Pasukan Silat Olahraga Sekolah Kebangsaan Pujut Corner, Miri, Sarawak.
Pasukan Silat Olahraga Sekolah Kebangsaan Pujut Corner, Miri, Sarawak.

Tingkat pertahanan diri dengan silat sejak sekolah rendah

Rasyidah Zulkifi
13 Jun 2022 11:46am
A
A
A

Kebelakangan ini banyak kes buli berlaku dalam kalangan pelajar sekolah dan disebabkan itulah ramai ibu bapa menghantar anak masing-masing untuk mempelajari seni mempertahankan diri dalam usaha menyelamatkan diri apabila berdepan situasi kecemasan mahupun bahaya.

Silat merupakan salah satu seni mempertahankan diri yang boleh dipelajari para pelajar dan ia telah diwujudkan dalam kelab kokurikulum baik di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Bagi Ahmad Hadif Ahmad Firdaus, 13, penglibatannya di dalam sukan tersebut adalah secara tidak sengaja ketika dia berada di Tahun Tiga.

Dia yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri, Miri, Sarawak, pada mulanya mengakui tidak berminat dengan ilmu persilatan, namun mendapati ada sesuatu yang menarik perhatiannya berkenaan seni tersebut.

“Saya ingat lagi, ayah ada beritahu, silat bukan sahaja untuk mempertahankan dan melindungi diri tetapi ia juga dapat membentuk disiplin, jati diri, membina kecergasan dan juga kemahiran sosial.

“Walaupun pada mulanya saya menyertai sukan ini sekadar suka-suka tetapi disebabkan nasihat ayah itu, ia membuatkan saya bertahan sehingga hari ini.

“Alhamdulillah, pada masa yang sama, saya tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan dalam sukan ini termasuk mewakili sekolah,” katanya yang pernah mendapat tempat pertama dalam pertandingan sukan silat ketika berada di Tahun Empat.

Sokongan keluarga

Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitannya di dalam sukan tersebut, Ahmad Hadif memberitahu, dia cukup berterima kasih kepada guru, keluarga dan kawan-kawan kerana selain menjadi penyokong setia, mereka jugalah tempat untuk Ahmad Hadif mendapatkan nasihat dan semangat untuk terus aktif.

“Tidak dinafikan, sukan ini tergolong dalam aktiviti riadah, jadi apabila terpilih untuk memasuki pertandingan sudah pasti auranya berbeza.

“Masa inilah mereka semua menjadi pembakar semangat untuk saya tidak gentar bersaingan dengan yang lain,” tuturnya lagi.

Meneruskan perbualan, Ahmad Hadif berkata, sejak dia bergiat aktif dalam sukan silat, dia telah mengumpul banyak sijil penyertaan.

Pasukan Silat Olahraga Sekolah Kebangsaan Pujut Corner, Miri, Sarawak.

Kini sejak menyambung pengajian di peringkat menengah, Ahmad Hadif pastinya akan terus aktif dan sudah merancang untuk menyertai satu pertandingan pada bulan hadapan.

Berbeza pula bagi pelajar SMK Baru, Miri, Sarawak, Muhamad Arfaeizlan Arbi, 13, kerana dia mempelajari seni silat kerana berminat sejak kecil.

“Saya sememangnya meminati sukan ini sejak kecil dan menjadi bertambah aktif kerana ramai rakan-rakan yang turut menjadikan seni ini sebagai riadah masa lapang.

“Daripada riadah, akhirnya saya membuat keputusan untuk serius dengan menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan.

“Pastinya ibu, bapa dan cikgu menjadi pendorong utama untuk saya terus maju di dalam sukan ini malah bapa banyak membantu di awal pembabitan ketika di Tahun Empat,” katanya.

Pengalaman dan cabaran

Walaupun sudah berpengalaman dan meraih banyak kemenangan dalam kejohanan silat, Muhamad Arfaeizlan mengakui pernah berdepan cabaran di mana mengalami kesukaran untuk bernafas ketika berada di dalam gelanggang.

Begitupun, segala-galanya dijadikan pengalaman dan yang pastinya iktibar untuk masa depan.

Katanya lagi, melalui aktiviti persilatan tersebut juga, dia dapat mengeratkan lagi silaturahim dengan orang ramai selain berkesempatan untuk melakukan persembahan mewakili sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

Ulasnya lagi, sukan silat juga secara tidak langsung dapat menjadikan dirinya seorang yang berani dan berkeyakinan tinggi.

Tidak mahu sekadar menjadikan sukan tersebut sebagai aktiviti di peringkat sekolah rendah dan menengah, anak bongsu daripada empat adik beradik ini akan meneruskannya di peringkat yang lebih tinggi jika berpeluang.

“Saya percaya seni silat ini juga ada di institusi pengajian tinggi (IPT) dan sudah pasti ingin terus aktif agar apa yang dipelajari selama ini tidak sia-sia.

“Lagipun saya ingin mewakili negara dan mengharumkan nama Malaysia sekiranya berpeluang satu hari nanti,” katanya mengakhiri bicara.

**

Anugerah dan pencapaian,

AHMAD HADIF AHMAD FIRDAUS

1. Naib Johan Seni Jurus wajib Kategori Putera (Silat-silat Sekolah Menengah Dan Rendah Daerah Miri 2018)

2. Anugerah Adiwira Kokurikolum 2019 (Pasukan Silat Sekolah 2019)

3. Tempat ke-7 Pertandingan Seni Silat (Persatuan Silat Sekolah Kebangsaan (SK) Pujut Corner, Miri, Sarawak)

4. Murid Terbaik Kokurikulum Kategori Pasukan Badan Beruniform (Anugerah Kokurikulum SKPC 2021)

5. Naib Johan Pertandingan Cabaran Pencak Silat Seni Tari Lelaki Sekolah Rendah (Karnival Kokurikulum Secara Dalam Talian Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2021-Karnival E-mansang Anak Sarawak Ke-2)

6. Anugerah Cemerlang Kokurikulum (Kategori Pencapaian Di Luar Sekolah)

MUHAMAD ARFAEIZLAN ARBI

1. Johan Silat Seni Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekolah rendah (Seni Tempur peringkat daerah Miri)

2. Naib johan Silat Seni KPM (Seni Tempur peringkat negeri Sarawak)

3. Peserta Silat Seni KPM Kebangsaan mewakili negeri Sarawak

4. Johan Kejohanan 1 Sekolah 1 Silat (1S1S) negeri anjuran Rumpun Silat Sarawak (RSS) dan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA)

Artikel berkaitan

Keluarga jadi penguat semangat, Al Jufferi cipta hatrik dalam Sukan SEA

Pesilat perlu berani, kuasai kemahiran menerusi latihan berterusan

7 tip menjadi atlet silat yang berjaya 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok