1403908
1403908

UKM sumbang RM700,000 dan tenaga sukarelawan bantu mangsa banjir

Adlan Farhan Azwan
05 Jan 2022 03:41pm
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggerakkan misi bantu mangsa banjir dengan menyalurkan sumbangan RM700,000 serta sukarelawan.

Menurut Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman melalui kenyataan pada Isnin berkata, dana yang terkumpul merupakan sumbangan alumni UKM dan orang ramai.

Jelas beliau, kesemua dana berkenaan telah diserahkan kepada mangsa yang mengalami kerosakan rumah dan harta benda sepanjang tempoh 14 hari misi tersebut.

“Selain itu, lebih 2,000 sukarelawan UKM yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar terbabit misi itu selain logistik melibatkan pacuan empat roda dan bas,” katanya.

BACA JUGA: Misi bantuan kemanusiaan, UPM dan UTeM turun padang ringankan beban mereka banjir

BACA JUGA: Pelajar POLIMAS bergelumang dalam lumpur, bantu mangsa banjir di Bentong, Pahang

Dalam pada masa yang sama, kumpulan sukarelawan itu turut turun ke lokasi-lokasi lain termasuk di Jelebu dan Mantin di Negeri Sembilan; Temerloh, Pahang dan Yan, Kedah yang juga yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

UKM telah mengenal pasti beberapa lokasi di Selangor termasuk Salak Tinggi, Hulu Langat, Dengkil dan Gombak yang memerlukan bantuan segera.

Beliau juga turut meluahkan rasa bersyukur atas keprihatinan orang ramai yang mana dana tersebut dikumpulkan begitu pantas ketika situasi meruncing dan mangsa banjir memerlukan bantuan dengan segera.

“Sebagai sebuah universiti watan, UKM amat prihatin dengan keperluan komuniti di sekitar dan seluruh negara. Jadi, jika berlaku bencana alam, UKM akan segera memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Misi berkenaan turut disertai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad yang turun di beberapa lokasi bagi membantu masyarakat dan menghulurkan sumbangan.

Ikuti GPSBestari Twitter dan Facebook

Turut hadir beberapa wakil pengurusan tertinggi UKM seperti Timbalan Naib Canselor Alumni dan Masyarakat (JIAM), Prof Datuk Norazah Nordin dan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Roslee Rajikan.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok