Budaya membaca masih membimbangkan! 2 pakar kongsi tip khas yang pasti berkesan
Budaya membaca masih membimbangkan! 2 pakar kongsi tip khas yang pasti berkesan

Budaya membaca masih membimbangkan! 2 pakar kongsi tip khas yang pasti berkesan

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
12 Sep 2022 06:05pm

Budaya membaca masyarakat Malaysia khususnya dalam kalangan generasi muda hari ini dilihat amat membimbangkan dan ia secara tidak langsung mencerminkan masa depan industri penerbitan yang suram.

Statistik menunjukkan bahawa budaya membaca rakyat Malaysia masih jauh untuk diklasifikasikan sebagai ‘masyarakat membaca’ kerana kurang daripada tiga jam seminggu diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Malah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada pertengahan tahun 2020, budaya membaca rakyat negara ini kekal di tahap sederhana walaupun jualan buku dalam talian meningkat.

Isu minat membaca ini masih menjadi sebuah topik untuk dibahaskan dalam kalangan ahli akademik memandangkan ia adalah satu isu yang tidak ada penyelesaian.

Mendepani isu ini, pelbagai inisiatif dan kempen ke arah memupuk minat membaca telah dilaksanakan sebelum ini yang kebanyakannya menumpukan kepada golongan sasar iaitu kanak-kanak. Ibarat pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’, minat membaca mesti dipupuk sedari usia muda.

Namun, jika dilihat situasi masa kini, usaha ini sedang berdepan dengan cabaran ledakan teknologi sehinggakan aktiviti membaca buku konvensional dilihat sebagai aktiviti yang membosankan.

Dunia kanak-kanak yang menjadi kumpulan sasaran awal dalam membudayakan amalan membaca disajikan dengan material lain sebagai alternatif merangsang minda mereka yang lebih menyeronokkan berbanding disogokkan dengan buku bercetak.

Persaingan dengan teknologi media baharu, internet dengan adanya media sosial seperti YouTube, membuatkan kanak-kanak lebih tertarik dengan aktiviti tersebut berbanding aktiviti membaca.

Hasil perdebatan dan kajian dalam kalangan pakar subjek dan ahli akademik, antara komponen utama dalam menyumbang kepada minat membaca adalah nilai estetika sesebuah penerbitan.

Nilai estetika

Menurut kamus dewan edisi keempat, estetika membawa maksud satu konsep yang berkaitan dengan kecantikan, keindahan dan citarasa. Kebiasaannya ia dikaitkan juga dengan nilai artistik dan sifat seni.

Jika dikaitkan dengan penerbitan, ia merujuk kepada keindahan, kecantikan dan nilai artistik sesebuah buku tersebut merangkumi pelbagai aspek seperti reka bentuk, penceritaan, bahasa, medium, kandungan dan genre.

Terdapat penerbit yang menerbitkan majalah fokus kepada kanak-kanak yang diklasifikasikan sebagai buku komik atau majalah pendidikan tetapi mempunyai ciri-ciri khusus yang menarik minat kanak-kanak untuk membaca.

Kecantikan atau keindahan visual merupakan nilai estetik dan komponen yang paling penting kepada kanak-kanak, dengan mengambil kira penglibatan, umur dan jantina. Komponen ini dilihat akan memberi kesan kepada minat membaca golongan ini (kanak-kanak).

Terdapat kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa kebanyakan kanak-kanak lebih menghayati dan berminat dengan buku cerita yang disertakan dengan ilustrasi.

Bagi kanak-kanak prasekolah, cerpen yang memaparkan gambar haiwan, bunga dan objek lain yang berwarna terang adalah lebih sesuai.

Buku cerita yang mengandungi nilai estetika genre haiwan, fantasi dan alat mainan menjadi pilihan kebanyakan daripada mereka.

Selain menumpukan kepada aspek estetika sesebuah naskhah, kini telah tiba masanya penerbit tempatan meneroka elemen baharu seperti penggunaan teknologi sebagai pelengkap kepada kematangan sesebuah buku untuk menawan minat kanak-kanak generasi sekarang.

Antaranya dengan menyediakan elemen seperti realiti terimbuh (augmented reality), pautan video dan penggunaan kod QR untuk diintegrasikan dengan telefon pintar yang mana dilihat akan memberikan nilai tambah kepada sesebuah naskhah.

Usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak termasuklah pembuat dasar, rumah penerbitan, ibu bapa dan guru dalam memperkasakan budaya membaca seawal usia kanak-kanak ke arah melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu dan selaras dengan slogan kempen membaca ‘Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’.

Maklumat Penulis

  1. Siti Nasarah Ismail - Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Kampus Rembau, Negeri Sembilan
  2. Mohammad Dzulhisham Che Hassim - Penolong Pendaftar, Penerbit Universiti, Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Artikel berkaitan 

6 tip menulis, membaca dan menguasai jawi dengan baik

Anak 5 tahun masih gagal membaca? Ini penjelasan daripada pengetua tadika

Transformasi Pusat Sumber KEMAS Pasir Salak pupuk sifat anak muda minat membaca


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan