"Cikgu layak dapat lebih. Tapi ni je kami mampu bagi" - 3 perkara yang boleh dipelajari kisah guru terima hadiah kereta
Sudah pasti ramai di antara netizen sudah mengetahui kisah seorang guru yang menerima Perodua Aruz sebagai hadiah dari pelajarnya sempena persaraan beliau.
Sudah semestinya banyak jasa yang di curahnya sehingga begitu disayangi oleh semua pelajarnya yang tidak diketahui umum.
Jika hanya seorang yang berbuat demikian, mungkin itu hanyalah hal peribadi. Tapi untuk guru ini, kesemua anak muridnya yang meliputi 38 generasi (batch) sanggup mengeluarkan belanja membeli kenderaan tersebut, pastinya ada sesuatu yang istimewa di dalam diri guru terbabit.
Seorang pengguna media sosial, Siti Suryani Yaakop yang terharu akan kisah tersebut cuba mengorek rahsia apakah yang menyebabkan semua pelajar guru tersebut sanggup memberikan hadiah yang begitu besar kepadanya.
Ikuti hantaran tersebut di bawah.
*****
Semalam terbaca kisah cikgu ni. Cikgu nak bersara. Masa majlis persaraan tu, terkejut cikgu bila tengok anak muridnya semua sama-sama kongsi duit belikan beliau kereta.
Lepas tu saya baca komen ramai orang di bawah tu. Ada antaranya anak murid beliau sendiri yang komen.
"Cikgu layak dapat lebih. Tapi ni je kami mampu bagi"
"Cikgu sangat baik. Tak pernah cakap buruk pasal kami"
"Cikgu selalu kata kami semua memang dah pandai. Cuma belum jumpa cara je lagi".
Cikgu tu sendiri pula cuma kata begini, beliau cuma cikgu biasa, yang bagus tu adalah pengetua, cikgu lain dan muridnya sendiri.
Apa yang kita boleh belajar dari sini.
Pertamanya, kisah orang rendah diri dan baik hati. Orang lain semuanya bagus. Dia rasa dia biasa je. Tak cerita apa pun baik dia. Tapi orang tahu dia baik dan terbaik.
Hidup dalam akhir zaman ni memang kebanyakkan orang akan berlumba-lumba nak tunjuk dia yang terpaling sempurna. Baik. Pandai. Hebat. Kaya.
Namun baiknya kita, pandainya kita, hebatnya kita, kayanya kita tidaklah sampai ke level mana sekiranya cuma kita yang rasa. Tapi tidak sampai hasilnya pada orang lain dikeliling kita.
Keduanya, cikgu kata anak murid dia semua dah pandai pun. Cuma belum jumpa cara.
Sangkaan baik pada orang lain akan buat satu perkara ni. Buat kita rasa rendah diri. Dan percaya orang lain pun boleh cuma masanya belum tiba lagi. Apatah lagi nak pandang buruk pada orang lain yang tak punya sama kesempatan rezeki. Benda ini akan buat kita layan semua orang dengan rasa ringan hati.
Ketiganya, cikgu kata pengetua baik. Kawan kerja baik. Murid baik. Semua orang baik. Saya kira begitulah cikgu hidup dengan orang lain juga.
Menanam rasa semua orang lain lebih baik dari kita ni bukan benda mudah dan biasa. Lagi pula bila orang tu terlihat kurang dek ujian pandangan mata kita. Kadang kita manusia ni Tuhan uji cuma dengan sedikit saja kelebihan pun sudah jadi sombong mendabik dada.
Benar sekali pesan suami saya.
"Kalau kita memang orang yang bagus, kita tak perlu bagitahu orang. Orang tahu. Sebab bagus kita tu bukan kita yang rasa-rasa tapi orang lain yang merasa kesan bagusnya seorang kita".
Kerana itu semua nikmat adalah kelebihan. Juga beban ujian pada masa yang sama. Dan untuk meringankan kelebihan dan beban ini, perlu diletak di atas semuanya adalah...akhlak.
Artikel berkaitan
17 ciri-ciri guru hebat yang perlu dihayati warga pendidik
8 ciri pemimpin sekolah yang menjadi dambaan guru di Malaysia
Tidak rapat dengan cikgu? Ini 5 strategi membina hubungan positif antara guru dan murid