7
7

Cabaran kerjaya ahli zoologi

Roshlawaty Md Raieh
22 Dec 2021 12:59am
A
A
A

“Bekerja dengan hidupan liar seperti ular, buaya, harimau, singa, orang utan dan cimpazi memang sangat mencabar, namun saya tetap seronok kerana berpeluang untuk menjaga dan menyelia haiwan ini. Yang penting, kita kena betul-betul memahami sifat semula jadi haiwan liar ini kerana mereka juga ada hati, perasaan dan perangai masing-masing.”

Demikian kata Muhammad Aizad Faizatul Azree, seorang Pembantu Hidupan Liar atau ahli zoologi yang kini bekerja di Zoo Melaka.

Menurutnya, menjadi seorang ahli zoologi bukanlah sukar seperti yang difikirkan jika kita memahami kehidupan haiwan-haiwan berkenaan.

“Sebab itu, sebelum berkecimpung dalam dunia ini, kita harus memiliki pengetahuan dan pemahaman yang tinggi mengenai sifat semula jadi hidupan liar.

“Selain itu, zoologi juga harus ada kemahiran pemerhatian terhadap perincian kecil dan tenang serta memiliki keberanian apabila menghadapi situasi mencabar,” katanya kepada GPSBestari.

Tambah anak sulung daripada tiga adik beradik ini, tiada istilah susah jika betul-betul berminat.

Ujarnya, apa juga kerja yang dilakukan pasti mempunyai cabaran tersendiri yang perlu dilalui.

“Cuma saya hendak kongsikan bersama, cabaran paling utama adalah untuk memenuhi keperluan hidupan liar yang berbeza-beza mengikut spesies dan personaliti.

“Selain daripada itu, pengetahuan dan pengalaman yang tinggi dalam keperluan dan sifat semula jadi hidupan liar turut diperlukan untuk merangka dan melaksanakan pelan bagi penjagaan, program pembiakan, latihan dan pemindahan hidupan liar.

“Juga, perlu sentiasa bersedia menghadapi kes-kes kecemasan seperti hidupan liar terlepas daripada kurungan, sakit, cedera dan sebagainya,” katanya.

Baca juga “Kuasai subjek Biologi sebelum jadi ahli zoologi” – Cikgu Muhd Fazli

Baca juga “Kami akan terus mendidik selagi Tuhan mengizinkannya” – Ini antara ucapan penerima anugerah dalam kalangan guru!

Skop tugas ahli zoologi

Jelas anak kelahiran Jasin, Melaka, ini lagi, skop zoologi bukan sekadar menjaga hidupan liar tetapi tugasnya lebih daripada itu.

“Kerjaya sebagai ahli zoologi sebenarnya sangat luas kerana ia turut merangkumi pembelajaran dan kajian terhadap hidupan liar di habitat asal mereka.

“Tetapi di zoo atau pameran tetap (ZPT), kebiasaannya ahli zoologi akan melakukan pemantauan terhadap hidupan liar yang terdapat di dalam zoo.

“Selain daripada itu, perlu menyediakan pelan penjagaan bagi hidupan liar seperti keperluan nutrisi dan diet serta cara penjagaan kerana setiap spesies mempunyai keperluan yang berbeza-beza,” ujarnya.

Tambah beliau, setiap spesies perlu ditempatkan di kawasan yang sesuai kerana konsep zoo moden sangat berbeza dengan yang terdahulu.

“Pada zaman dahulu, hidupan liar hanya ditempatkan dikurungan-kurungan kecil dan sempit dan tidak mempunyai sebarang perabot dan pengkayaan.

“Hampir keseluruhan institusi zoo atau pameran hidupan liar waktu ini telah berubah ke open concept yang mana hidupan liar ditempatkan di kawasan yang disusun gubah seakan-akan habitat semula jadi mereka.

“Misalnya, untuk pameran harimau perlu ada kolam untuk mereka mandi dan kayu-kayu besar untuk mereka mengasah kuku serta meregangkan badan selain daripada pokok-pokok dan kawasan berumput (tumbuhan hidup). Selain daripada itu, aktiviti enrichment atau pengkayaan juga perlu dilakukan agar hidupan liar mampu menonjolkan sifat semula jadi mereka di dalam pameran seolah-olah berada di habitat asal,” ujarnya.

Minat dan penerimaan keluarga

Muhammad Aizad berkata, kerjaya sebagai ahli zoologi bukanlah impiannya sebelum ini.

“Pada mulanya saya mengisi kekosongan jawatan yang terdapat di Zoo Melaka tanpa mempunyai minat mendalam terhadap hidupan liar.

“Setelah lama bekerja, perlahan-lahan minat bercambah kerana pada pendapat peribadi, bekerja dengan hidupan liar lebih mudah daripada bekerja dengan manusia.

“Walaupun berisiko tinggi, tetapi dengan mematuhi segala tatakerja dan prosedur operasi standard (SOP) semasa menjalankan tugasan dan kerjasama bersama ahli pasukan, risiko-risiko ini dapat dikurangkan,” jelasnya.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga terhadap kerjayanya itu, anak muda ini berkata, mereka agak keberatan pada awalnya.

“Berhadapan dengan haiwan liar, bunyinya memang menyeramkan. Jadi, logiklah jika keluarga tidak mahu saya bekerja sebagai ahli zoologi.

“Tambahan pula, waktu kerja yang tidak menentu seperti perlu melakukan pemantauan untuk haiwan sakit atau baru selepas pemindahan pada waktu malam, risiko berhadapan dengan kecederaan semasa bekerja dan sebagainya antara faktor utama mereka menentang.

“Namun, setelah menyedari minat saya terhadap haiwan, akhirnya mereka menerima seadanya,” katanya dengan menasihatkan kepada individu yang memilih zoologi sebagai kerjaya untuk bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum berada dalam bidang tersebut.

Ini kerana cabaran yang akan dihadapi tidak sama dengan cabaran dalam kerjaya lain.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

PROFIL

Nama: Muhammad Aizad Faizatul Azreen

Umur: 27 tahun

Asal: Jasin, Melaka

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains Marin, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Anugerah dan pencapaian: Mewakili Malaysia ke Asian Pacific Award (APICTA) dalam inovasi robotik

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok