320340759_1487596665066539_6630344386087786259_n
320340759_1487596665066539_6630344386087786259_n

UMT laksana PdP secara dalam talian, kakitangan diberi kebenaran bekerja dari rumah

Adlan Farhan Azwan
20 Dec 2022 06:38pm
A
A
A

Banjir pastinya memberi kesan kepada aktiviti seharian masyarakat kerana terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atas tujuan keselamatan.

Menyedari akan permasalahan tersebut, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil pendekatan untuk menguatkuasakan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian serta memberi kebenaran kepada kakitangan untuk bekerja dari rumah (BDR).

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar, langkah tersebut merupakan inisiatif bagi memastikan kebajikan dan keselamatan warga UMT yang sedang berdepan musibah itu.

“Jumlah pelajar UMT yang menyewa di luar kampus seperti di Kampung Pak Tuyu, Kampung Tok Jembal, Kampung Gong Pak Jin dan Kampung Jati agak ramai dan mereka turut terjejas banjir.

“Hal ini menyukarkan pergerakan serta keselamatan mereka untuk ke kampus bagi menjalani proses PdP secara bersemuka.

“Oleh itu, proses PdP secara dalam talian akan dijalankan sepanjang tempoh banjir sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, Mazlan berkata, bagi kakitangan yang merupakan mangsa banjir boleh memohon cuti khas bencana manakala yang berdepan kesulitan untuk hadir ke kampus atau pejabat disaran menjalani BDR selepas mendapat kebenaran daripada Ketua Pusat Tanggungjawab masing-masing.

Jelasnya, pihak keselamatan telah meminda laluan sedia ada yang dinaiki air untuk memberi kemudahan kepada mereka yang terpaksa hadir bekerja di UMT.

“Saya menasihatkan kakitangan dan pelajar supaya sentiasa menjaga keselamatan diri serta patuh kepada arahan pihak berkuasa.

“Mereka yang ingin mendapatkan bantuan dan mengemukakan pertanyaan boleh menghubungi bilik gerakan banjir di talian 09-668 5059/ 4118,” tambah beliau.

Artikel berkaitan

(VIDEO) Gelagat pelajar UMT hadapi musibah banjir cuit hati warganet

Banjir di Kelantan: 131 pelajar UMK luar kampus dipindahkan

Tip selamatkan barang elektrik dan elektronik yang tenggelam ketika banjir


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok