Ini yang Sekolah Menengah Antarabangsa Sri Desa lakukan bagi atasi beg sekolah berat. Terbaik kaedahnya!
Ini yang Sekolah Menengah Antarabangsa Sri Desa lakukan bagi atasi beg sekolah berat. Terbaik kaedahnya!

Ini yang Sekolah Menengah Antarabangsa Sri Desa lakukan bagi atasi beg sekolah berat. Terbaik kaedahnya!

Roshlawaty Md Raieh
07 Mar 2022 02:20pm
A
A
A

Semua murid sekolah berhadapan dengan masalah yang sama apabila berbicara tentang isu beg sekolah berat.

Mahu atau tidak, mereka harus membawa buku yang sangat banyak walaupun sudah mengikut jadual waktu yang telah ditentukan.

Bagaimanapun, bagi pelajar Sekolah Menengah Antarabangsa Sri Desa (Sri Desa International Secondary School) Kuala Lumpur, isu beg berat tidaklah menjejaskan pembelajaran mereka.

Ini kerana, para pelajar membawa buku dalam jumlah yang sedikit disebabkan hanya tiga subjek sahaja yang dipelajari setiap hari.

Pengetuanya, Janice Saw Sooi Ching, 38, berkata, setiap hari pelajarnya akan datang ke sekolah yang bermula pada pukul 8 pagi hingga 3 petang.

“Mengikut jadual setiap hari, para pelajar hanya akan belajar tiga subjek dan bilangan buku tidak banyak bergantung kepada keperluan pada hari tersebut.

“Memang dari dulu lagi pihak sekolah berbuat demikian bagi mengurangkan subjek dan bebanan buku yang dibawa ke sekolah. Cuma bezanya, setiap subjek akan dipanjangkan kepada satu jam setengah hingga dua jam,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Cikgu Janice

Baca juga 

13 solusi atasi masalah beg berat, KPM akhirnya pertimbang penyediaan lokar di sekolah

Komputer riba dengan harga murah, pelajar jangan cepat terpedaya

Mempunyai sekitar 20 orang guru dan 150 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima, Cikgu Janice berkongsi, pelajar tetap mengikuti pembelajaran seperti biasa walaupun tidak banyak buku yang dibawa.

“Nota dan latihan tetap diberikan cuma kami lebih banyak beri secara dalam talian sebagai memanfaatkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran.

“Sekiranya mereka tidak membawa buku teks atau buku latihan ke sekolah, mereka masih boleh merujuk nota yang dikongsikan di dalam Microsoft Team dan juga menghantar tugasan di situ. Cara ini memang sangat mudah,” kata anak kelahiran Pulau Pinang ini yang sangat prihatin dengan kebajikan pelajar dan berusaha untuk tidak membebankan pelajar dengan minimumkan subjek setiap hari.

Apabila diminta mengulas mengenai isu beg berat yang hangat diperkatakan saban tahun, guru yang sudah 11 tahun menjadi pendidik ini memberitahu, ia sudah terlalu lama berlaku.

“Sejak saya di sekolah rendah satu masa lalu, isu ini sudah pun dibangkitkan. Memang masa itu beg sangat berat, tapi apa boleh buat sebab semua buku digunakan untuk pembelajaran dalam kelas.

“Jadi sekarang, saya tidak mahu pelajar alami perkara yang sama. Justeru, teknologi yang ada kini mungkin dapat membantu anak-anak didik di Sekolah Menengah Antarabangsa Sri Desa agar tidak lagi menggalas beg berat,” jelasnya.

Jadual waktu anjal dilihat antara usaha membantu pelajar sekolah tidak menggalas beg berat ke sekolah setiap hari.

Naik tangga galas beg berat

Berkongsi pengalamannya menggalas bebanan beg berat, penerima Anugerah Biasiswa Singapura (Kementerian Luar Negeri, Singapura) ini berkata, ia berlaku sekitar tahun 1990-an.

“Sudahlah beg berat dengan buku ditambah lagi dengan bekal. Kadang-kadang ada peralatan tambahan lain yang wajib dibawa pada hari-hari tertentu.

“Sampai di sekolah, saya perlu menaiki tangga untuk ke kelas. Bertambah penat kerana menggalas beg sekolah yang berat. Sakit bahu dan belakang memang dirasai setiap hari. Kawan-kawan pun sama. Tapi hendak buat macam mana,” jelasnya.

Sementara itu, Cikgu Janice yang suka membaca dan aktif bersukan memberitahu, situasi beg berat tidak pernah menghalang dirinya meraih kejayaan dan mencapai cita-cita menjadi seorang pendidik.

“Antara beg berat dan kerjaya pendidik, dua perkara berbeza. Jangan disebabkan beg berat, kita tidak boleh gapai apa yang dicita-citakan.

“Macam saya, pilih kerjaya sebagai seorang cikgu sebab minat. Saya hendak kongsi ilmu dengan pelajar dan mahu lahirkan lebih ramai anak-anak didik yang cemerlang dalam pelbagai aspek sehingga dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” tuturnya.

Mengakhiri perbualan, Cikgu Janice menyarankan ibu bapa untuk menyediakan beg beroda kepada anak-anak bagi mengurangkan beban mereka terutamanya anak-anak yang berbadan kecil.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Selain itu, ibu bapa juga boleh berbincang dengan pihak sekolah untuk menyediakan tempat penyimpanan buku di sekolah agar murid tidak perlu membawa kesemua buku pada setiap hari,” katanya dengan mengambil peluang mengucapkan semoga berjaya kepada semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berlangsung kini.

Sentiasalah bersifat positif dan fokus serta jaga kesihatan agar dapat menjawab dengan baik semasa menduduki SPM.

INFO

Antara kejayaan pelajar Sekolah Menengah Antarabangsa Sri Desa

- 100 peratus mendapat gred A/A dalam subjek Bahasa Melayu sebagai bahasa asing, Biologi dan Kimia bagi tahun 2021.

- 51 peratus pelajar menerima anugerah tertinggi bagi peperiksaan IGCSE 2021.

- Anugerah pelajar cemerlang Cambridge tertinggi di dunia bagi Bahasa Mandarin sebagai bahasa asing 2021.

- Pemenang gangsa bagi Kejohanan Pedang peringkat kebangsaan 2022 kategori Kadet.

- Pemenang gangsa Pertandingan Malaysia Mathematical Invitational (MMI) 2021.

- Tempat keempat dalam Pertandingan Penulisan Bahasa Inggeris Bukan Fiksyen (Kategori A) Yayasan Maybank - Peraduan Penulisan & Foto Yayasan Kepimpinan Perdana 2020.

- Anugerah emas Pertandingan Commonwealth Essay 2020.

- Anugerah perak Pertandingan Commonwealth Essay 2021.

- Anugerah gangsa Pertandingan Kangaroo Math Competition 2020.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok