guru ambil tahu. Penting!

Inovasi LKiZy, hasil cetusan idea guru SM Teknik Tuanku Jaafar bantu memudahkan pelajar  Lukisan Kejuruteraan

Penyelidik cipta dron pelbagai fungsi, inovasi tingkat produktiviti pertanian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok