WhatsApp Image 2022-08-13 at 2.06.44 PM
WhatsApp Image 2022-08-13 at 2.06.44 PM

UPM turun padang kongsi ilmu tingkatkan kehijauan persekitaran sekolah

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
09 Oct 2022 02:58pm

Dalam memastikan generasi yang lahir pada masa akan datang dapat terus kekal lestari, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor baru-baru ini telah mengadakan Projek Go Green SEKITA.

Ia merupakan salah satu projek di bawah Projek #GirangSEKITA yang bertujuan menghijaukan kawasan sekolah dengan cara menanam sayur-sayuran bagi menggalakkan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) di luar kelas.

Seramai 50 murid, guru, pensyarah dari SPE dan Fakulti Pertanian telah menjayakan projek ini yang diketuai oleh pensyarah SPE, Profesor Dr Rozanah Ab Rahman dengan mengangkat tema Pertanian adalah Perniagaan.

Fasilitator membimbing murid-murid tentang ilmu penanaman fertigasi.

Menurut guru Penyelaras Projek, Cikgu Zakuan Jusoh, projek ini diharap dapat menarik minat murid mempelajari cara bercucuk tanam menggunakan kaedah fertigasi.

“Saya berharap agar ia dapat membantu untuk mengembangkan lagi fahaman tentang cara penanaman sayuran dan secara tidak langsung dapat dimanfaatkan di rumah masing-masing untuk membantu menjana pendapatan keluarga,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Sesi ceramah Penanaman Sayuran Secara Fertigasi telah disampaikan oleh Penyelaras Ladang Fakulti Pertanian, Dr Putri Edaroyati Megat Wahab.

Murid-murid juga didedahkan dengan kemahiran perniagaan bagi membolehkan hasil tanaman dijual secara kecil-kecilan kepada warga sekolah atau komuniti setempat.

Pendedahan ini memberi impak yang tinggi kepada murid-murid agar mereka tidak hanya melihat pertanian sebagai kaedah menyara diri malah boleh diaplikasikan kepada kerjaya yang lebih luas seperti usahawan tani yang menggunakan teknologi tinggi.

Murid-murid menggunakan kaedah penanaman fertigasi yang dipelajari.

Dalam pada itu, salah seorang fasilitator, Siti Azizah Yaacub pula berkata, projek ini dapat memberikan pendedahan awal terutamanya kepada murid sekolah supaya mencintai alam sekitar dan menanam sifat berbudi pada tanah.

“Projek Go Green ini turut mendapat sokongan dan sumbangan daripada pihak industri iaitu Lynning Enterprise dan akan terus menyokong projek ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang murid SK Bandar Bukit Mahkota, Iman Qaisarah Saiful Azra, meluahkan keterujaan kerana memperoleh ilmu baharu tentang cara menanam sayur seperti fertigasi yang akan dikongsikan bersama kawan-kawan dan ibu bapa.

“Terima kasih pihak SPE UPM dan para guru atas usaha dalam melaksanakan projek ini yang berjaya memberi manfaat kepada para pelajar seperti saya,” tambahnya.

Artikel berkaitan

KOSASS UPM tuai hasil Projek Gempur Tani

50 sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini

Projek Laman Hijau SMK Taman Desa, inisiatif guru pupuk tabiat pemakanan sihat dalam kalangan pelajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp