Didik anak uruskan wang dengan bijak
Keadaan ekonomi negara yang tidak stabil hari ini merupakan alasan kukuh untuk ibu bapa mula mendidik anak-anak menguruskan wang dengan bijak.
Tidak dinafikan, proses mendidik anak-anak memerlukan kesabaran yang tinggi lebih-lebih lagi untuk mengubah persepsi mereka agar tidak melakukan pembaziran.
Kanak-kanak seusia mereka yang mempunyai pelbagai keinginan menyukarkan ibu bapa untuk membantu anak-anak agar lebih berjimat cermat.
Oleh itu, ibu bapa perlu bijak memikirkan langkah yang proaktif bagi memastikan masa depan anak-anak terjamin.
Berikut dikongsikan cara-cara menguruskan wang dengan bijak:
1) Membuat simpanan di bank seawal usia
Ibu bapa perlu membuat simpanan untuk anak-anak di awal usia lagi. Biarpun, anak-anak masih tidak mengerti, namun dengan adanya akaun sendiri mereka akan terlatih sejak kecil untuk menabung.
2) Memberi elaun
Menabung bukan alasan untuk anak-anak tidak boleh memegang duit sendiri. Kadangkala dengan memberi sedikit duit poket kepada mereka akan membuatkan mereka bersemangat untuk mengumpulkan wang sedikit demi sedikit.
3) Mendidik anak-anak membuat pilihan
Ibu bapa perlu memberi peluang kepada anak-anak membuat pilihan. Sebagai contoh, jangan menghalang mereka apabila mereka ingin membeli sesuatu yang diingini. Sekiranya pilihan mereka salah, dengan sendirinya anak-anak akan belajar daripada kesilapan dan akan bertindak lebih bijak di kemudian hari.
4) Mengajar anak melabur
Memperkenalkan kebaikan melabur juga cara terbaik mendidik anak-anak menguruskan wang dengan baik. Ibu bapa boleh menggunakan permainan SAIDINA bagi mendedahkan mereka mengenai pelaburan. Melalui permainan ini anak-anak boleh mengaplikasikannya dalam kehidupan sebenar.
5) Mendedahkan keburukan berhutang
Ibu bapa perlu memberi pendedahan mengenai keburukkan berhutang. Melalui pendedahan ini, pemikiran anak-anak akan terdidik sejak kecil dan mereka harus menyimpan duit sendiri bagi mengelakkan kejadian berhutang.
6) Jangan terlalu mengikuti kemahuan anak
Ibu bapa juga tidak boleh terlampau mengikuti kemahuan anak-anak untuk mendapatkan sesuatu. Tindakan ini (mengikuti kehendak anak-anak) akan memberi kesan negatif di mana mereka akan terbiasa dengan sifat boros.
Didikan ini sangat penting kerana ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorak diri anak-anak sejak mereka kecil.
Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi orang tua yang bijak dalam mengatur dan menyusun strategi demi masa depan yang terjamin.
Sumber: Tip cara terbaik mendidik anak menabung dan mengurus duit
Artikel berkaitan
Terpilih sebagai Felo Perdana, 4 anak muda Malaysia tak sabar berkhidmat untuk negara
7 ancaman internet, guru dan pelajar perlu lebih berhati-hati
4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat