HomeGen ZInovasiMurid tonjol semangat patriotisme, cipta robot Merdeka Rero Micro

Murid tonjol semangat patriotisme, cipta robot Merdeka Rero Micro

Semangat patriotisme dalam kalangan murid sekolah boleh ditonjolkan menerusi pelbagai usaha yang kreatif dan inovatif termasuk rekaan robot.

Bersempena dengan Hari Kebangsaan yang disambut baru-baru ini, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Ahmad Manaf, Nilai, Negeri Sembilan mencipta kenderaan diberi nama Merdeka Rero Micro yang digunakan ketika acara tahunan berkenaan di Dataran Merdeka.

Guru Penolong Kanan Kokurikulumnya, Azrie Abu Talib, berkata, ciptaan tersebut merupakan cetusan buah fikiran murid SK Dato Ahmad Manaf sebelum ditambah baik guru mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi serta guru penyelaras.

Sambungnya, setiap kanak-kanak mempunyai kemahuan untuk menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan yang diadakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada tanggal 31 Ogos setiap tahun.

Tambahnya, mereka pasti teruja melihat berbagai-bagai kenderaan dan perisai daripada anggota keselamatan di dataran.

Bagaimanapun, kanak-kanak pasti kecewa jika tidak berpeluang menyaksikan perbarisan tersebut, jadi model robot Merdeka Rero Micro adalah idea terbaik.

“Pada awalnya, peserta-peserta cuba mencipta robot dengan menggunakan permainan bongkah, namun ia menelan perbelanjaan terlampau tinggi.

“Selepas murid-murid mencetuskan buah fikiran untuk menggunakan program dan perkakasan Cytron Micro bit v2.0, mereka perlu membuat tetapan pengekodan (coding) supaya robot ini berjalan dalam satu garisan hitam yang digambarkan sebagai laluan di Dataran Merdeka.

“Pada robot Merdeka Rero Micro, terdapat lampu lampu mentol diod pemancar cahaya (LED) yang dikodkan mengikut tema warna Jalur Gemilang, patung tentera, muzik Tanggal 31 nyanyian Allahyarham Sudirman dan penggunaan latar belakang ilustrasi Bangunan Sultan Abdul Samad,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah media tempatan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, rekaan ini merupakan produk yang ditambah baik dari semasa ke semasa selepas diciptakan buat kali pertama pada 2018.

“Buat masa sekarang ia berfungsi hanya menarik kenderaan mainan pasukan keselamatan, mungkin pada masa hadapan kami akan menambah baik dengan menghasilkan robot berkenaan sebagai kenderaan atau perisai itu sendiri dan ia mungkin menelan perbelanjaan yang lebih tinggi.

“Bagi robot Merdeka Rero Micro ini kami belum pernah masuk pertandingan lagi, namun, pasukan kami mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Inovasi Dan Rekacipta (IRC) peringkat kebangsaan tahun lalu, untuk beberapa rekaan lain yang menggunakan Cytron Micro bit v2.0.

“Rekaan ini membuktikan peserta-peserta mempunyai semangat cintakan tanah air dan sebagai guru pula perlu memberi sokongan kepada mereka agar ia tidak pudar,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

Tahniah, Program Patriotisme UiTM diiktiraf The Malaysia Book of Records

Semangat patriotisme Generasi Z masih utuh, sanggup pertahankan negara apabila diuji 

Robotik muda SK Putrajaya Presint 11 (3) mula dikenali ramai, kini aktif cipta robot guna komponen lego 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok