Untitled design (33)
Untitled design (33)

Siti Hawa, ahli farmasi popular di media sosial

Norliza Wasilan
03 Oct 2022 01:07pm
A
A
A

Gelagatnya sering mencuit perhatian netizen

Ahli farmasi ini cukup dikenali di media sosial berikutan perwatakannya yang cukup ceria, menghiburkan dan comel setiap kali membuat perkongsian.

Populariti diraih Siti Hawa Mohd Nor, 31, atau lebih mesra disapa sebagai Sitiawe ini sebaris dengan selebriti media sosial dan pempengaruh terkenal di negara ini.

Penampilannya di pelbagai platform cukup mencuit hati, petah dan tidak kekok, menambahkan lagi minat netizen untuk terus melihatnya.

Siti Hawa.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti, Kementerian Kesihatan Malaysia tetap tidak terlepas daripada menjadi sasaran kecaman netizen yang tidak sependapat dengannya.

Apapun, bagi Siti Hawa, itu bukan penghalang untuk dia terus menyampaikan informasi yang bermanfaat kepada masyarakat.

Geli darah dan nanah

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Farmasi, Universiti Curtin, Australia itu berkata, seperti kebanyakan ibu bapa di Asia yang suka anak menjadi doktor, ibunya juga tidak terkecuali memasang impian itu untuk dirinya.

“Saya tidak minat jadi doktor sebab geli dengan darah dan nanah, jadi, apa pilihan yang saya ada ialah mengambil jurusan farmasi.

“Ibu mahu saya jadi doktor sebab hendak ada orang menjaganya apabila tua, tapi saya tidak mahu, jadi ayah cadangkan supaya ambil bidang farmasi dan inilah saya hari ini, seorang ahli farmasi,” ujarnya lagi.

Siti Hawa bersama suami, Faiz Farhan.

Komunikasi

Isteri kepada jurutera, Faiz Farhan Roshid, 31, ini berkongsi, antara kemahiran yang perlu ada sebagai ahli farmasi ialah komunikasi dalam memberi penerangan mengenai ubat.

“Contohnya, pengambilan ubat masuk ke punggung, apabila kita maklumkan ubat perlu dimasukkan dalam dubur, ada yang salah faham ingatkan masukkan ubat dalam bubur, jadi kadangkala apabila beri penerangan tidak perlu (bahasa) berlapik.

“Masyarakat kita mempunyai pelbagai latar belakang, kesilapan mendengar perkataan menyebabkan mereka salah mengambil ubat, jadi ahli farmasi perlu bijak memberi penerangan,” ujarnya.

Siti Hawa berkata, perkembangan sains membabitkan kajian klinikal yang sentiasa berkembang menyebabkan ahli farmasi perlu sentiasa peka dan rajin menambah ilmu.

“Mungkin pengetahuan 20 tahun lalu tidak lagi sesuai pada masa ini, jadi perlu rajin tambah ilmu supaya pengetahuan lebih luas demi memastikan kualiti ubat diberikan adalah terbaik,” tambahnya.

Menceritakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Siti Hawa mengakui pernah dimarahi anak seorang pesakit ketika baru tiga bulan berkhidmat.

Ujarnya, keadaan itu berpunca daripada sikap lelaki berkenaan yang merasakan menunggu lama bagi mendapatkan bekalan warfarin untuk ibunya.

“Bayangkanlah masa itu ramai tengok apabila kena marah, waktu itu pula saya baru saja tiga bulan bekerja, hati pula masih tisu,” ujarnya sambil menjelaskan beliau ketika itu masih mengikut petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan bagi pesakit menunggu menerima ubat.

Sebahagian daripada tugas Siti Hawa sebagai ahli farmasi.

Perbezaan

Ditanya perbezaan kerjaya doktor dan ahli farmasi, wanita kelahiran Sentul, Kuala Lumpur itu mengakui, ramai yang keliru disebabkan mereka sama-sama memakai jubah putih.

Tambahnya, untuk menjadi doktor perlu ada ijazah sarjana muda dalam perubatan, manakala farmasi pula memerlukan ijazah sarjana muda bidang farmasi.

“Doktor tugasnya melakukan diagnosis, anatomi, kalau tidak sihat doktor inilah yang akan beritahu apa penyakit dihadapi pesakit, periksa fizikal, jantung, kencing manis dan sebagainya.

“Manakala ahli farmasi lebih kepada ubat-ubatan, mesti kena tahu daripada segi pengambilan, dos, selepas atau sebelum makan dan sebagainya.

“Ahli farmasi juga perlu tengok dan periksa kesesuaian ubat diberikan kepada pesakit. Doktor dan ahli farmasi bekerja bersama-sama untuk memberikan perkhidmatan terbaik berdasarkan bidang kepakaran masing-masing,” ujarnya.

Profil

Nama: Siti Hawa Mohd Nor

Kerjaya: Ahli farmasi

Umur: 31 tahun

Lahir: Sentul, Kuala Lumpur

Hobi: Membaca komik

Amalan 5B

Penggunaan ubat yang betul

Ubat yang betul

Dos yang betul

Cara pengambilan ubat yang betul

Masa pengambilan ubat yang betul

Artikel berkaitan

Kemahiran yang perlu ada pada ahli farmasi

Rezeki! 61 pelajar B40 terima biasiswa peringkat tertiari penuh

Ikon tersohor, Dr Maskiah curah ilmu Kesusasteraan Melayu kepada 70 pelajar SMK Jugra


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok