Status OKU bukan halangan Muhammad Isa lanjutkan pengajian di UIAM
Meskipun berstatus orang kurang upaya (OKU), ia bukanlah satu halangan buat Muhammad Isa Mohd Rashid, 19, untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi sesi kemasukan 2022/2023.
Pelajar yang kehilangan kaki kiri akibat kemalangan pada 2019 itu bakal mengikuti pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Seni Komunikasi Bahasa Inggeris Antarabangsa di Kulliyyah Bahasa.
Selain Muhammad Isa, seramai 31 pelajar OKU lain telah diterima masuk ke UIAM seiring dengan polisi inklusif OKU yang dilancarkan universiti berkenaan sejak November 2018.
Menurutnya, dia teruja dapat berada setanding pelajar yang lain tanpa menjadikan kekurangannya sebagai penghalang untuk mengejar impian.
Jelasnya, dia bertekad untuk memberi inspirasi kepada rakan-rakan untuk terus berusaha dan menimba ilmu sehingga berjaya meskipun berstatus OKU.
“Saya berasa tidak sabar dan teruja untuk bersama-sama rakan-rakan sekuliah menjalani kehidupan sebagai mahasiswa serta bersama-sama menimba ilmu di UIAM.
“Sepanjang minggu ta’aruf (suai kenal) ini, rakan-rakan banyak membantu dan mereka sangat peka dengan keperluan saya dan ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk menimba ilmu di sini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bai’ah (ikrar) pelajar baharu di UIAM Kampus Gombak, Selangor, baru-baru ini.
Sementara itu, Rektor UIAM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak mengingatkan semua pelajar baharu yang telah terpilih memasuki universiti itu amatlah bertuah kerana mereka tidak menghadapi masalah penginapan sepanjang pengajian.
“Setiap kampus disediakan asrama penginapan sepenuhnya sejak penubuhan universiti ini pada 1983 dan pelajar tinggal di asrama dari mula mendaftar sehingga tamat pengajian,” katanya ketika berucap pada majilis berkenaan.
Majlis tersebut turut diadakan secara serentak di kampus UIAM Kuantan, Pahang dan Hub Pendidikan Pagoh, Johor yang menerima 1,238 pelajar baharu bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang masing-masing.
Majlis Bai’ah adalah acara kemuncak minggu ta’aruf bagi pelajar baharu dan sebagai simbolik menandakan mereka secara rasminya menjadi warga UIAM.
Artikel berkaitan
Status OKU penglihatan bukan penghalang buat Cikgu Iran Shah cipta inovasi lancarkan PdP
Bot terbalik, tugasan hanyut dibawa air tidak patahkan semangat Wellyes raih Anugerah Naib Canselor
Kesibukan bekerja dan cabaran urus anak bukan halangan buat pasangan suami isteri raih PhD