HomeKomunitiAnak Melaka cemerlang STPM, turut tersenarai 10 pelajar terbaik peringkat kebangsaan

Anak Melaka cemerlang STPM, turut tersenarai 10 pelajar terbaik peringkat kebangsaan

Gadis berketurunan Tiong Hua ini membuktikan tiada yang mustahil untuk menjadi antara 10 pelajar terbaik peringkat kebangsaan.

Lim Sze Ling atau lebih mesra disapa Sze Ling merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Sebang, Melaka yang meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Saya beranggapan hanya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 sahaja tetapi tak sangka turut berada dalam kalangan 10 pelajar terbaik peringkat kebangsaan.

“Jadi, perasaan terkejut, gembira dan tidak sangka semua ada kerana keputusan untuk menyambung persekolahan ke Tingkatan Enam adalah untuk mencabar kebolehan diri.

“Ini disebabkan semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya memperoleh gred keputusan 10C dan bagi saya STPM ini merupakan peluang untuk membuktikan keupayaan sebenar,” katanya.

Sementara itu, di negeri yang sama, pelajar SMK Seri Tanjong, Nur Raidah Abdul Majid juga menjadi antara 33 calon STPM 2021 yang mendapat PNGK 4.0.

Menurutnya, keputusan SPM lalu yang membakar semangatnya untuk terus bangkit, sekali gus membuktikan dirinya mampu melakukan yang lebih baik.

“Saya memperoleh 4A sahaja daripada keseluruhan subjek, manakala subjek lain pula sekadar mencapai tahap lulus, namun tidak mencapai sasaran ditetapkan.

“Itu yang membuatkan saya kecewa, tetapi dari kejatuhan masa lalu menjadikan saya untuk terus bangkit dan ibu bapa adalah inspirasi saya.

“Alhamdulillah, berkat doa semua juga termasuk guru, saya beroleh kejayaan yang cemerlang pada hari ini,” ujarnya yang gembira dapat membawa ibu bapa naik ke pentas untuk meraikan kejayaan.

Sambungnya, pencapaian dalam STPM itu adalah bagi membalas jasa dan pengorbanan mereka yang sentiasa mendoakan dan memberi sokongan kepadanya.

Untuk rekod, Melaka mencatat gred purata negeri sebanyak 2.85 mata pada STPM 2021 dan angka itu sama seperti dicatatkan pada STPM 2020.

Artikel berkaitan

Pelajar terbaik kongsi rahsia skor 10A+ dan 9A+

ICFL anjur kejohanan bola sepak B16 peringkat kebangsaan

Rabun bukan penghalang Niki raih keputusan cemerlang dalam STPM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok