Cipta model roket bahan api pepejal ketika usia 9 tahun, Khawo kini ‘Rocketeer Termuda Malaysia’
Cipta model roket bahan api pepejal ketika usia 9 tahun, Khawo kini ‘Rocketeer Termuda Malaysia’

Cipta model roket bahan api pepejal ketika usia 9 tahun, Khawo kini ‘Rocketeer Termuda Malaysia’

webadminwebadmin
09 Aug 2022 10:28am

Bakat dan kebolehan pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Syed Omar, Alor Setar, Kedah memang membanggakan ramai.

Mana tidaknya, seawal usia sembilan tahun, salah seorang pelajar sekolah ini, Muhammad Khawarizmi Muhamad Kamalrul Zaman sudah mampu mencipta dan mereka bentuk model roket bahan api pepejalnya sendiri.

Dalam masa yang sama, Muhammad Khawarizmi atau mesra dipanggil Khawo turut berupaya menggunakan perisian Computer-aided design (CAD) Fusion 360 dan mencipta aplikasi telefon untuk mengawal pelancaran dan pergerakan roketnya.

CAD Fusion 360 adalah perisian berasaskan 'cloud' dari Autodesk yang berupaya membuat permodelan secara objek tiga dimensi (3D).

Lebih menarik lagi, hasil usaha bersama bapanya, Muhamad Kamalrul Zaman Zainol, Khawo telah berjaya menyiapkan pengaturcaraan untuk mesin analisis di makmal dan penghasilan bahan api roket.

Berkongsi pengalaman menghasilkan roket berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Khawo berkata, perisian CAD Fusion 3D digunakan bersama dengan mesin pencetak 3D untuk mencetak model roket, sebelum diuji dan dilepaskan dengan menggunakan bahan api.

“Saya akan mereka bentuk dan melukis terlebih dahulu struktur roket yang hendak dihasilkan dalam bentuk dua dimensi (2D), kemudian akan eksport kepada perisian CAD Fushion 3D sebelum print menjadi model roket.

“Saya dan ayah mengkaji dan melakukan semuanya ini tanpa sebarang pengetahuan. Kami banyak membuat eksperimen sehinggalah berjaya menghasilkan roket tersebut setahun kemudian, ketika saya berumur 10 tahun,” ujarnya.

Sebelum itu, bakat anak sulung daripada tiga adik beradik ini mula mendapat perhatian banyak pihak apabila videonya yang menggunakan perisian untuk menghasilkan roket secara 3D dimuat naik pada tahun 2019 di YouTube dan tular di media sosial pada 2020.

Video berdurasi 2 minit 17 saat yang memaparkan kepakaran Khawo mereka bentuk, memasang dan melancarkan sendiri model roket bahan api pepejal itu menyebabkan dia digelar sebagai ‘Rocketeer Termuda Malaysia’.

Lazimnya, perisian CAD Fushion 3D dan mesin cetak 3D digunakan oleh pelajar universiti dalam bidang kejuruteraan untuk membentuk model 3D sebelum dijadikan model yang sebenar.

Sementara itu, ayah Khawo yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Sains di Jabatan Kimia Malaysia, Cawangan Kedah sejak 2010 berkata, anaknya itu mampu menggunakan perisian berkenaan bagi menghasilkan roket sendiri ketika berusia 10 tahun lagi.

Dan sebagai ayah, dia hanya membantu dari segi penggunaan bahan api dan keselamatan dalam mengendalikan roket pada fasa akhir sebelum ia dilancarkan.

Aplikasi khas untuk ibu bapa

Dalam pada itu, Khawo telah memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini dengan mempelajari perisian Unreal Engine untuk membina permainan pelancaran roket Maya.

“Selepas menghasilkan roket, saya dan ayah terfikir untuk memindahkan pelancaran roket dalam bentuk animasi dan permainan dalam talian, jadi kami sama-sama mengkaji dan berjaya menghasilkan permainan berasaskan pendidikan sesuai untuk kanak-kanak dan remaja.

“Pada penghujung 2020, saya sudah mula fokus kepada game developing, coding, programming dan pembentukan aplikasi yang dapat mengawal pelancaran roket dengan menggunakan telefon dan wireless,” beritahunya lagi.

Hasil gandingan dua beranak itu, maka mereka turut berjaya membina permainan dalam talian yang berasaskan pendidikan dengan menggunakan perisian 4S Game.

“Modul permainan dalam talian ini kami brainstorm bersama-sama sejak penghujung 2020. Buat masa sekarang hanya pada peringkat pemain tunggal sahaja.

“Bagi mencapai peringkat berbilang pemain kami sedang dalam proses uji kaji dengan menyimpan data sejarah permainan yang mana pemain boleh simpan dan muat naik untuk meneruskan permainan mereka,” tambah Khawo.

Bakat Khawo diintai Pusat Sains Negara

Bakat yang dimiliki oleh Khawo itu turut membuka peluang kerjasama dengan Pusat Sains Negara dalam membangunkan aplikasi ARKids iaitu gabungan teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR).

Aplikasi berkenaan baru sahaja dibentangkan kepada Pusat Sains Negara dan masih dalam peringkat uji kaji.

Aplikasi itu boleh digunakan oleh pelawat sebelum memasuki bangunan Pusat Sains Negara dengan mengimbas kad dan mereka akan dibantu dengan pelbagai infomasi melalui pemandu pelancong secara maya ketika melawat kawasan pameran.

Dalam perkembangan lain, ayah Khawo berkata, sebagai bapa kepada tiga anak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun, dia sering menggalakkan mereka melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti STEM, antaranya menyertai pertandingan robotik, pameran Sains, bengkel tidak kira di peringkat sekolah mahupun kebangsaan.

Katanya, setiap ibu bapa harus menggalakkan anak-anak untuk lebih cenderung mempelajari bidang STEM sebagai ilmu kelangsungan hidup.

“Zaman kanak kanak saya ketika tahun 90-an menemukan saya dengan keseronokan mereka cipta daripada bahan terpakai yang terdapat di kampung dan berterusan sehinggalah dewasa.

“Jadi, sejak anak-anak masih kecil lagi, saya sudah mendedahkan mereka dengan aktiviti inovasi seperti memberi tanggungjawab menyelesaikan hal berkaitan programming, membawa mereka melawat ke Planetarium dan Pusat Sains Negara serta menggalakkan mereka menyertai pameran dan bengkel STEM.

“Ia sesuatu yang amat berbaloi apabila melihat anak-anak saya turut menyertai ‘perjalanan’ yang saya lalui pada zaman kanak-kanak dahulu,” katanya dengan berkongsi beberapa pencapaian Khawo dalam aktitiviti STEM iaitu dinobatkan sebagai Ikon Kid STEM sempena majlis pelancaran program Malaysia Techlympics 2021 di Taman Teknologi Malaysia.

Malah, Khawo dan ayahnya juga turut mengambil bahagian dalam Malaysia Techlympics 2022 dan bercadang memperkenalkan inovasi roket mereka yang dicipta sejak tiga tahun lepas.

Cungkil bakat anak

Selain Khawo, dua adik lelakinya iaitu Khazini dan Muhamad Al Amin turut cenderung dalam aktiviti Sains dan inovasi apabila kerap menghasilkan sesuatu daripada bahan-bahan yang ada di sekeliling.

“Khazini banyak melibatkan diri dalam aktiviti ‘game development’ menerusi perisian Unreal Engine dan Blender sama seperti abangnya, manakala Al Amin pula lebih kepada seni lukis.

“Saya mengenal pasti bakat dan kecenderungan anak-anak sejak kecil lagi dan cuba untuk menyokong mereka daripada segi membekalkan bahan, menyediakan bilik khas mini makerspace di rumah yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan teknologi.

“Dari segi peruntukan, saya tidak kisah untuk berbelanja lebih untuk aktiviti STEM ini. Ia kerana, saya pernah menjual sebuah kereta sebelum ini dan menggunakan wang yang diperoleh untuk membeli peralatan bahan pembelajaran berkaitan STEM untuk anak-anak,” ujarnya.

Sambung Muhamad Kamalrul lagi, jika ibu bapa tidak mampu menyediakan kemudahan ataupun sokongan kewangan, sekurang-kurangnya berikanlah kata-kata semangat dan dorongan agar anak-anak dapat melakukan yang terbaik dalam apa jua yang mereka ceburi.

“Misalnya, jika anak cenderung kepada seni lukis, ibu bapa boleh membimbingnya untuk mempelajari perisian komputer berkaitan animasi,” tuturnya mengakhiri bicara.

Sumber: BERNAMA

Artikel berkaitan 

7 kriteria pemarkahan inovasi atau produk yang perlu guru ambil tahu. Penting!

Penyelidik cipta dron pelbagai fungsi, inovasi tingkat produktiviti pertanian

Pensyarah hasilkan inovasi aiskrim misai kucing rendah kalori


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan