Selamat menempuh cabaran baharu di universiti!
Selamat menempuh cabaran baharu di universiti!

Selamat menempuh cabaran baharu di universiti!

Roshlawaty Md Raieh
14 Oct 2022 05:16pm
A
A
A

Dalam seminggu dua ini, ramai dalam kalangan pelajar kita berjaya melanjutkan ke universiti idaman.

Ada yang berjaya ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) dan banyak lagi universiti lain di negara ini.

Masing-masing begitu teruja dengan suasana universiti dan tidak sabar untuk mengikuti pengajian.

Proses pendaftaran pelajar baharu berjalan lancar.

Momen-momen ketika mendaftar sebagai pelajar baharu pastinya akan diingati dan dikenang sepanjang hayat.

Justeru itu, Sinar Bestari kongsikan sebahagian universiti yang teruja menerima kehadiran ribuan pelajar baharu bagi sesi akademik 2022/2023.

Ini perkongsiannya.

1) UKM menerima seramai 4,166 pelajar baharu di tiga kampusnya iaitu Kampus Bangi, Kampus Kuala Lumpur dan Kampus Cheras.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, seramai 1,460 atau kira-kira 36 peratus adalah pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan lima pelajar adalah Orang Kurang Upaya (OKU) yang merangkumi cacat pendengaran, cacat penglihatan dan cacat fizikal.

“Kita sediakan kemudahaan penginapan dan bantuan kebajikan pelajar yang bersesuaian bagi memberi keselesaan kepada mereka,” ujarnya.

Mohd Ekhwan

Mengulas berkenaan bantuan yang diberikan kepada pelajar baharu, Mohd Ekhwan memberitahu, UKM melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) telah mengadakan Program Jejak Anak Watan ke rumah bakal pelajar untuk menyerahkan surat tawaran kemasukan ke universiti dan bantuan yuran kemasukan serta sara hidup berjumlah RM1,300 seorang.

Selepas meneliti latar belakang keluarga, HEP-UKM telah berkunjung ke rumah tiga pelajar iaitu Siti Nurhalizatul Husna Arman, Muhammad Haziq Haqim Hazrisyam dan Siti Nuranis Nordin bagi menyerahkan surat tawaran dan bantuan yang bersesuaian.

Pada tahun ini, Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) UKM yang diadakan setiap tahun telah dijenamakan semula dengan nama baharu iaitu Minggu Apresiasi Watan (MAW) bersesuaian dengan kredibiliti UKM sebagai Universiti Watan.

Mohd Ekhwan (kiri) meluangkan masa bersama pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke UKM.

2) Lebih 3,000 calon yang berjaya ditawarkan memasuki UPSI mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff telah menyambut mereka dengan kata-kata semangat agar menjadi pelajar UPSI yang aktif mengharumkan nama universiti.

“Saya terharu dengan kesungguhan ibu bapa yang sanggup menghantar anak masing-masing ke UPSI.

“Justeru itu, besar harapan saya agar anda semua dapat belajar bersungguh-sungguh dan tidak menghampakan keluarga di kampung,” jelas beliau.

Sebahagian pelajar yang berjaya ke UPSI.

Pelajar baharu UPSI ini akan mengikuti pelbagai pengajian di sembilan fakulti iaitu Fakulti Bahasa dan Komunikasi; Fakulti Muzik dan Seni Persembahan; Fakulti Pengurusan dan Ekonomi; Fakulti Pembangunan Manusia dan Fakulti Sains Kemanusiaan.

Tidak ketinggalan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif; Fakulti Sains dan Matematik; Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan serta Fakulti Teknikal dan Vokasional.

3) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula menerima kemasukan seramai 2,043 pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda sesi 2022/2023.

Proses pendaftaran pelajar secara sistem bersepadu yang efisien dan efektif tersebut telah dijalankan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Naib Canselornya, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, jumlah kemasukan pelajar ke UTeM tahun ini terus menunjukkan sambutan yang sangat baik.

Jelasnya, ia menzahirkan bahawa UTeM terus menjadi pilihan lepasan matrikulasi, diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.

Massila (kiri) beramah mesra bersama ahli keluarga pelajar baharu di UTeM, baru-baru ini.

Pelajar baharu UTeM yang mendaftar ini, akan mengikuti beberapa program pengajian yang ditawarkan.

Antaranya, program di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektik dan Elektronik; Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan; Fakulti Kejuruteraan Elektrik; Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer; Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Fakulti Kejurteraan Pembuatan.

Ujar Massila, penzahiran prestij kecemerlangan UTeM dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi dalam dan luar negara menjadikan UTeM antara institut pengajian tinggi yang menjadi pilihan utama pelajar.

Malah, kadar kebolehpasaran graduan berprestasi tinggi serta global yang menjadi buruan majikan juga telah melonjakkan UTeM sebagai destinasi utama gerbang pengajian tinggi teknikal pilihan ramai.

Artikel berkaitan 

Siti Hawa, ahli farmasi popular di media sosial

6 cara mudah kawal murid dalam kelas

Dura Adibah, pelajar UTHM raih pengiktirafan di Korea atas perkongsian keunikan budaya Malaysia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok