Bangga dengan tradisi Sarawak, Dr Kaleena hadiri konvokesyen berpakaian tradisional Orang Ulu

Bangga dengan tradisi dan budaya Sarawak. Itulah gambaran yang cuba disampaikan Dr Kaleena Bulan Micheal, 39, yang memperagakan pakaian tradisional Orang Ulu semasa menghadiri majlis konvokesyennya di University of Glasgow, Scotland.

Kaleena yang menamatkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dalam Kajian Klinikal dan Pembedahan Sains Optometri memilih untuk ‘berkongsi’ keunikan pakaian tradisi kaumnya di Eropah kerana mahu mempamerkan tradisi dan kebudayaan Sarawak di luar negara.

Namun, ini bukanlah kali pertama baginya berpakaian tradisional ketika majlis konvokesyen kerana anak kelahiran Miri, Sarawak ini pernah mengenakan pakaian atau aksesori yang melambangkan tradisi Orang Ulu termasuk milik suku Kenyah dan Lun Bawang semasa menghadiri dua majlis konvokesyen yang terdahulu.

Menurut Kaleena, dia mengenakan busana Pata ketika menerima Ijazah Sarjana Muda (Perubatan dan Pembedahan) di University of Dundee pada 2008.

“Apabila menamatkan Ijazah Sarjana di Kolej Oftalmologi Diraja London pada 2018 pula, saya mengenakan Tapong Laka’ Anyam sehingga diberi gelaran ‘Pocahontas’ oleh pensyarah dan rakan-rakan.

Kredit foto: Facebook Kaleena Sampley

“Kali ini, sempena majlis konvokesyen PhD, saya memilih aksesori Tapong Se’,” katanya kepada TVS, baru-baru ini

Selain itu, Kaleena turut berkongsi detik indah apabila pakaian tradisional Sarawak itu telah menarik perhatian orang ramai yang rata-rata ‘terpukau’ dengan keunikan serta kecantikan busana tersebut.

“Ramai yang tertarik apabila melihat saya mengenakan busana tradisional gabungan Kenyah dan Lun Bawang ini.

“Ketika memakai Pata, rakan-rakan yang berasal dari United Kingdom juga mengatakan saya seakan-akan seorang puteri yang menaiki pentas,” jelasnya.

Tambah Kaleena, dia sering menjadi perhatian sehingga ramai yang ingin bergambar kerana ibu dan ayahnya juga mengenakan pakaian tradisional Orang Ulu.

Sementara itu, Kaleena yang bergelar doktor mata sejak dua tahun lalu meluahkan hasratnya agar orang Sarawak terutamanya masyarakat Orang Ulu dan Dayak tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.

“Ada ketika kita tersandung dan terjatuh, namun ada harinya kita dapat berlari dan mengejar impian.

“Oleh itu, amat penting untuk mencari rakan yang bagus dan menerima sokongan daripada ahli keluarga kerana tanpa mereka, kita tidak akan pergi jauh,” ujar Kaleena.

Artikel berkaitan

Hadiri konvokesyen berbaju Melayu, graduan Harvard bangga jadi anak Malaysia

Membanggakan! 4 pelajar Malaysia diterima sambung pengajian ke Akademi Tentera AS

Genggam PhD pada usia muda, Zulfati Izazi kini pensyarah hebat di Korea


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok