Ibu gembira dapat tunaikan hasrat mendiang anak untuk terima PhD

Suasana majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-23 bertukar sayu apabila Cheng Lak Mooi, 65, menerima skrol anaknya yang telah pergi buat selamanya.

Mendiang Ng Yi Ming, 35, adalah graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang meninggal dunia akibat masalah jantung tahun lepas.

Menurut Lak Mooi, dia sangat gembira kerana dapat memenuhi hasrat anaknya untuk hadir pada majlis konvokesyen tersebut.

“Sebelum menerima PhD dalam bidang psikologi di UMS, mendiang juga telah menerima Ijazah Sarjana Muda Kepujian Psikologi Industri dan Organisasi di UMS, dan Ijazah Sarjana Sains Psikologi Perkembangan Kanak-kanak di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Mendiang merupakan seorang yang rajin dan sangat cekal. Kami sangat berbangga kerana mendiang telah berjaya melangkah sangat jauh sehingga ke tahap ini walaupun menderita penyakit jantung,” katanya sambil menahan sebak pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23 yang diadakan baru-baru ini.

Lak Mooi turut berkongsi tentang penyakit jantung yang dihadapi oleh mendiang anaknya itu.

“Mendiang pernah menjalani rawatan pembedahan penggantian injap pada bulan September 2014.

“Setelah menjalani pembedahan besar yang berisiko tinggi itu, mendiang sering mengalami masalah heart palpitations.

“Dia menghembuskan nafas terakhir pada 21 Februari 2021 setelah lebih 20 tahun menderita penyakit mitral valve prolapse,” jelasnya.

Mendiang dianugerahkan ijazah secara anumerta dan merupakan salah seorang daripada 77 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23.

Artikel berkaitan

Siswazah bertemu ajal kerana sakit kepala, ibu sebak ambil skrol ijazah

Bersungguh minta telekung putih, akhirnya ibu bapa tak sangka itu petanda ajal anak kesayangan

Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor USM tetap kuat walaupun diuji dengan pemergian bapa ketika hadapi peperiksaan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok