Untitled design (51)
Untitled design (51)

Amalan kitar semula mampu merealisasikan usaha pemuliharaan alam sekitar

Azleenda Sahaludin
30 Dec 2022 04:28pm
A
A
A

Amalan kitar semula merupakan satu perkara yang amat penting untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian bagi mengurangkan bahan buangan, pencemaran dan penggunaan tenaga yang berlebihan sehingga menjejaskan kualiti kehidupan penduduk bumi.

Melihat kepada kepentingan amalan ini, Fraser and Neave Holdings Bhd (F&NBH) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Prai (MBSP) dan majlis tempatan yang lain di Semenanjung Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak telah menganjurkan Program Kitar Semula Peringkat Sekolah di seluruh negara.

Program ini kembali dianjurkan selepas dua tahun negara mengalami pandemik Covid-19 dan kali ini ia melibatkan 67 buah sekolah rendah dan menengah dengan hampir 150,000 kilogram (kg) sisa kitar semula termasuk plastik, aluminum dan minuman karton berjaya dikumpulkan sepanjang tempoh program berjalan.

Bermula Jun hingga September lalu, program ini bertujuan membantu pelajar sekolah mendalami ilmu kepentingan kitar semula dan menjaga alam sekitar.

Menurut Pengarah Komunikasi, Hal Ehwal Korporat dan Kelestarian F&NBH, Karen Tan, generasi muda dilihat sebagai ejen penting untuk merealisasikan usaha pemuliharaan alam sekitar demi kesejahteraan negara pada masa depan.

Tambahnya, budaya kitar semula yang disemai dalam diri mereka akan mendorong untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian hingga dewasa.

“Namun, usaha ini tidak dapat diteruskan sekiranya tidak mendapat sokongan dan dorongan daripada guru dan ibu bapa.

“Oleh itu, mereka memainkan peranan penting untuk mendidik anak-anak seawal mungkin agar dapat meningkatkan kesedaran alam sekitar di negara ini.” ujarnya.

Selain itu, program ini juga telah meraikan sekolah yang memenangi atas usaha mereka mengumpul bahan kitar semula paling banyak mengikut kategori masing-masing.

Bagi sekolah di dalam kawasan MBPP, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Feringghi telah menjuarai untuk kategori pra-sekolah, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Eng Chuan kategori sekolah rendah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Pulau Tikus kategori sekolah menengah.

Sementera itu, Tadika Interaktif menjuarai bagi kategori pra-sekolah, SJKC Chin Hwa untuk kategori sekolah rendah dan SMK Tun Syed Sheh Barakbah untuk kategori sekolah menengah dalam kawasan MBSP.

Dalam pada itu, pertandingan melukis poster bersempena kitar semula bertajuk ‘How To Keep Malaysia Green With R-Boy’ turut diadakan.

Ia menyaksikan SK Sri Kelana bagi kategori sekolah rendah dan SMK Convent Butterworth untuk kategori sekolah menengah telah angkat menjadi pemenang peringkat kebangsaan.

Kedua-dua buah sekolah tersebut telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah  RM 3,000.

Artikel berkaitan

Pelajar sekolah pendidikan khas dirai sempena Krismas

8 ciri pemimpin sekolah yang menjadi dambaan guru di Malaysia

Usaha SMK Aminuddin Baki berbaloi, Pemenang ASSSB Kategori Sekolah Menengah Bandar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan