syahmi KUPTM FTX
syahmi KUPTM FTX

Tuah Muhammad Syahmi, lakar kecemerlangan hasil kerja keras

Norliza WasilanNorliza Wasilan
12 Aug 2022 03:35pm

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Pepatah itu cukup menggambarkan kejayaan Muhammad Syahmi Ramli, 26, apabila meraih tempat pertama di Malaysia dan kesepuluh di dunia bagi peperiksaan Foundations in Taxation (MYS) June 2022 Examination.

Berkongsi kejayaannya bersama Sinar Bestari, penuntut jurusan CAT-ACCA (Certified Accounting Technician) Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) Kuala Lumpur berkenaan mengakui langsung tidak menyangka akan memperoleh keputusan seperti itu.

Mengulas lanjut, anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia seolah-olah tidak percaya sebaik menerima surat bertarikh 20 Julai lalu daripada The Association of Charted Certified Accounts (ACCA).

“Sejujurnya, saya seperti tidak percaya dan langsung tak menjangka akan mendapat keputusan seperti ini (tempat pertama di Malaysia dan kesepuluh di dunia).

“Sampai sekarang pun masih terkejut, apapun saya cukup gembira dan bersyukur apabila diumumkan mendapat markah tertinggi di Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai persediaannya menghadapi peperiksaan itu, Muhammad Syahmi berkata, dia perlu mengimbangi masa antara mengulang kaji dengan aktiviti bersukan.

“Saya memperuntukkan masa tiga hingga empat jam untuk mengulang kaji, tetapi pada hujung minggu pula lima hingga enam jam.

“Saya juga seorang yang sangat suka kepada aktiviti seperti riadah dan bersukan seperti lumba lari,” katanya.

Selain itu, Muhammad Syahmi ketika ditanya mengenai peperiksaan itu berkata, kebanyakan soalan berkisar mengenai pengiraan cukai seperti pendapatan, perniagaan, hartanah, royalti dan sewaan.

“Boleh dikatakan kebanyakan soalan yang ditanya semasa peperiksan ialah soalan-soalan untuk mengira cukai,” ujarnya.

Muhammad Syahmi juga melahirkan penghargaannya kepada kepada keluarga terutama ibunya, Nornisah Mat Yusof dan pensyarah bagi matapelajaran FTX iaitu Siti Aisyah Barizah Kamsis.

Ujarnya, tanpa sokongan dan galakan daripada mereka, tentulah sukar untuknya mencapai kejayaan.

“Terima kasih kepada ibu kerana banyak memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan saya, tanpanya tak mungkin saya berjaya.

“Di samping itu, terima kasih juga kepada madam Siti Aisyah Barizah Kamsis, pensyarah untuk matapelajaran FTX yang mengajar penuh dedikasi, beliau seorang pensyarah hebat dan berpengalaman.

“Beliau tidak pernah jemu melayan soalan yang saya tanya menerusi WhatsApp, pada masa sama memberikan penerangan cukup baik sehingga saya faham,” ujarnya.

Artikel berkaitan

KUPTM dan GMI meterai nota kolaboratif

Perisian sistem perakaunan pintar yang terkini

Enggan kecewa sekali lagi, Izz Khalisa bangkit dan akhirnya muncul pelajar cemerlang SPM 2021


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp