3 tip tanam minat pelajar dalam bidang robotik
Penekanan ilmu robotik dalam pendidikan hari ini dilihat penting dalam usaha memupuk minat dan menggalakkan pelajar-pelajar menerokai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik secara lebih menyeluruh.
Menurut Pensyarah di Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Ridzuan Ahmad, 45, seiring dengan matlamat kerajaan meningkatkan taraf pendidikan dengan mengintegrasikan dunia pendidikan dengan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), Sains, Teknologi dan Inovasi, penting bagi seseorang pelajar berfikiran kreatif untuk menghasilkan pelbagai ciptaan produk yang inovatif, baharu dan berimpak tinggi.
Tambah beliau, ini secara tidak langsung membolehkan pelajar-pelajar bersaing di peringkat tempatan dan juga antarabangsa.
“Penekanan ilmu robotik dalam sistem pendidikan hari ini bukan sahaja memperkukuhkan konsep pembelajaran Sains dan Matematik tetapi kaedah ini juga membantu pelajar membina kemahiran terbaik, seiring Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21).
“Robotik merupakan kaedah terkini yang dilihat berkesan sebagai alat pengajaran yang turut memperkenalkan pelajar dengan kurikulum kejuruteraan dan teknologi.
“Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) adalah antara contoh kemahiran yang perlu pelajar kuasai. Dengan pemikiran inovatif membolehkan mereka meraih pelbagai kejayaan membanggakan di peringkat global,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah Dr Mohd Ridzuan lagi, pembelajaran robotik seharusnya dimulakan seawal peringkat sekolah rendah malah tidak ada salahnya sekiranya ia dimulakan dari peringkat pra sekolah.
Bagaimanapun pengajaran dan pendekatan akan diajar dengan cara yang berbeza mengikut peringkat usia. Dengan ini ia dapat memperkemaskan tumpuan dan minat mereka.
Berbicara pula mengenai manfaat yang diperolehi daripada pembelajaran robotik ini, Dr Mohd Ridzuan menjelaskan, ia tidak boleh dilihat dalam tempoh masa yang singkat sebaliknya mengambil masa dan secara berperingkat.
Ini kerana tutur beliau, pemikiran akan dirangsang secara perlahan-lahan untuk menjadi lebih sistematik dan berstruktur dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
“Motor halus adalah kemampuan pergerakan membabitkan otot kecil, koordinasi mata dan tangan. Saraf motor halus dapat dilatih dan dikembangkan melalui kegiatan dan rangsangan secara rutin.
“Memegang, menyusun dan berfikir dapat meningkatkan kemampuan motor halus kepada pelajar-pelajar atau anak-anak dan sekali gus memperlihatkan keterampilan imaginasi dalam menghasilkan rekaan robot kerana untuk mendapatkan hasilnya mereka perlu berfikiran kreatif.
“Memakan masa yang lama untuk menyelesaikan sesuatu masalah pula akan menjadikan mereka ini lebih sabar dan tekun dalam membuat sesuatu projek sehingga ke akhirnya,” katanya.
Pokok pangkalnya, Dr Mohd Ridzuan memberitahu, minat adalah elemen penting dan ia perlu ada dalam setiap apa juga perkara yang dilakukan.
Untuk itu, beliau turut berkongsi tiga tip dengan GPSBestari untuk menanam minat bidang robotik terhadap pelajar.
- Pencetus minat
Kajian menunjukkan ibu bapa mempunyai pengaruh besar terhadap minat dan pemilihan kerjaya anak-anak malah ia lebih besar daripada guru sekolah. Oleh itu, ibu bapa boleh memberi galakan agar anak masing-masing memulakan langkah pertama dengan wujudnya perasaan ingin tahu. Perasaan ini akan timbul daripada perkara-perkara baharu yang berlaku di sekeliling.
Apabila minat telah tercetus, segala pembelajaran akan menjadi lebih seronok kerana para pelajar bukan sahaja akan lebih fokus dalam pembelajaran tetapi mereka akan meneroka dengan lebih meluas.
- Minat yang mendalam
Tidak dinafikan, minat yang mendalam adalah kunci kejayaan kepada segala pekerjaan yang dilakukan. Ini adalah susulan daripada tercetusnya minat dalam diri masing-masing di awal pembabitan pelajar. Pada tahap ini ia mampu memajukan diri seseorang itu ke peringkat yang lebih tinggi dan ia akan tercetus dengan sendirinya. Di peringkat ini setiap pelajar akan membina kebolehan berfikir secara kreatif dan juga penyelesaian masalah.
- Perkembangan minat
Apabila minat sudah tercetus, disusuli dengan minat yang mendalam seterusnya pelajar-pelajar akan kembangkan minat masing-masing dengan disokong oleh ibu bapa dan juga guru-guru. Tahap ini adalah penting kerana selalunya pelajar akan mengaitkan apa yang dipelajari dengan situasai atau benda yang sebenar. Mereka akan cuba cipta dan mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari atau melalui pemerhatian. Di sinilah pelajar-pelajar akan mula menjadi pencipta, bina sesuatu produk atau teknologi baharu.
Artikel berkaitan
Minat robotik sejak sekolah rendah, dorong siswazah gondol 2 anugerah dalam dan luar negara
Gigih cungkil bakat murid Orang Asli dalam robotik. Akhirnya, usaha Cikgu Mohd Zulkhairi berbaloi!