300721-unimap4
300721-unimap4

Program Seven Pillars di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melahirkan belia positif yang menerajui masa depan

webadmin
30 Jul 2021 02:02pm
A
A
A

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) kerajaan telah menekankan kepentingan pembangunan modal insan yang holistik untuk kepentingan sumber tenaga manusia pada tahun 2020.

Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing.

Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul. Bagi merealisasikan matlamat ini tercapai, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah memainkan peranannya dengan memperkenalkan Program Seven Pillars yang berteraskan kemahiran insaniah selari dengan Modul Kemahiran Insaniah oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Mantan Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad bersama pengurusan tertinggi UniMAP ketika program pillars bersama pelajar Diploma sebelum pandemik COVID-19.

Sejauh manakah Program Seven Pillars berkesan kepada diri dan kerjaya? UniMAP menerusi salah satu agenda kritikal iaitu kebolehpasaran graduan, tafsiran dan falsafah yang diterjemahkan telah mewujudkan satu program pembangunan pelajar yang dipanggil Tujuh Teras (Seven Pillars).

Mobiliti untuk program ini adalah kesemua pelajar diwajibkan mengikuti program di bawah Tujuh Teras sebagai syarat bergraduan. Tanpanya, pelajar UniMAP tidak akan dikurniakan ijazah.

Di peringkat UniMAP juga bagi pelajar program pengajian peringkat diploma perlu mengambil empat kursus wajib The Four Pillars manakala pelajar program pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda pula perlu mengambil tujuh kursus wajib The Seven Pillars.

UniMAP menerusi program tujuh teras secara halusnya menyemai kemahiran-kemahiran luar kuliah seperti komunikasi, kepimpinan dan keusahawanan.

Bagi menggerakkan agenda kebolehpasaran graduan ini, program Seven Pillars UniMAP memfokuskan kepada usaha yang konsisten menerusi aktiviti ko-kurikulum yang menyumbang kepada melengkapkan pelajar dengan soft skill.

Program Seven Pillars yang diperkenalkan di UniMAP dikenali sebagai program pembangunan sahsiah pelajar yang merangkumi Kursus Patriotisme, Jati diri Pelajar dan Kepimpinan untuk Pillars 1; Program Baktisiswa, Program Khidmat Sosial Masyarakat untuk Pillars 2; Program Kerohanian dan Sivik untuk Pillars 3; Program Wacana Sosial untuk Pillars 4; Inovasi & Penyelidikan , Kemahiran Teknikal & Profesional untuk Pillars 5; Kursus Keusahawanan, Kecemerlangan Bakat untuk Pillars 6 dan Etika Sosial & Kerjaya untuk Pillars 7.

Program dan kursus yang dilaksanakan ini bertujuan membentuk sahsiah diri pelajar selari dengan pembangunan modal manusia yang berkualiti.

Berikut adalah antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan menerusi Program Seven Pillars yang mempunyai impak positif kepada pelajar.

  • Seramai 450 orang pelajar telah menyertai Seminar Kepimpinan Mahasiswa yang memberi impak dengan memupuk sifat kepimpinan dalam setiap mahasiswa.
  • Seramai 639 orang pelajar menyertai Program Wacana Perlembagaan Negara dan Institusi Raja yang memberi impak positif darisegi memberi kefahaman kepada pelajar tentang penggunaan bahasa dan tulisan istana yang diamalkan sejak dahulu kala.
  • Seramai 600 orang pelajar telah mengikuti ceramah keusahawanan “Rahsia Kejayaan Usahawan Muda” yang dapat memberi pelajar pendedahan awal tentang peluang menjadi usahawan yang berjaya.
  • Seramai 850 orang pelajar mengikuti program Financial Literacy Conference For Youth yang memberi impak bagi melahirkan modal insan kelas pertama yang mempunyai keyakinan, inovasi, kreativiti, penghargaan selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk melahirkan graduan holistic dengan nilai-nilai positif.

Kesemua program ini mempunyai nilai-nilai tersendiri untuk diterapkan kepada mahasiswa. Di antara nilai-nilai yang dapat diperolehi ialah jati diri, nilai masyarakat penyayang, kecerdasan mental dan fizikal, patriotism, kepimpinan dan kemahiran komunikasi yang berkesan dan efektif.

Program Seven Pillars merupakan program yang dijangka mampu untuk menyerlahkan jati diri mahasiswa.

Secara umumnya program Seven Pillars di UniMAP telah berjaya dijalankan dengan mencapai objektifnya.

Dari segi pencapaian dalam peratusan, keberkesanan program ini adalah diantara 70 hingga  80 peratus.

Secara umumnya Program Seven Pillars yang diwajibkan kepada semua pelajar UniMAP merupakan program kemahiran umum, generic skills atau lebih dikenali sebagai kemahiran insaniah yang dapat dijadikan wadah dalam pembinaan dan pembangunan mahasiswa yang mempunyai nilai dan ciri-ciri yang seimbang dari segi pembelajaran di bilik kuliah dan pembangunan kendiri melalui kegiatan ko-kurikulum di luar bilik kuliah.

Program Seven Pillars yang juga merupakan flagship di UniMAP sentiasa cuba ditambah baik dan diberi nafas baharu dalam usaha memperkasakan pelajar seiring dengan peredaran masa.

Program berkaitan kaunseling juga adalah salah satu program pillars di UniMAP.

Titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Canselor UniMAP, pihak pengurusan universiti perlu mengiktiraf keterlibatan pelajar dalam program anjuran universiti dan program-program lain di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Dengan ini pelajar-pelajar yang terlibat boleh dipertimbangkan untuk menggantikan program tersebut dengan Pillars.

Penggantian Pillars juga akan terpakai bagi para pelajar yang memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa utama dalam kelab, persatuan pelajar di UniMAP serta Majlis Kepimpinan Pelajar.

Selain itu, bagi memperkasakan nilai patriotism dalam diri pelajar maka pihak universiti turut mengiktiraf pelajar yang mengambil bahagian dalam Badan Beruniform seperti Pasukan Latihan Pegawai Sukarela (PALAPES) Angkatan Tentera Malaysia dan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Polis DiRaja Malaysia.

Pelajar-pelajar ini diberi pengecualian daripada mengikuti Pillars dengan syarat mereka haruslah mengikuti program PALAPES atau SUKSIS sehingga ditauliahkan.

Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Perlis, Prof Dr Mohd Foa’d Sakdan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok