img232321324
img232321324

Cubaan culik pelajar SMK Subang digagalkan kariah masjid, ini pesanan penting buat ibu bapa

Adlan Farhan Azwan
08 Oct 2022 04:36pm
A
A
A

Sejak kebelakangan ini, kerisauan ibu bapa semakin memuncak apabila banyak kes penculikan membabitkan pelajar sekolah rendah mahupun menengah dilaporkan di dada akhbar.

Baru-baru ini, salah seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang, Shah Alam Selangor hampir menjadi mangsa penculikan apabila seorang lelaki yang tidak dikenali telah mengacukan senjata lalu membonceng motosikal pelajar tersebut dan mengarahkan supaya bertindak mengikut arahannya.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.20 pagi pada Rabu lalu itu berjaya dipatahkan oleh kariah masjid apabila pelajar tersebut berhenti di kawasan masjid.

Kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Subang hari ini memaklumkan, laporan polis telah dibuat untuk siasatan dan tindakan seterusnya.

“Pelajar berkenaan telah dibawa ke sekolah dan diberikan kaunseling serta dimaklumkan kepada ibu bapa,” menurut kenyataan itu.

Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan keberadaan anak-anak sepanjang masa dan masalah ini boleh diatasi sekiranya semua masyarakat bekerjasama bagi mengelakkan perkara ini berulang.

Dalam kenyataan yang sama, PIBG SMK Subang turut mengingatkan ibu bapa dengan menasihati anak-anak agar sentiasa berhati-hati dan waspada.

“Jangan biarkan anak berseorangan sewaktu keluar rumah ke sekolah atau ke mana sahaja.

“Ibu bapa perlu mengambil berat tentang masyarakat dan suasana sekitar serta pastikan anak-anak selamat sampai ke sekolah atau rumah apabila sampai waktu.

“Semoga kes ini menjadi iktibar, ingatan, tauladan dan pengajaran buat semua terutamanya ibu bapa untuk sentiasa peka dengan persekitaran masyarakat sekeliling,” tambahnya.

Jelasnya lagi, PIBG menyeru semua ibu bapa supaya dapat hadir mengambil bahagian secara aktif dan memberikan kerjasama terbaik dalam apa jua aktiviti dan program yang dianjurkan sekolah dan PIBG.

“Ini kerana semakin hari penglibatan ibu bapa semakin menurun terutama di sekolah menengah.

“Kerjasama yang baik antara masyarakat, ibu bapa dan pihak sekolah amatlah diperlukan dalam membentuk generasi yang gemilang untuk kepentingan masyarakat dan keluarga,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Murid sekolah jadi sasaran penculik, ibu bapa boleh ikuti 10 tip ini elak anak jadi mangsa

Pesanan untuk ibu bapa '"mohon kurangkan perkongsian maklumat anak di media sosial"

Tingkat pertahanan diri dengan silat sejak sekolah rendah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan