“Dalam setiap kesusahan dan kepayahan, pasti ada kesenangan di kemudian hari”, bapa kongsi hikmah jika anak duduk di asrama

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
08 Apr 2022 02:27pm

Kehidupan asrama merupakan kenangan indah bagi sesiapa yang pernah mengalaminya. Segala kisah manis dan juga pahit yang dilalui ketika berada di asrama telah membentuk seseorang itu sehingga ke dewasa.

Menyesuaikan diri untuk berada di asrama boleh menjadi pengalaman yang sukar bagi seseorang remaja lebih-lebih lagi apabila dia dibesarkan dalam persekitaran yang sentiasa dibantu oleh keluarga.

Namun, ia tidak bermakna mereka tidak berjaya menduduki asrama sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Banyak persiapan yang perlu dilakukan oleh seseorang itu jika ingin duduk di asrama terutamanya dari segi mental.

Baca juga

Ini kebaikan Sekolah Berasrama Penuh yang pelajar perlu tahu!

“MRSM tak dapat, SBP tak dapat, nak jadi apa?”, murid kecewa dibandingkan pencapaian dengan individu lain

Kali ini, Sinar Bestari ingin berkongsi satu hantaran oleh Afnan Hamimi di laman Facebook tentang bagaimana sebenarnya hikmah yang boleh diambil jika seseorang pelajar itu duduk di asrama

Ikuti perkongsian tersebut.

*

PERTAMA:

Melatih sikap berdikari yang tinggi terhadap anak. Berdikari ini nama pendek. Nama panjangnya berdiri atas kaki sendiri. Sikap berdikari penting supaya anak kita esok-esok nanti, hidupnya tidak perlu bergantung pada orang lain. Dia boleh urus hidupnya dan keluarganya.

Kita jadi mak jadi ayah pada hari ini pun disebabkan mak ayah kita dulu yang latih kita berdikari. Kalau tidak, belum tentu lagi kita jadi apa hari ini.

KEDUA:

Memberi ruang masa kepada anak-anak untuk menyesuaikan diri dengan suasana sebenar di sekolah. Sekali gus memberi latihan kepada anak untuk belajar berinteraksi secara fizikal dengan manusia lain, terutamanya dengan guru-guru mereka sendiri.

Sejak pandemik Covid-19, sudah dua tahun asyik mengadap skrin gajet, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehinggakan tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling, tidak pandai berinteraksi secara fizikal. Dalam TikTok dan Whatsapp, bukan main ramah. Tetapi apabila jumpa berdepan, senyap tidak bercakap apa. Tidak tahu cara berinteraksi.

Bayangkan kalau anak kita berterusan macam ini, macam mana agaknya kesan kepada sistem sosial dalam masyarakat kita.

Belajar ini kena berguru, bersemuka, duduk berlutut, talaqqi ilmu dengan guru. Baru dapat ilmu. Baru ada keberkatan.

KETIGA:

Baru kita rasa apa perasaan mak ayah pada kita selama ini.

Bila sekolah maklum kata anak hanya dibenarkan balik masa ketika dekat raya nanti. Kita kecewa, sedih sampai menitik air mata.

Sebenarnya, kita sudah buat benda yang sama pada mak ayah kita. Kita hanya sempat balik jenguk mak ayah di kampung masa ketika hampir raya nanti. Itupun kalau dapat cuti.

Mak ayah kita pun rindu dekat kita, sama macam kita rindu dekat anak-anak kita. Walaupun kita dah dewasa, mak ayah kita dah berusia, tapi perasaan rindu itu tetap ada sampai bila-bila.

Tetapi, mak ayah kita sabar. Rindu, tetapi tahan perasaan itu. Mereka letak kita duduk di asrama, duduk mengaji di pondok, ajar jadi susah, ajar berdikari, sebab hendak tengok kita jadi orang. Ingin tengok kita berjaya macam hari ini kerana didikan mak ayah kita dululah, maka kita jadi apa yang kita jadi hari ini.

KEEMPAT:

Peluang untuk kita susun balik cara kehidupan kita di rumah.

Waktu kita duduk berenggang dengan anak ini, baru kita ingat balik apa yang kita buat selama ini pada dia. Anak juga akan ingat satu persatu semua pengalaman yang dia lalui bersama kita. Ada yang silap, ada yang salah, ada juga yang baik dan menggembirakan.

Waktu inilah, kita akan rasa bersalah, rasa menyesal, dan seribu satu macam perasaan lagi. Satu-satu benda ini, masa ada kita tidak hargai. Bila tiada, punyalah rasa berharga.

Untunglah kita masih ada anak. Orang lain ada yang belum dapat rezeki dikurniakan anak. Ada yang anaknya lebih awal dijemput ALLAH ketika usia kecil. Lagilah rindu kalau macam itu.

Percayalah, bila anak kita balik rumah nanti, suasana rumah kita akan jadi lebih teratur dan ceria.

Anak kita akan bawa balik disiplinnya di asrama. Bangun awal. Solat awal, berjemaah sekali. Pandai kemas bilik, pandai basuh baju, pandai tolong kita kemaskan rumah dan lain-lain.

Waktu itu, hati kita akan rasa lapang, rasa sejuk dan tenang tengok akhlak anak-anak kita. Baru kita rasa berbaloi dan puas hati hantar anak kita duduk di asrama. Baru kita tahu sebab apa pihak sekolah tidak benarkan anak kita balik rumah selagi belum sampai masa.

Tidak percaya? Tunggu dan tengoklah nanti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Banyak lagi hikmah-hikmah lain yang mungkin boleh disenaraikan, bergantung kepada pengalaman yang dilalui oleh masing-masing.

Bertuah kita ada anak, boleh diterima masuk belajar di sekolah yang diidamkan. Ini semua kurniaan ALLAH pada kita dan anak kita.

Memanglah rasa susah, rasa payah, tetapi disetiap kesusahan dan kepayahan itu, pasti ada kesenangan di kemudian hari. Itu janji ALLAH. ALLAH tak pernah mungkir janjiNya pada kita

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan