HomeIPTSuka duka kehidupan 3 graduan OKU yang ramai tidak tahu

Suka duka kehidupan 3 graduan OKU yang ramai tidak tahu

Perjalanan hidup tiga graduan Orang Kurang Upaya (OKU) sepanjang mengikuti pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) wajar mendapat pujian ramai.

Ia kerana dalam keadaan serba kekurangan, mereka tetap berjuang untuk menimba ilmu sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen UKM ke-50, baru-baru ini.

Mohamad Hafizzudin Mohd Fadeli, Nur Ashikeen Iqbal dan Wan Abdul Hasib Wan Arif merupakan graduan UKM memiliki skrip tersendiri sepanjang menempuh pengajian di kampus tersebut.

Pelbagai pengalaman yang mereka tempuhi termasuk pengalaman pahit dan manis, namun, semuanya dijadikan momen-momen indah untuk dikenang satu hari nanti.

Bagi mendalami kisah perjuangan mereka, Sinar Bestari coretkan di sini segala asam garam graduan tersebut sepanjang bergelar pelajar UKM.

Diharap perjuangan ketiga-tiga graduan itu dapat menjentik hati pembaca sekali gus memberi inspirasi kepada semua.

Jom baca!

1) Mohamad Hafizzudin merupakan OKU Penglihatan Terhad yang memperoleh Ijazah Sarjana Sains Bioteknologi Tumbuhan.

Dia bekerja sebagai guru di sebuah sekolah swasta disahkan kehilangan 80 peratus medan penglihatan disebabkan glaukoma pada 2008.

Pelbagai cabaran dihadapi sepanjang bergelar OKU, antaranya termasuk tanggapan negatif masyarakat yang memandang serong kebolehannya belajar dalam bidang Sains.

Bagaimanapun, berbekalkan semangat yang tinggi segala tanggapan tersebut ditolak tepi dan berjaya merangkul ijazah dalam bidang disukai.

2) Nur Ashikeen pula adalah graduan OKU berkerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari pada 2008.

Dalam kemalangan tersebut, Nur Ashikeen yang berjaya mengenggam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan telah mengalami kecederaan sehingga mengakibatkan dia lumpuh daripada bahagian pinggang ke bawah.

Walaupun menyedari diri tidak sempurna, Nur Ashikeen tetap menanam sikap positif dalam diri dan fokus kepada kelebihan dimilikinya.

3) Wan Abdul Hasib, graduan OKU Penglihatan dan Pertuturan telah memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada Majlis Konvokesyen UKM ke-50.

Dia berdepan cabaran ketika mengadakan pembentangan berkumpulan kerana mempunyai masalah untuk bercakap dengan jelas semasa di awal semester pengajian.

Menyedari masalah yang kian berterusan, Wan Abdul Hasib mengambil keputusan menggunakan aplikasi text-to-speech dalam pembentangan kertas kerja tanpa perlu bergantung kepada orang lain.

Usaha itu berhasil dan dapat mengikuti pengajian dengan begitu sempurna sekali.

Wan Abdul Hasib yang bercita-cita menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) kelak, memasang impian untuk menghasilkan kajian berkaitan OKU dalam bidang pengajian dan sektor pekerjaan berdasarkan keupayaan OKU itu sendiri.

Didoakan segala impian dan harapan ketiga-tiga insan istimewa UKM ini akan tercapai dan dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

Artikel berkaitan 

Anugerah Naib Canselor Sesi Akademik 2021/2022 UKM milik John Sebastian

Kanser limfoma tidak halang guru di Sabah genggam PhD

Anak bekas tukang kasut raih Anugerah Pelajaran Diraja


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok