UNIGO-INDONESIA-SINARBESTARI-2023
UNIGO-INDONESIA-SINARBESTARI-2023

UniGO kembang sayap kesukarelawan ke Indonesia

nadzarul.amir
17 Jan 2023 04:01pm
A
A
A

Bergelar mahasiswa tidak terhad kepada pengajian sahaja malah golongan berkenaan mampu menjadi model teladan dan 'duta' kepada negara apabila melakukan aktiviti-aktiviti kesukarelawan sehingga peringkat antarabangsa.

Melalui program UniMAP Global Outreach (UniGO), ia menjadi platform terbaik warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menabur bakti sehingga ke luar negara.

Dalam program berkenaan seramai 12 mahasiswa dari enam fakulti terpilih untuk aktiviti sukarelawan di Malang,Indonesia bermula 11 hingga 15 Januari lalu.

Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, penglibatan mahasiswa UniMAP melalui program UniGO anjuran Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P) itu dapat mengembangkan potensi serta pengalaman di peringkat global.

Secara tidak langsung, beliau menambah, program berkenaan dapat mempromosi UniMap di mata dunia.

"Program UniGO ke Malang, Indonesia merupakan siri pertama dan akan dikembangkan ke negara seperti Thailand, Singapura, Romania, Poland dan Australia.

"Selain aktiviti kesukarelawan, mahasiswa turut menyumbang bakti dalam aktiviti penerapan elemen sains, teknologi, matematik dan inovasi serta motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Program yang diketuai Pengarah P3P UniMAP, Profesor Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh serta Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK), Profesor Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah mengambil pendekatan aktiviti berkumpulan.

Dikendalikan pegawai P3P, Mohd Hafiz Mohd Shokri dan Ahmad Mu’adz Nazari, mahasiswa berkongsi aktiviti bersama 120 pelajar sekolah rendah dan menengah dari Sekolah Dasar Surya Buana dan Sekolah Menengah Atas Surya Buana.

Zaliman menjelaskan, aktiviti silang budaya turut memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenali budaya baharu.

Katanya, ia juga membuka peluang kepada mahasiswa memperkenalkan budaya Malaysia pada dunia luar.

Sementara itu, Dr Mohd Arif berkata, melalui program tersebut, mahasiswa terlibat dalam lawatan serta seminar akademik di kampus Universitas Negeri Malang dan Universitas Brawijaya.

"Selain penglibatan mahasiswa UniMAP sebagai peserta seminar, tujuh pensyarah UniMAP memberi perkongsian ilmiah dalam penyelidikan dan kepakaran masing-masing di seminar yang dianjurkan oleh Universitas Negeri Malang dan Universitas Briwijaya.

“Program UniGO turut mempromosikan peluang pengajian di UniMAP kepada pelajar-pelajar sekolah di Malang, Indonesia,"ujarnya.

Artikel berkaitan

Atlet UniMAP raih emas Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi

Alumni PALAPES UniMAP bantu pegawai kadet tingkatkan kecemerlangan

Program Seven Pillars di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melahirkan belia positif yang menerajui masa depan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok