Untitled design
Untitled design

Ratu Badminton, Goh Liu Ying miliki pakej sempurna hingga jadi idola ramai

Roshlawaty Md Raieh
19 Jan 2022 03:37pm
A
A
A

Goh Liu Ying, nama yang mula meniti di bibir peminat sukan badminton negara selepas memenangi pingat perak dalam acara beregu campuran bersama pasangannya, Chan Peng Soon pada temasya Sukan Olimpik 2016.

Sejak itu, Liu Ying menjadi idola bagi mereka yang berhasrat mengikut jejak langkahnya dalam arena sukan badminton.

Anak kelahiran Melaka ini dilihat cukup bertuah kerana memiliki pakej sempurna lalu menjadi atlet sanjungan ramai.

Selain lincah di gelanggang, kejelitaan wajah menjadikan dirinya turut ‘diburu’ agensi model atau dilantik sebagai duta produk.

Goh Liu Ying bersama pasangan beregunya Chan Peng Soon berjaya melonjakkan nama negara dalam sukan badminton.

Ketika ditemu bual GPSBestari baru-baru ini, beliau memberitahu, tetap menjalani latihan badminton seperti biasa sama seperti sebelum ini.

Cuma, dirinya masih memerlukan masa untuk berfikir mengenai masa depannya selepas tidak lagi bergandingan dengan Peng Soon.

“Ramai yang bertanya sama ada saya sudah ‘gantung’ raket atau belum. Sebenarnya, saya pun tertanya-tanya tetapi hingga kini masih belum ada jawapan.

“Berilah saya sedikit masa untuk membuat keputusan. Terima kasih kepada semua atas sokongan anda selama ini,” kata pemain yang berusia 32 tahun ini.

Liu Ying dan Peng Soon telah mengumumkan perpisahan mereka selepas 13 tahun bergandingan dengan aksi terakhir bersama adalah pada Jelajah Dunia Akhir BWF 2021 di Bali, Indonesia.

Pada kejohanan itu, mereka tewas di tangan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai pada separuh akhir.

Sepanjang mewakili negara pasangan ini juga pernah meraih 12 gelaran.

Antaranya pingat emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 dan berada di kedudukan ketiga terbaik dunia pada 2013.

Baca juga Guru dan inventor mampu hasilkan inovasi hebat menerusi teknik SCAMPER

Baca juga “15 hari tanpa kasut tumit tinggi, beg tangan berjenama dan baju formal kerana kamilah cleaner yang dimaksudkan itu”

Jalani dua kali pembedahan

Sepanjang bergelar atlet, Liu Ying yang sangat disenangi ramai kerana sikap rendah dirinya itu menjelaskan, pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu dilaluinya sebelum berjaya mencipta nama seperti hari ini.

“Banyak perkara yang tidak dapat dilupakan. Yang paling diingati adalah dua pembedahan yang perlu dijalani di kedua-dua belah lutut pada 2014 selepas mengalami kecederaan serius hingga saya perlu berehat daripada bermain badminton selama setahun sebelum kembali aktif pada 2015.

“Kemudian, dalam tempoh setahun selepas pembedahan, setiap kali habis perlawanan, saya perlu mengambil ubat tahan sakit kerana kedua-dua lutut membengkak.

“Selepas itu, pada 2017 pula, saya sekali lagi mengalami kecederaan di bahu kiri dan terpaksa menjalani pembedahan di Jerman,” katanya.

Sebagai atlet negara, Liu Ying tidak menafikan bahawa dia juga berdepan dengan tekanan.

“Tekanan ada di mana-mana. Daripada keluarga hinggalah rakyat Malaysia.

“Saya faham mereka mahukan yang terbaik dan mahu saya menang dengan cemerlang dalam setiap kejohanan disertai. Jadi, saya kena bangkit, mesti kuat dari segi mental dan fizikal. Saya tidak boleh lemah atau cepat putus asa. Kena buktikan yang saya boleh buat,” ujarnya.

Ayah sumber inspirasi

Anak sulung daripada tiga adik beradik ini memberitahu, minat bermain badminton berputik ketika dia berusia lima tahun.

“Ayah, Goh Chak Whee menjadi sumber inspirasi dalam hidup saya hingga berjaya menempa nama dalam arena sukan badminton.

“Ayah pernah cakap, sukan ini bagus dan mempunyai masa depan yang cerah. Dia juga pernah pasang impian untuk melihat saya beraksi di pentas Olimpik dan syukur, ia sudah tercapai. Terima kasih untuk semua ini ayah,” ujarnya yang sudah beraksi di Sukan Olimpik sebanyak tiga kali iaitu Olimpik London 2012, Olimpik Rio 2016 dan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam pada itu, Liu Ying turut berkongsi tip untuk para pemain badminton mencipta kejayaan.

“Jaga disiplin, berani terima apa jua cabaran, bersabar dan jangan cepat putus asa.

“Semua tip ini wajib ada dalam diri bukan hanya untuk pemain badminton, bahkan atlet lain.

“Perkongsian tip ini adalah berdasarkan pengalaman sendiri malah masa mula-mula jadi atlet negara, memang tidak terfikir untuk bersama pasukan Malaysia. Tapi itulah, rezeki,” katanya yang menasihatkan pemain supaya jaga pemakanan dengan baik.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

PROFIL

Nama: Goh Liu Ying

Tarikh lahir: 30 Mei 1989

Tempat lahir: Alor Gajah, Melaka

Zodiak: Gemini

Idola: Datuk Lee Chong Wei dan ahli keluarga

Nama ayah: Goh Chak Whee

Nama ibu: Yong Oi Lin

Anugerah dan pencapaian:

  • Memenangi pingat Perak di Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara Beregu Campuran bersama Peng Soon. Ia merupakan pingat pertama buat Malaysia dalam acara tersebut pada sukan Olimpik.
  • Memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2010 di New Delhi dan pelbagai kejuaraan antarabangsa.
  • Liu Ying merupakan pembawa Jalur Gemilang bersama Lee Zii Jia pada acara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
  • Sudah beraksi di sukan Olimpik sebanyak tiga kali iaitu di Olimpik London 2012, Olimpik Rio 2016 dan Olimpik Tokyo 2020.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok