Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Haji Samsolbari Jamali (kanan depan) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek RICHER dan Bicara Negarawan Tun Hussein Onn
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Haji Samsolbari Jamali (kanan depan) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek RICHER dan Bicara Negarawan Tun Hussein Onn

UTHM angkat martabat sejarah, kebudayaan dan kesenian Johor menerusi RICHER

Norliza Wasilan
01 Sep 2022 12:02pm
A
A
A

Johor, sebuah negeri yang cukup kaya dengan kisah sejarahnya yang tersendiri dan keistimewaan dalam seni budaya membabitkan alat muzik gambus dan tarian zapin.

Sebut saja mengenai gambus dan zapin, maka ramai yang akan mengaitkannya dengan masyarakat Johor.

Tidak terhad dengan seni budaya, Johor juga terkenal dengan kisah sejarah antaranya membabitkan pertempuran di Parit Sulong yang mengorbankan ramai tentera Australia selain British dan Gurkha pada tahun 1942.

Selain itu, Johor turut dikenali dengan sejarah awal pembukaan lombong bijih besi di Sri Medan sekitar tahun 1918 oleh sebuah syarikat dari Jepun yang mungkin ramai tidak mengetahuinya.

Sehubungan itu, bagi memartabat sejarah dan keunikan Johor, Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bekerjasama dengan sepasukan penyelidik universiti itu menerusi Projek Penyelidikan dan Inovasi Budaya dan Warisan Johor atau Research and Innovation in Culture and Heritage of Johor (RICHER).

PTTA yang berjaya memperoleh empat geran penyelidikan sebelum ini bersama-sama dengan pasukan penyelidik telah memberi tumpuan membabitkan empat projek iaitu Sejarah Pertempuran di Parit Sulong dan Sejarah Perlombongan Bijih Besi di Sri Medan; Gambus: Sejarah, Instrumentasi dan Gaya Permainan di Johor; Laman Web Peta Johor dan Pendigitalan Zapin.

UTHM menerusi kenyataannya memaklumkan, hasil daripada kerjasama pintar itu, sebuah Galeri Warisan Johor berjaya dibangunkan dan Pameran Gambus@PTTA berjaya dilaksanakan di universiti itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap budaya bangsa.

Menurut kenyataan itu lagi, Projek RICHER juga membangunkan portal bahan digital berpusat merangkumi gambar, video, keratan akhbar dan bahan-bahan lain berkaitan dengan kebudayaan dan warisan Johor.

“Selain itu, ia juga bertujuan mendigitalkan kandungan terpilih bahan pameran menggunakan teknologi animasi seperti Realiti Maya (Virtual Reality - VR), Realiti Terimbuh (Augmented Reality - AR), Mixed Reality (MR) dan Penerokaan Maya (Virtual Tour).

“Usaha ini diambil bagi menyokong matlamat utama UTHM iaitu ke arah kecemerlangan penyelidikan dan inovasi menggunakan tenaga dan kepakaran staf UTHM,” ujarnya sempena Majlis Perasmian Projek RICHER yang diadakan baru-baru ini di kampus induk.

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga UTHM, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Majlis berkenaan turut memuatkan program bual bicara ‘Bicara Negarawan Tun Hussein Onn’ dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia dikendalikan Moderator yang juga Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Dr Lutfan Jaes bersama dua panel iaitu Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Profesor Dr Kassim Thukiman dan Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid.

Samsolbari ketika berucap pada majlis berkenaan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada UTHM kerana memulakan langkah awal memelihara khazanah sejarah, warisan, kebudayaan dan kesenian negeri Johor.

“Saya menyambut baik aspirasi projek ini sebagai salah satu inisiatif untuk menjenamakan penyelidikan dalam warisan budaya Johor di samping memartabatkan budaya dan kesenian negeri Johor khususnya.

“Warisan sejarah, seni dan budaya negeri ini perlu dipertahankan bagi memastikan ia terus kekal terpelihara serta dapat dihayati oleh generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim pula berkata, beliau yakin inisiatif awal yang digerakkan oleh universiti mampu memberi manfaat kepada negeri Johor.

“Seluruh masyarakat perlu diberikan kefahaman akan pentingnya usaha ini demi memupuk semangat kecintaan kepada tanah air, sekali gus sebagai usaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan negara.

“UTHM berharap kerjasama daripada pelbagai pihak ini berupaya menjadikan PTTA sebagai pusat sehenti bagi mempamerkan bidang-bidang tujah UTHM, iaitu ‘Teknologi Lestari’ dan ‘Pengangkutan’, sekali gus merancakkan lagi inisiatif penjenamaan, promosi dan pengkomersialan universiti,” ujarnya.

Artikel berkaitan

CEDS hasilkan We-SET, bantu lepasan SPM pilih program diploma di UTHM

UTHM lahir usahawan IKS, tembusi pasaran global

Graduan UTHM berjaya siapkan tesis di pusat hemodialisis demi menjaga suami sakit


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok