267105896_10227467047844530_7519701690924345494_n-696x517
267105896_10227467047844530_7519701690924345494_n-696x517

“Berduyun-duyun mengucap tahniah, tapi, hati kecil ini tak dapat menipu, dalam diam ia menangis” - Guru kongsi rasa sebak tinggal Bumi Kenyalang

Mohd Khairi Mohamad Yusri
20 Dec 2021 02:02pm
A
A
A

Setelah sekian lama tinggal dan berkhidmat di sesuatu kawasan, bohonglah jika seseorang itu mengatakan tidak wujud rasa sayang dan cintanya wujud di tempat tersebut.

Bukannya tidak suka akan tempat sekarang, namun peluang pergi ke penempatan yang lebih dekat dengan kampung halaman dan ibu bapa adalah sangat mengujakan.

Namun tempat yang pernah diduduki akan terus menjadi sebahagian dari diri mereka. Baru-baru ini seorang guru yang menggunakan nama Muhammad Syauqi di Facebook, berkongsi rasa sebaknya setelah bakal meninggalkan bumi Sarawak setelah lapan tahun berbakti sebagai guru di sana.

Dalam hantarannya, beliau berkongsi pengalamannya sepanjang bergelar seorang pendidik yang menurutnya sangat tinggi toleransi agama, sifat hormat menghormati serta pelajar-pelajar di sana mempunyai adab yang sangat terhadap orang yang lebih tua.

Mari ikuti perkongsian beliau di bawah.

**

Hari terakhir aku di sini. Entah bila akan kembali, itu belum pasti. Mungkin sebulan lagi, setahun lagi, 10 tahun lagi, 20 tahun lagi. Atau mungkin ini yang terakhir sepanjang hidup.

Sekolah pertama "posting", sekolah tempat aku bertemu jodoh, sekolah tempat aku belajar tentang manusia-manusia yang hidup tanpa kemewahan. Di sini, aku tidak dapat melihat anak-anak memakai baju berjenama mahal, aku tidak dapat melihat ibu bapa memperagakan kereta mewah. Tetapi, aku melihat senyum di bibir yang masih terukir, wajah bahagia mereka menerima seadanya.

Di sini, aku belajar tentang perbezaan budaya, tentang toleransi agama. Rakan-rakan guru, staf, orang kampung semuanya bukan sebangsa dan seagama denganku. Mereka merupakan masyarakat Orang Ulu dari pelbagai etnik majoritinya Kenyah dan Penan yang beragama Kristian.

Namun, saat bulan Ramadan tiba, guru-guru dan staf di sinilah yang berperanan menganjurkan majlis berbuka puasa untuk kami sekeluarga walaupun majoritinya beragama Kristian. "Sorry ya, kami makan depan kamu." Itu kata-kata yang dilontarkan mereka seolah bersalah saat makan dan minum di hadapan kami ketika berpuasa.

Pernah sekali ketika berburu bersama rakan guru dan orang tempatan, aku meminta izin untuk solat seketika dan mereka setia menungguku menghabiskan solat di tengah hutan sebelum meneruskan perjalanan.

Ah, banyak lagi toleransi yang ditunjukkan mereka walau kami berbeza latar belakang budaya dan agama. Takkan habis jika diceritakan di sini.

Di sini juga, aku belajar tentang kerendahan hati. Aku belajar membuang ego di dalam diri. Kadangkala, anak bandar sepertiku terlalu bongkak mendabik dada, seolah tahu semua benda. Kononnya aku lebih tahu, lebih terpelajar berbanding mereka.

Tapi, itu semua dusta belaka. Bila masuk ke hutan, akulah yang paling bodoh di antara mereka. Aku tidak reti menembak, aku tidak reti mengecam mata binatang. Itu belum berbicara soal menggunakan parang, soal bertukang. Akulah yang paling kekok, paling corot. Menjala, memasang pukat, menembak ikan, menyelam, berenang. Ah, semua itu mainan mereka. Dan aku pula seolah anak kecil yang masih terkapai-kapai memerhati. Mereka sudah di peringkat ijazah, aku hanya budak prasekolah.

Jelaslah, walau aku seorang guru, bukan semua yang aku tahu. Ada masanya, merekalah guruku. Mereka banyak memanusiakan aku, menjadikan aku lebih menunduk ke bumi.

Anak-anak di sini, mereka begitu menghormati guru. Ibu bapa mereka amat menyanjungi guru. Kadangkala, bila pergi membeli buah-buahan atau sayur-sayuran, mereka bagi "free". Ah, baiknya mereka, menyantuni kami yang merantau di tempat mereka.

Nak dikupas satu-persatu, nak dicerai inti cerita, semuanya mustahil untuk aku lakukan dalam coretan yang cuma seketika. Cerita 8 tahun, takkan mudah mahu dikongsi dalam satu coretan pendek yang tak sampai 15 minit dibaca.

Cuma nasihat aku, andai kata ada guru Semenanjung yang ditugaskan ke sini kelak, diminta menabur bakti ke Bumi Kenyalang terutamanya di daerah pedalaman, maka pergilah. Aku ulang, pergilah. Anda takkan rugi. InsyaAllah, keberadaan anda di sini bukanlah suatu perkara yang sia-sia.

Penghantaran guru baharu dari Semenanjung ke Borneo bagiku adalah sesuatu yang positif, agar mereka lebih mengenali dan mendalami cara hidup dan budaya masyarakat di sini yang mungkin ada masanya berbeza dari sana. Inilah yang membuatkan mereka lebih terbuka dan belajar menerima perbezaan.

Berada di sini, ambillah peluang menjelajah, mengembara di negeri yang luas terbentang ini. Banyak keindahan yang anda akan lihat jika rajin mencari. Bukan sekadar alamnya yang mempesona, tetapi kepelbagaian budaya dan etnik membuatkan negeri ini unik.

Alhamdulillah, banyak juga tempat yang sempat aku jelajahi sepanjang kira-kira 8 tahun di sini. Bukan sekadar di kota, tetapi juga di ceruk-ceruk pedalaman yang jarang dikunjungi.

Aku dan isteri, kami berdua guru Semenanjung terakhir yang tinggal di sekolah ini. Rakan-rakan Semenanjung lain semuanya sudah tiada, semuanya sudah berbakti di pelbagai negeri sejak awal tahun ini.

Jika sebelum ini, aku melihat rakan-rakan pulang membawa diri, tapi kali ini, kaki ini sendiri yang akan melangkah pergi. Berat hati rasanya mahu mengundur diri, tapi apakan daya sudah tertulis takdir Ilahi.

Berduyun-duyun mengucap tahniah, pulangnya kembali aku ke tanah Semenanjung. Tapi, hati kecil ini tak dapat menipu, dalam diam ia menangis, menahan sebak takdir tertulis.

Terima kasih SK Tegulang, terima kasih Bumi Kenyalang untuk 8 tahun yang penuh erti!

Artikel berkaitan

Ayat "tahniah, permohonan pertukaran anda diluluskan" bikin Cikgu Qarim terdiam dan hilang kata-kata!

"Apabila posting nanti, jangan tunjuk kita rajin, ringan tulang. Nanti kena buli habis-habisan”

Sukar menyesuaikan diri? Guru ini kongsi 10 petua berpindah ke sekolah baharu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan