kelas-bahasa-isyarat-kemas-UPSI
kelas-bahasa-isyarat-kemas-UPSI

Transformasi Pusat Sumber KEMAS Pasir Salak pupuk sifat anak muda minat membaca

Adlan Farhan Azwan
12 Jul 2022 12:02pm
A
A
A

Menyedari kepentingan memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak, Perpustakaan Tuanku Bainun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan transformasi Pusat Sumber Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Kampung Pasir Salak, Perak, baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, transformasi itu memberi fokus kepada penyediaan ruang yang lebih kondusif dengan penambahan sebanyak 300 buah naskah buku terkini bernilai RM4,500 yang diperoleh daripada agensi luar seperti Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta syarikat penerbitan Karangkraf.

“Selain buku-buku bacaan umum dan bacaan bergambar, ruang bacaan telah disusun hias dengan dekorasi menarik dan pelbagai rona warna perabot bagi menarik penyertaan anak-anak muda berkunjung ke pusat sumber sekaligus mewujudkan suasana seronok kepada mereka,” katanya ketika merasmikan program transformasi Pusat Sumber KEMAS Kampung Pasir Salak.

Beliau turut berkesempatan untuk menyampaikan sumbangan berupa sebuah komputer, komputer riba dan mesin pencetak semasa majlis perasmian.

Kelas bahasa isyarat turut dibuka untuk orang ramai

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin yang berkata, inisiatif penyerahan buku dilaksanakan bagi menyokong program ‘outreach’ Pasir Salak sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung pada 1 hingga 3 Julai lalu di daerah tersebut.

“Selain transformasi pusat sumber KEMAS, seramai 22 sukarelawan ResQ Team UPSI terdiri daripada mahasiswa dan staf pelbagai fakulti serta pusat tanggungjawab turut menyumbang tenaga dengan membantu masyarakat sekitar kampung membersihkan kawasan menerusi Program Gotong Royong UPSI B40.

“Menerusi inisiatif yang digerakkan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, para sukarelawan ini turut melakukan transformasi dengan melukis mural dinding pusat sumber,” jelasnya.

Sementara itu, Norkhalid juga berkata, sebagai universiti yang cakna dengan keperluan masyarakat setempat, Jabatan Pendidikan Khas Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) turut menganjurkan Kelas Bahasa Isyarat kepada orang ramai.

“Menariknya, kelas asas bahasa isyarat yang berlangsung selama separuh hari ini disampaikan sendiri oleh Pengarah Akademik, Profesor Madya Dr Abdul Rahim Razalli dan mendapat penyertaan menggalakkan daripada guru-guru pendidikan khas," tambahnya.

Artikel berkaitan

Transformasi zon sekolah, usaha ke arah meningkatkan kebolehlihatan pejalan kaki dan keselamatan jalan raya

Perpustakaan IPTA/S yang tercantik di seluruh negara

SK Bukit Rahmat lancar TV Pusat Sumber Sekolah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok