5 bersaudara yang pernah cetus fenomena dalam sukan badminton
5 bersaudara yang pernah cetus fenomena dalam sukan badminton

5 bersaudara yang pernah cetus fenomena dalam sukan badminton

Roshlawaty Md Raieh
12 Jan 2023 11:42am
A
A
A

MUNGKIN ramai dalam kalangan guru dan pelajar mengenali lima bersaudara yang menjadi lagenda dalam sukan badminton negara.

Mereka ialah anak-anak Sidek yang terdiri daripada Datuk Misbun Sidek, Datuk Razif Sidek, Datuk Jalani Sidek, Rahman Sidek dan Datuk Rashid Sidek.

Kelima-lima legenda ini telah berjaya menempa nama dalam sukan badminton dan telah mewakili negara dalam pelbagai kejohanan berprestij.

Antaranya, Sukan SouthEast Asian Games (SEA), Grand Prix Badminton Dunia, Piala Thomas dan Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England.

Dek kehebatan kelima-lima permata negara itu, maka tidak hairanlah para pelajar di Malaysia telah menjadikan mereka sebagai idola dalam sukan badminton.

Malah, tidak terkecuali pelajar gigih mencari ruang untuk menimba ilmu badminton dengan kesemua legenda berkenaan.

Untuk itu, Sinar Bestari kongsikan secara ringkas latar belakang anak-anak Sidek kepada para pembaca.

Semoga dengan maklumat ini, ia dapat dijadikan inspirasi kepada para pelajar dan juga guru untuk terus mengembangkan bakat dan kemahiran dalam sukan badminton.

1) Datuk Misbun Sidek

  • Dilahirkan pada 17 Februari 1960 di Kanchong Darat, Banting, Selangor, Misbun merupakan anak sulung dalam keluarga Sidek.
  • Ketika usia beliau mencecah 7 tahun, Misbun sudah mula dilatih secara serius oleh bapanya, Datuk Mohd Sidek Abdullah Kamar di gelanggang badminton di hadapan rumah.
  • Semasa berumur 16 tahun, Misbun terpilih mewakili negara dalam Kejohanan Jemputan Asia di Hong Kong berikutan kejayaannya muncul juara kategori bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
  • Antara sumbangan Misbun kepada negara adalah:
  • Jurulatih yang telah melahirkan ramai jaguh badminton negara seperti Roslin Hashim, Hafiz Hashim dan Datuk Lee Chong Wei.
  • Bergelar Olahragawan Kebangsaan pada 1981.
  • Juara Terbuka Jerman, Sweden dan Kanada pada 1982.
  • Pada 7 Oktober 1983, Misbun menempa sejarah sebagai pemain pertama Asia Tengara dan kedua Asia selepas jaguh India, Prakash Pradukone menjadi pemain profesional di bawah International Management Group (IMG).
  • Naib juara Piala Thomas pada 1988.
  • Merangkul pingat emas bagi acara perseorangan lelaki badminton pada Sukan SEA 1981 di Manila.
  • Juara Badminton Kebangsaan Malaysia pada 1981, 1982, 1983, 1984, 1986, 1987.
  • Naib Juara Piala Dunia 1982.
  • Naib Juara Seluruh England 1986.
  • Naib Juara Grand Prix Badminton Dunia 1988.
  • Naib Juara Piala Thomas 1988 (berpasukan lelaki).

2) Datuk Razif Sidek

  • Razif lahir pada 29 Mei 1962 di Banting, Selangor, dan merupakan anak kedua dalam keluarga Sidek.
  • Sering bermain secara beregu dengan adik lelakinya, Jalani dan mereka pernah memenangi gelaran Kejohanan Seluruh England pada 1982 selepas menumpaskan pasangan dari Scotland, Billy Gilliland dan Dan Travers.
  • Antara sumbangan Razif untuk negara adalah:
  • Salah seorang anggota skuad negara yang memenangi Piala Thomas buat kali pertama dalam 25 tahun dengan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Stadium Negara pada 1992.
  • Atlet Malaysia pertama memenangi pingat Sukan Olimpik pada temasya Barcelona 1992.

    Selepas bersara sebagai pemain badminton kebangsaan, Razif dilantik sebagai jurulatih kebangsaan dari 1994 hingga 1996.

3) Datuk Jalani Sidek

  • Jalani lahir pada 10 November 1963 di Banting, Selangor, dan telah bersara dalam dunia badminton.
  • Beliau merupakan pengasas kelab badminton yang mencari bakat pemain baharu iaitu Kelab Nusa Mahsuri.
  • Selain pengasas, beliau juga menjadi penasihat bagi kelab tersebut sejak 1996.
  • Selain itu, beliau bertanggungjawab dalam perkembangan adik beradik Hashim, Roslin dan Hafiz yang menjadi pemain badminton kebangsaan.
  • Di antara sumbangan Jalani kepada negara adalah:
  • Merangkul pingat gangsa bersama abangnya, Razif dalam perlawanan beregu pada Sukan Olimpik 1992. Anak-anak Sidek menjadi pemenang pingat Olimpik yang pertama untuk negara sejak penyertaan pada temasya 1956 di Melbourne.
  • Pemain termuda yang memenangi gelaran Kejohanan Seluruh England pada 1982.

4) Rahman Sidek

  • Dilahirkan pada 20 September 1965 di Banting, Selangor, dan kini bergelar Jurulatih Kelab Badminton Nusa Mahsuri dan Ketua Jurulatih Program Pembangunan Badminton Junior Usahasama Majlis Perbandaran Petaling Jaya/ Kelab Badminton Nusa Mahsuri.
  • Antara sumbangan beliau kepada negara ialah:
  • Juara Beregu Lelaki Terbuka Kanada dan Jerman.
  • Naib Juara Berpasukan Piala Thomas.
  • Juara Beregu Lelaki Terbuka Perak.
  • Juara Berpasukan Piala Thomas pada 1992.

5) Datuk Rashid Sidek

  • Rashid adalah anak bongsu dalam keluarga ini dan dilahirkan pada 8 Julai 1968 di Kanchong Darat, Banting, Selangor.
  • Beliau juga tidak kurang hebatnya dan merupakan bekas pemain badminton perseorangan bertaraf dunia dan diiktiraf sebagai antara perseorangan lelaki terbaik pernah dilahirkan di Malaysia.
  • Rashid adalah pemain termuda yang memenangi Kejohanan Badminton Junior kebangsaan pada 1980 ketika berumur 12 tahun.
  • Beliau juga pernah memenangi pingat gangsa acara perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta setelah menewaskan Juara Dunia dari Indonesia, Heryanto Arbi. Ia adalah kemenangan yang tidak disangka sama sekali.
  • Rashid menjadi pemain nombor satu dunia buat kali pertama pada 1997. Beliau kini berkhidmat sebagai jurulatih kepada pemain pelapis dalam pasukan badminton kebangsaan.

Sumber: Portal ilabur

Artikel berkaitan 

Ratu Badminton, Goh Liu Ying miliki pakej sempurna hingga jadi idola ramai

Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan

Amir Izwan dinobat Tokoh Siswa UPSI 2021


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan