1343044
1343044

UPM dan UMK tawar program Doktor Perubatan Veterinar

Nor Azma  Muhamat Laila
22 Dec 2021 01:12am
A
A
A

Perkembangan bidang veterinar di Malaysia berlaku sangat pesat disebabkan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat berkaitan penjagaan haiwan kesayangan, ternakan serta haiwan eksotik.

Kesedaran yang tinggi ini mendorong masyarakat mendapatkan nasihat dan bimbingan secara terus daripada doktor veterinar berdaftar.

Selain itu, peningkatan populasi rakyat di Malaysia menyebabkan pertambahan keperluan sumber protein makanan seperti telur, daging ayam dan lembu sekali gus mendorong kepada perkembangan industri ternakan ruminan dan unggas, seterusnya memerlukan seorang doktor veterinar untuk memantau kesihatan haiwan.

Sehubungan itu, terdapat pemintaan yang tinggi dalam kerjaya sebagai doktor veterinar di negara ini dan mendorong universiti menawarkan program pengajian doktor perubatan veterinar bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang berkenaan.

Antara universiti awam (UA) yang menawarkan program doktor perubatan veterinar ialah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

UPM mula menawarkan program tersebut pada 1973 menerusi Fakulti Perubatan Veterinar dan menjadi fakulti pertama yang menawarkan program berkenaan dalam negara.

Baca juga Cabaran kerjaya ahli zoologi

Baca juga Tidak pernah berputus asa mendidik murid pendidikan khas, Cikgu Azam terharu terima Anugerah Khas Kreatif

Syarat kemasukan

Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Profesor Dr Abdul Rahman Omar berkata, penawaran program berkenaan dibuat bagi menghasilkan graduan yang bekerja sebagai doktor veterinar di pelbagai sektor kerajaan dan swasta atau menceburi dunia perniagaan dengan membuka klinik haiwan atau ladang ternakan.

Menurut beliau, pelajar yang berminat menyambung pengajian dalam jurusan berkenaan perlu memenuhi syarat minimum kemasukan yang terdiri daripada Syarat Am Universiti dan Syarat Khas Program.

“Syarat Am Universiti ialah pemohon perlu memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan lulus Sejarah.

“Syarat khas program pula ialah memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Matrikulasi/Asasi/Diploma dan setaraf dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sekurang-kurangnya 3.50, mendapat sekurang-kurangnya Gred B+ (3.50) atau B (3.33) bagi subjek Kimia dan Biologi, Tahap 3 Malaysia University English Test (Muet) serta lulus temu duga yang ditetapkan,“ katanya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Dr Abdul Rahman

Selain menawarkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, Fakulti Perubatan Veterinar UPM juga menawarkan pengajian di peringkat sarjana iaitu, Sarjana Perubatan Veterinar (MVM) dan Sarjana Sains Veterinar (MVSc).

Di samping itu, graduan doktor perubatan veterinar juga berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Sains (MSc) dan Doktor Falsafah (PhD).

Abdul Rahman berkata, lebih istimewa, program doktor perubatan veterinar yang ditawarkan UPM mendapat pengiktrifan Majlis Veterinar Malaysia dan menggunakan penanda aras berdasarkan keperluan badan akreditasi antarabangsa, Australasian Veterinary Boards Council (AVBC) dan World Organisation for Animal Health (OIE).

Peluang kerjaya

“Sehubungan itu, peluang kerjaya dalam jurusan ini adalah cerah di mana graduan boleh bekerja dalam pelbagai bidang berkaitan haiwan sama ada haiwan kesayangan, produksi, marin, kuda serta hidupan liar dalam sektor kerajaan mahupun swasta ataupun terlibat dalam perniagaan membuka klinik haiwan serta mengusahakan ladang ternakan haiwan,“ ujarnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UMK, Profesor Dr Mohd Azam Khan Goriman Khan berkata, universiti itu mula menawarkan program pengajian doktor perubatan veterinar pada 2009 seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-9 dan Dasar Agromakanan Negara yang meletakkan kepentingan dalam kesihatan ternakan dan perkembangan industri ternakan melalui perkhidmatan veterinar yang berkesan.

Pelajar perlu melalui tempoh latihan praktikal merawat haiwan.

Kongsi Mohd Azam Khan lagi, selain menawarkan program doktor perubatan veterinar di peringkat ijazah sarjana muda yang membabitkan tempoh pengajian selama lima tahun, UMK turut menyediakan peluang pengajian di peringkat sarjana dan PhD.

“Sepanjang lima tahun pengajian, pelajar akan didedahkan dengan kursus-kursus pra dan para klinikal pada Tahun Satu dan Dua pengajian serta memasuki tahun klinikal mulai Tahun Tiga di mana pelajar akan didedahkan dengan kursus-kursus perubatan, surgeri, anesthesiologi, penyakit-penyakit haiwan dan banyak lagi secara teori dan juga praktikal.

“Selain itu, pelajar juga akan menjalani latihan industri di ladang-ladang ternakan, makmal-makmal veterinar serta hospital pengajaran veterinar atau klinik veterinar swasta sama ada di dalam atau luar negara.

“Pelajar juga perlu lulus peperiksaan komprehensif yang dijalankan pada semester akhir dan didaftarkan dalam ikhtisas kedoktoran veterinar bawah Majlis Veterinar Malaysia, sebelum melayakkan diri bergelar doktor veterinar,“ jelasnya.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Bagi pelajar yang berminat mengikuti pengajian dalam jurusan doktor perubatan veterinar, beliau berkata mereka perlu menguasai subjek-subjek sains seperti Biologi, Kimia dan Matematik di peringkat sekolah menengah dan prauniversiti, serta memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM, matrikulasi atau asasi.

“Selain itu, pelajar perlu mempunyai kemahiran Bahasa Inggeris dan komunikasi yang baik. Pelajar juga digalakkan mempunyai pengalaman dan pengetahuan berkaitan dengan haiwan, penjagaan serta kebajikan haiwan,“ tuturnya mengakhiri perbualan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok