unikl
unikl

UniKL - Jabatan Pembangunan Kemahiran bakal meneroka kebolehpasaran alumni

webadmin
29 Dec 2021 11:53am
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerusi Center for Alumni and Career Services (CACS) serta Centre for Advancement & Continuing Education (ACE) miliknya, dengan kerjasama Bahagian Pentauliahan, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia bakal meneroka satu usaha sama berhubung kebolehpasaran alumni di universiti teknikal tersebut.

Menurut Timbalan Pengarah CACS, Ts Dr Abdul Hadi Mohamad, usaha sama itu merangkumi perkhidmatan latihan yang berpotensi untuk ditawarkan kepada alumni UniKL di bawah Bahagian Pentauliahan seperti Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Tambah beliau, pada masa sama, sesi bertukar pandangan tersebut juga bertujuan meneroka prospek UniKL untuk menjadi salah satu universiti latihan bagi pembangunan kemahiran.

“Salah satu objektif bagi sesi keterlibatan hari ini adalah kami mahu membuka peluang kepada alumni UniKL untuk mengambil bahagian dalam program latihan kemahiran, khususnya di bawah SLDN.

“Ini bukan sahaja disasarkan untuk mereka yang sedang mencari pekerjaan, tetapi mereka yang berhasrat untuk menukar kerjaya dan oleh itu kami mahu membantu mereka.

“Jumlah graduan UniKL bagi tahun ini dijangka mencecah sekitar 4,000 hingga 5,000 orang,” katanya dalam sesi keterlibatan yang diadakan, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa dan sehubungan itu, peruntukan tambahan RM200 juta disediakan untuk program usaha sama dengan industri termasuk SLDN dan program persijilan industri di bawah Belanjawan 2022.

Statistik menunjukkan peratusan kebolehpasaran graduan UniKL telah meningkat kepada 96.1 peratus pada 2020 berbanding tahun sebelumnya iaitu 95.26 peratus dan kesemua peratusan ini lebih tinggi daripada paras purata negara iaitu 84.4 peratus.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok