HomeGen ZPelajar terbaik kongsi rahsia skor 10A+ dan 9A+

Pelajar terbaik kongsi rahsia skor 10A+ dan 9A+

“Sejak berada di Tingkatan Empat lagi saya dah target untuk dapatkan A+ dalam semua mata pelajaran.

“Kerana itu, saya tetapkan dalam jadual belajar yang saya perlu buat latihan setiap hari dan ia mesti dilakukan secara konsisten.

“Dan akhirnya, segala usaha ini berbaloi apabila saya memperoleh keputusan 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021,” kata pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor, Shrreya Arivazhagan kepada Sinar Bestari.

Menurutnya, sesi pembelajaran kali ini cukup mencabar kerana dia dan rakan-rakan perlu belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan pandemik Covid-19.

“Memang sangat susah apabila belajar secara dalam talian ini. Susah maksud saya bila ada masalah dalam pelajaran, tidak tahu bagaimana hendak cari solusi.

“Namun, saya bernasib baik sebab cikgu dan rakan-rakan sentiasa membantu. Malah, kekerapan berhubung dengan guru-guru adalah antara faktor saya memperoleh keputusan cemerlang ini,” kata anak sulung daripada dua adik beradik ini.

Shrreya yang bercita-cita mahu menjadi seorang doktor gigi menasihatkan kepada semua calon SPM akan datang agar tidak mengulang kaji pelajaran pada saat-saat akhir.

“Anda kena mula daripada sekarang kerana banyak topik dan formula yang perlu diingati.

“Susun jadual belajar sebaik mungkin dan belajar dengan konsisten. Jangan terlalu fikir tentang penat kerana bila anda sudah dapat keputusan, segala penat lelah selama ini akhirnya berbaloi,” katanya yang berhasrat menyambung pelajaran dalam negara kelak.

Belajar dengan tenang

Sementara itu, Cheong Wen Yi yang mendapat 9A+ dalam SPM 2021 pula berkata, dia sebenarnya masih lagi terkejut dengan keputusan tersebut.

“Ketika ujian percubaan, saya hanya mendapat beberapa A dan A+ sahaja. Tetapi kali ini, saya dapat 9A+.

“Memang tidak sangka tapi saya yakin keputusan ini adalah hasil usaha keras yang telah dilakukan selama ini,” ujarnya.

Wen Yi berkata, cara dia belajar tetap sama seperti pelajar-pelajar lain.

Dia akan mengulang kaji pelajaran setiap hari walaupun sekejap. Kemudian, jika berhadapan dengan tekanan, dia akan berhenti seketika dan meneruskan pembelajaran bila emosi sudah stabil.

Sambungnya, jangan paksa diri untuk belajar dan terlalu mengejar keputusan yang diimpikan.

“Belajar kena tenang dan relaks sahaja. Sekiranya ada masa anda tidak sihat, berehatlah buat seketika dan sambung semula nanti.

“Lepas itu, jangan lupa buat nota poket untuk semua subjek. Cara ini sememangnya banyak membantu calon peperiksaan untuk skor A dalam SPM,” katanya.

Artikel berkaitan 

1,803 calon di Selangor peroleh A bagi semua subjek dalam SPM 2021

Dijangkiti Covid-19 ketika SPM, hikmah buat Alyssa raih keputusan cemerlang.

Program empowerNCER-Akademik bantu tingkatkan kecemerlangan pelajar SPM 2021


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok