1404698
1404698

UTHM sumbang RM90 ribu untuk keperluan mangsa banjir negara

Mariatul Qatiah Zakaria
21 Jan 2022 05:13pm
A
A
A

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini telah menggerakkan misi bantuan banjir yang kesembilan dengan mengedarkan pelbagai peralatan keperluan harian bernilai RM90,000 kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, dana yang terkumpul untuk misi itu adalah hasil sumbangan warga UTHM dan juga orang ramai.

“UTHM melalui Yayasan UTHM berkolaboratif dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Sebahagian daripada sumbangan tersebut turut disalurkan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan sekitar Pahang,” jelasnya dalam kenyataan.

Baca juga SK Taman Megah dan Sekolah Antarabangsa Tanarata harumkan nama Malaysia

Baca juga Dua pelajar jadi sukarelawan, ajak rakan-rakan sumbang tenaga untuk kesejahteraan bersama

Tambah beliau, pada masa yang sama, UTHM turut menggerakkan hampir 100 sukarelawan bagi kerja-kerja pembersihan di kawasan Pekan Sungai Lembing, Pahang, melibatkan kawasan komuniti seperti kedai dan balai raya.

“UTHM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang dalam membantu mangsa yang terkesan dengan bencana alam ini.

“Semoga segala sumbangan ini dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir,” katanya.

Ujarnya, universiti melalui kluster ‘UTHM Prihatin’ sentiasa peka dan cakna terhadap isu-isu kemasyarakatan terutama berkaitan banjir yang melanda negara ketika ini.

Warga UTHM dan orang ramai boleh terus menyalurkan sumbangan bagi menjayakan Misi Bantuan Banjir UTHM melalui Akaun Yayasan UTHM (Bank Rakyat 1101686275) atau saluran ToyyibPay https://toyyibpay.com/Dana-Mangsa-Banjir-SV-UTHM

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok