uthm-fi
uthm-fi

UTHM cipta rekod MBOR hasilkan dron kargo saiz besar pertama di Malaysia

webadmin
21 Sep 2021 02:00pm
A
A
A

BATU PAHAT - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records selepas kejayaannya menghasilkan dron kargo bersaiz besar pertama di Malaysia, dikenali sebagai C-Drone.

Ketua Projek, Prof Madya Dr Zamri Omar berkata, kejayaan itu disifatkan sebagai hadiah kepada universiti tersebut, yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-28 pada 16 September lalu.

Beliau berkata, projek dron berkenaan yang bermula Jun 2019 mengambil masa kurang dua tahun dan selesai April lalu, dijayakan oleh sekumpulan penyelidik UTHM yang mempunyai latar belakang pelbagai kepakaran, serta dibantu sekumpulan pelajar selain nasihat pakar dari universiti tempatan juga pihak industri.

Buat masa ini, prototaip C-Drone ini telah direka bentuk, dibina dan diuji terbang di UTHM selain melalui ujian penerbangan di dalam makmal, kata beliau dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

“Kita jangkakan akan membuat penerbangan pertama seawalnya bulan hadapan dan selewat-lewatnya bulan Disember, dengan membawa beban kargo seberat 200 kilogram (kg),” tambah Zamri.

Jelas Zamri, projek tersebut bermula dengan aktiviti analisis dan reka bentuk, simulasi, fabrikasi komponen, pemasangan, integrasi sistem dan pengujian terbang dengan kesemuanya dilaksanakan di dalam fasiliti makmal projek C-Drone, yang berlokasi di kampus induk UTHM Parit Raja, di sini.

“C-Drone digerakkan oleh kuasa bateri dan ia adalah dari jenis ‘Multirotor Vertical Takeoff and Landing’ (VTOL). Saiz prototaip dron kargo UTHM ini kira-kira lima meter panjang, lima meter lebar dan dua meter tinggi, manakala berat kasarnya pula sekitar 400kg.

“Projek pembangunan C-Drone ini bertujuan untuk menghasilkan suatu pembuktian konsep (POC) iaitu bagi membuktikan konsep reka bentuk dan sistem dron kargo besar ini boleh dibina, dan ia berupaya beroperasi dengan baik.

“Dana projek C-Drone ini diperolehi dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sebahagian daripadanya dibiayai oleh pihak UTHM sendiri,” katanya.

Tambahnya, kejayaan  UTHM mencipta dan melaksanakan pengujian awal prototaip C-Drone ini diharap dapat menjadi motivasi dan membuka ruang bagi universiti dan pihak industri yang berminat untuk berkerjasama dalam mengembangkan potensi dron ini ke arah pengkomersialan. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok