syahrul usm
syahrul usm

"Bukan kerana saya bijak tetapi kerana berkat ibu bapa", pengakuan pensyarah lengkap tesis PhD 3 bulan

Rasyidah Zulkifi
08 Jul 2022 09:00am
A
A
A

Pensyarah di Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhamad Syahrul Fitri Zawawi, 35, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menyiapkan tesis Doktor Falsafah (PhD) perubatan dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Walaupun memakan masa yang singkat, namun tesis yang ditulis itu mendapat kelulusan cemerlang sehingga Muhamad Syahrul berjaya menamatkan PhD dalam tempoh tiga tahun di The University of Adelaide, Australia.

Lebih menarik, penulis buku bertajuk Hikayat Budak PhD: Bukti Anak Melayu Cemerlang ini juga melanjutkan pengajian tanpa memerlukan sijil sarjana kerana memperoleh kejayaan 'First Class Honours' ketika di peringkat sarjana muda.

Memakai nama gelaran Syahr Musafir, ikuti perkongsian beliau yang pernah diberi penghormatan sebagai pembawa cokmar untuk mengetuai para pegawai atasan pada istiadat konvokesyen di The University of Adelaide.

*

“Jangan tunggu saat akhir untuk tulis tesis, tetapi tulis bermula ketika hari awal pendaftaran PhD, konsisten hingga ke hari akhir untuk hantar.

"Selain itu, rancang penulisan terlebih dahulu dan tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di peringkat awal.

"Biasakan diri menulis dalam bentuk ayat dan bukan dalam bentuk poin, 'milestone', 'proposal', eksperimen, pengumpulan data, analisis, pembentangan di konferensi juga perlu ikut.

Pelbagai lagi perkongsian pengalaman secara teknikal dan bak kata orang, sebagai inspirasi dan motivasi.

Saya tidak berkongsi teori tetapi saya selalu berkongsi pengalaman secara kisah benar atau praktikal.

Tetapi di sebalik semua itu, ada satu cerita yang saya tidak pernah ceritakan. Ini ceritanya....

Saya menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD ketika saya masih belajar sarjana muda di Australia.

Saya ditawarkan biasiswa Australia, tetapi saya menerima tawaran biasiswa yang diberikan kerajaan Malaysia. Sebab apa? Dua sebab.

Satu, tawaran biasiswa Malaysia mempunyai pakej jawatan pekerjaan tetap di Malaysia selepas tamat pengajian PhD.

Disebabkan tidak pernah merancang untuk terus tinggal dan bekerja Australia, jadi pilihan biasiswa Malaysia menjadi keutamaan saya.

Dua, biasiswa Malaysia datang bersama elaun sara hidup di Australia dan juga elaun sara hidup di Malaysia walaupun saya tidak berada di Malaysia.

Duit di Australia dapat dan duit di Malaysia pun dapat. Berbeza dengan biasiswa Australia, hanya beri duit di Australia sahaja.

Saya berikan sepenuhnya elaun sara hidup di Malaysia kepada ibu bapa saya, biarkan mereka pegang kad bank saya.

Saya buat begini supaya ibu bapa dan adik saya di Malaysia lebih senang kerana ada duit masuk setiap bulan.

Jadi, tiga tahun bersamaan 36 bulan, saya menyara mereka walaupun saya bersama isteri dan anak-anak berada di Australia, hingga kami pulang ke Malaysia selepas saya tamat pengajian.

Selepas ibu saya pulang ke rahmatullah pada Feb 2020, saya diingatkan kembali bahawa segala kemudahan perjalanan pengajian akademik saya bukan disebabkan saya ini bijak, tetapi berkat kerana berbakti terhadap ibu bapa dan keluarga.

Bersempena hari lahir saya yang ke-35 saya nak sebut, jika benar mahu berjaya, berbaktilah kepada ibu bapa dan keluarga sehabis baik dan semampu yang boleh.

ALLAH telah membuktikan hakikat bahawa apabila seorang anak berbuat baik kepada ibu bapa, akan dimudahkan jalan untuk anak itu mencapai kejayaan dalam pengajian.

Artikel berkaitan

Warga emas asal Perancis tinggal di Terengganu, siapkan PhD

Pensyarah juga ibu 7 anak, buta sebelah mata raih PhD

Pejuang kanser, Junita akhirnya berjaya genggam PhD

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan