HomeKategori Sekolah MenengahBandarUsaha SMK Aminuddin Baki berbaloi, Pemenang ASSSB Kategori Sekolah Menengah Bandar

Usaha SMK Aminuddin Baki berbaloi, Pemenang ASSSB Kategori Sekolah Menengah Bandar

Debaran sekolah manakah yang berjaya mengungguli kategori sekolah menengah bandar dalam Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) 2021/2022 akhirnya terjawab apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur diumumkan sebagai pemenangnya.

Pengetua sekolah berkenaan, Zubidah Md Yunos, 57, meluahkan rasa syukur atas kejayaan yang diperoleh walaupun baru dua tahun berkhidmat di sekolah berprestasi tinggi itu.

“Ganjaran ini bukan pencapaian saya seorang selaku pengetua tetapi ini merupakan kejayaan semua pihak termasuk guru-guru, anggota kumpulan sokongan, pelajar-pelajar dan sokongan ibu bapa.

“Semua warga sekolah memberi sumbangan yang baik dalam bidang pengurusan, pentadbiran, kemenjadian murid dalam akademik, sahsiah dan kokurikulum.

“Komitmen yang ditunjukkan guru-guru dalam melaksanakan semua program sekolah serta kejayaan murid-murid sepanjang tahun 2021 dan 2022 berjaya dibuktikan dengan anugerah ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah di Hotel Concorde, Shah Alam baru-baru ini.

Menurutnya, wabak Covid-19 yang melanda negara selama dua tahun tidak menghalang semua guru dan anak murid meneruskan tanggungjawab masing-masing dalam menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Murid-murid sangat komited untuk menghadiri kelas secara dalam talian setiap hari walaupun berbeza latar belakang kehidupan.

“Bagi yang kurang berkemampuan untuk menghadiri kelas PdPR, mereka dibantu oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melalui sumbangan gajet.

“Guru-guru pula berusaha dan proaktif untuk menimba ilmu dalam dunia digital bagi memantapkan sesi PdPR masing-masing melalui aktiviti Professional Learning Community (PLC),” ujarnya.

Selain itu, aktiviti kokurikulum yang banyak dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), agensi luar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dimanfaatkan sebaik mungkin.

Melaluinya, guru-guru berjaya menggalakkan pembabitan anak murid untuk menyertai semua pertandingan secara dalam talian baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Kenangan ketika SMK Aminuddin Baki menyertai pertandingan International Applied Biology Olympiad di Bali, Indonesia pada 30 Jun hingga 3 Julai lalu dan berjaya mendapat satu Anugerah Khas (Grand Winner), selain dua pingat emas, tujuh pingat perak dan satu pingat gangsa.

Hasilnya, banyak kejayaan dalam bidang kokurikulum telah diraih mereka sepanjang tahun 2021 dan 2022.

Tambahnya, pihak sekolah berusaha memanfaatkan hadiah yang diterima untuk memenuhi kebajikan semua warga sekolah, di samping menampung kos program-program sekolah yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Ujarnya, anugerah ini juga membuka peluang untuk mempromosikan nama SMK Aminuddin Baki, sekali gus membina lebih banyak jaringan strategik dengan komuniti luar termasuk pihak NGO dan agensi luar.

Ulasnya lagi, jaringan strategik ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah dari segi khidmat kepakaran dan peruntukan bagi menjayakan program-program sekolah.

“Moto Reach Higher See Further Shine Brighter adalah rahsia kejayaan kami yang membawa maksud SMK Aminuddin Baki mengejar kecemerlangan dalam bidang pengurusan, pentadbiran, akademik, sahsiah dan kokurikulum.

“Kami bersedia mendepani VUCA atau dunia tidak stabil (volatility), tidak pasti (uncertainty), rumit (complexity) dan kabur (ambiguity) yang penuh dengan cabaran.

“Murid-murid juga diberi pendedahan tentang ciri kepimpinan serta daya tahan mental dan fizikal melalui aktiviti dalam pelbagai bidang yang dijalankan sepanjang tahun,” katanya.

Selain dirinya, beliau memberitahu, guru penolong kanan dan guru teknologi maklumat (ICT) merupakan orang kuat yang bertungkus lumus menyediakan kelengkapan untuk pertandingan ini.

Zubidah berharap penganjuran ASSSB dapat diteruskan pada tahun-tahun hadapan.

***

Pencapaian sekolah

1. Pingat emas dalam Pertandingan Asian Innovation Science Environmental and Entrepreneur Fair (AISEEF) Indonesia 2022.
2. Pingat emas Category Food Technology Special Award daripada Institut Pertanian Bogor (IPB), Indonesia.
3. Pingat perak dalam International Science Technology And Engineering Competition (ISTEC) Bandung, Indonesia.
4. Pingat emas dalam Sea Games National Selection Race 2022.
5. Pingat emas dalam 1st Milo Age Group Swimming Championships peringkat antarabangsa di National Aquatic Centre, Kuala Lumpur Sports City Panda.
6. Pingat gangsa Sea Games National Selection Race 2022 National Junior and Youth Tri Liga Peringkat Kebangsaan.
7. Tempat pertama 1m Springboard, 57th Milo/mas Malaysia Invitational Age Group Diving.
8. Pingat perak Pertandingan World Science, Environment And Engineering (WSEEC) 2002 Kategori Life Sciences Peringkat Antarabangsa.
9. Pingat gangsa dalam Kejohanan Bola Keranjang Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pudu.
10. Tempat Ke-3 Kategori Elite Junior Women Peringkat Antarabangsa.
11. Pingat gangsa dalam Pertandingan International Research Project Olympiad (IRPO) Indonesia Antarabangsa.
12. Pingat gangsa dalam International Research Project Olympiad 2022 Anjuran Indonesia Scientific Society.
13. Pingat emas Pertandingan Silambam, Sukan Malaysia (Sukma).

Artikel berkaitan 

Sinar Bestari umum perancangan ASSSB tahun depan

Meriah! SK Chopin bawa rombongan sekolah raikan kemenangan dalam ASSSB

SMK Aminuddin Baki Kuala Lumpur cemerlang dalam akademik, sukan dan kokurikulum


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok