314593998_539778428157840_6233263862554676181_n
314593998_539778428157840_6233263862554676181_n

30 pelajar galas cabaran wakili Malaysia ke WRO 2022 di Jerman

Adlan Farhan Azwan
15 Nov 2022 05:48pm
A
A
A

Seramai 30 pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan mewakili Malaysia ke Pertandingan Akhir World Robot Olympiad 2022 (WRO) di Dortmund, Jerman pada 17 hingga 19 November ini.

Mereka akan bersaing dengan 349 pasukan lain daripada pelbagai negara dalam empat kategori iaitu WRO RoboMissions, RoboSports, Future Innovators dan Future Engineers.

Sekolah yang terpilih menghantar peserta ke WRO 2022 ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik, Petaling Jaya, Selangor; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat, Batu Pahat, Johor; SMK Chung Hua Miri, Miri, Sarawak; SJKC Taman Connaught, Kuala Lumpur; SMK Bukit Goh, Kuantan, Pahang; Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi, Bandar Penawar, Johor; SMJK Chan Wa, Seremban, Negeri Sembilan dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, kemahiran robotik abad ke-21 yang ditunjukkan oleh para peserta bagi melayakkan mereka ke peringkat akhir WRO adalah sesuatu yang mengagumkan.

Jelasnya, beliau yakin dengan semangat, keazaman serta bakat semua pelajar ini untuk melakukan yang terbaik dan dan sekali gus mengharumkan nama negara.

"Saya mengucapkan selamat berjaya dan syabas kepada pelajar yang akan mewakili Malaysia ke Jerman pada tahun ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan strategik Sasbadi Holdings Berhad (Sasbadi), Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pihak sekolah, ibu bapa dan guru pembimbing yang pastinya sebagai tulang belakang kepada kejayaan pelajar hari ini.

"Bagi pihak KPM, saya berharap pelajar dan guru menggunakan peluang yang diberikan ini untuk memperoleh sebanyak mungkin pengalaman dalam pertandingan pada peringkat antarabangsa dan berkongsi pengalaman dengan pelajar dan guru apabila kembali ke sekolah nanti," katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Sejak dua tahun lalu, pertandingan WRO yang merupakan acara tahunan hanya dilakukan secara dalam talian akibat pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sasbadi Holdings Berhad, Law King Hui pula berkata, rekod prestasi kontinjen Malaysia sebelum ini yang telah memenangi gelaran juara keseluruhan bukan sahaja menunjukkan keupayaan dalam aktiviti kokurikulum tetapi juga bakat mereka dalam menimba dan mengaplikasikan pengetahuan baru.

"Kita mesti terus berusaha memupuk kemahiran yang dituntut oleh abad ke-21 ini, bukan sahaja melalui usaha kokurikulum tetapi juga melalui kaedah kurikulum," tambahnya.

Sebelum ini, kontinjen Malaysia pernah muncul sebagai juara keseluruhan dalam WRO sebanyak 10 kali sejak 2005 menewaskan pasukan seperti Taiwan, Rusia, Ukraine, Thailand, dan Jerman.

Artikel berkaitan

Tiga beradik lakar kejayaan mewakili Malaysia untuk Pertandingan Eurasian Spelling Bee di Poland

5 pelajar galas tugas penting wakil Malaysia ke FIRST Global Challenge 2022

Pelajar KV Keningau cemerlang di peringkat antarabangsa, dinobatkan juara pertandingan menulis haiku


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan