pexels-photo
pexels-photo

3 dimensi baharu al-Quran

Mariatul Qatiah Zakaria
21 Jul 2021 11:46am
A
A
A

Islam merupakan agama yang lengkap dan sempurna. Keindahan Islam dapat dilihat melalui kitab suci al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Setiap hukum yang dikeluarkan akan dirujuk kepada al-Quran terlebih dahulu sebagai sumber utama.

Saban hari al-Quran diterbitkan dan dicetak dalam pelbagai rupa. Ini dikenali sebagai inovasi dan kreativiti.

Inovasi bermaksud memulakan sesuatu yang baharu. Sepanjang kewujudan al-Quran ia telah berubah dan berinovasi dalam beberapa aspek. Walaupun begitu, perubahan yang dilakukan tidaklah sehingga merubah ayat, makna ataupun intipati ayat al-Quran itu sendiri.

Antara inovasi al-Quran yang terawal ialah penambahan baris dan titik. Inovasi ini memberi impak besar kepada maslahat umat Islam. Secara tidak langsung inovasi ini memudahkan proses pembelajaran.

Seiring dengan peredaran zaman, al-Quran telah berinovasi dalam pelbagai bentuk. Antaranya mewarnakan huruf-huruf di dalam mushaf, penghasilan al-Quran digital dan pembinaan aplikasi al-Quran di dalam telefon pintar.

1) Al-Quran digital

Al-Quran digital merupakan satu lagi inovasi yang sangat bermanfaat kepada umat Islam. Kelebihan al-Quran digital ini kita boleh membaca perkataan al-Quran sepatah demi sepatah.

Ia berbentuk pen pintar yang digunakan dengan cara menunjukkan pen kepada perkataan yang ingin dibaca. Pen pintar ini akan mengeluarkan bunyi sebutan yang betul untuk membantu pengguna membaca al-Quran. Ia turut dilengkapi dengan terjemahan dan bacaan daripada beberapa qari terkenal. Ia juga mudah dibawa ke mana-mana kerana bentuknya yang kecil dan ringan serta ia juga direka berasingan daripada gajet-gajet lain.

2) Al-Quran berwarna

Hari ini terdapat banyak al-Quran yang dicetak dalam bentuk berwarna. Warna yang digunakan bukanlah sekadar untuk mencantikkan mushaf al-Quran tetapi diadaptasikan sebagai pemudah cara dalam mempelajari ilmu-ilmu al-Quran seperti terjemahan ayat, pembahagi kisah dan yang paling utama ialah huruf berwarna untuk membezakan hukum-hukum tajwid.

Al-Quran berwarna ini sangat bermanfaat untuk semua lapisan masyarakat sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak.

Kelebihan al-Quran berwarna ini dapat dilihat dengan jelas. Ia menjadikan masyarakat bertambah minat untuk mempelajari ilmu tajwid di samping memudahkan pembaca untuk membaca dengan lancar dan fasih.

Cetakan al-Quran berwarna ini ialah hasil idea daripada warna lampu lintas iaitu warna merah untuk berhenti, warna kuning untuk bersedia berhenti dan hijau untuk jalan.

3) Aplikasi al-Quran dalam telefon pintar

Teknologi kini semakin berkembang pesat mengikut peredaran zaman. Telefon pintar antara gajet mesti ada dalam kalangan masyarakat hari ini. Seiring dengan penciptaan telefon pintar ialah aplikasi yang pelbagai. Antara aplikasi yang dibina ialah al-Quran flash seperti Quran for android, Al Quran Melayu dan iQuran Lite.

Aplikasi al-Quran di dalam telefon pintar sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa. Ketika di peringkat permulaan aplikasi al-Quran hanya dalam bentuk tulisan dan kini ia dilengkapi dengan sistem audio yang dibaca oleh qari-qari terkenal dan terjemahan dalam pelbagai bahasa yang boleh dimuat turun.

Selain mudah dibawa ke mana-mana, pengguna juga boleh melihat terjemahan secara terus ketika sedang membaca aplikasi al-Quran ini.

Setiap inovasi yang dilakukan terhadap al-Quran ada kelebihan dan manfaatnya. Ia bukan sahaja menjadikan al-Quran lebih menarik dan lebih moden mengikut peredaran zaman, proses pembelajaran juga menjadi semakin mudah.

Artikel berkaitan

Disiplin diri kunci kejayaan pelajar UTM, rangkul Anugerah Canselor dan Anugerah Akademik

Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor USM tetap kuat walaupun diuji dengan pemergian bapa ketika hadapi peperiksaan

Tidak sangka menang anugerah kerana belajar sambil bekerja, graduan UUM rangkul MICPA Gold Medal Award


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan