Generasi baharu perlu kuasai kemahiran menulis dan membaca tulisan jawi
Generasi baharu perlu kuasai kemahiran menulis dan membaca tulisan jawi

Generasi baharu perlu kuasai kemahiran menulis dan membaca tulisan jawi

Roshlawaty Md Raieh
18 Apr 2022 02:23pm
A
A
A

Tulisan jawi telah dijadikan sebagai medium asas untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) Pendidikan Islam di sekolah pada hari ini.

Bagi pelajar yang dapat menguasai kemahiran penulisan jawi, sudah tentunya proses pembelajaran akan menjadi mudah dan mereka dapat memahami isi kandungan Pendidikan Islam dengan baik.

Bagaimanapun, pelajar yang belum mampu membaca dan menulis jawi dengan lancar, masih ada masa untuk belajar.

Sebagai umat Islam, wajar untuk kita menguasai dan mempelajari tulisan jawi bagi memudahkan membaca al-Quran kerana kalam ALLAH itu bersumberkan huruf-huruf tulisan Arab yang juga hampir keseluruhannya sama dengan tulisan jawi.

Menurut Pensyarah, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Mohd Aderi Che Noh, pelajar sekolah wajar mempelajari tulisan jawi supaya ia tidak pupus dan dapat dikuasai generasi akan datang.

“Tulisan jawi mempunyai nilai estetika yang tinggi, klasik dan unik. Namun, masih ramai yang tidak memahami tulisan ini kerana kelemahan mereka ketika mempelajari jawi.

“Sangat rugi jika golongan muda gagal membaca dan menulis dalam jawi sekali gus tidak dapat mengaji al-Quran. Justeru, semua pihak seperti guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam perkara ini,” ujarnya.

Mohd Aderi

Ditanya mengenai kepentingan tulisan jawi, Mohd Aderi berkata, pelajar yang dapat menguasainya dilihat dapat memahami pelbagai ilmu dalam Pendidikan Islam. Malah, mereka juga dapat memperkasakan bidang Tilawah al-Quran, Aqidah, Ibadah, Sirah Nabawi dan Akhlak Islamiah.

Dalam perkembangan lain, ramai yang menyifatkan tulisan jawi ini makin dilupakan kerana lebih memberi perhatian kepada Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa komunikasi utama dunia.

Oleh itu, mesti ada usaha-usaha dalam mengekalkan tulisan jawi daripada terus dilupakan oleh generasi muda hari ini.

Tambah Mohd Aderi, ada beberapa cadangan yang mungkin boleh digunakan bagi menggelakkan tulisan jawi hilang begitu sahaja.

“Saya cadang jadikan jawi sebagai buku teks Pendidikan Islam dan memilih hari Jumaat sebagai Hari Jawi.

“Boleh juga biasakan pengajaran Pendidikan Islam dengan tulisan jawi supaya pelajar dapat kuasai dengan cepat. Selain itu, memperkasakan jawi melalui sistem pendidikan, mengadakan kempen cintakan dan memartabatkan tulisan jawi dan seterusnya memperkenalkan siri pertandingan bacaan jawi dan menulis agar anak-anak terus mencintai bahasa tersebut,” tuturnya dengan menambah, mempelbagaikan kaedah pengajaran jawi seperti kaedah-kaedah pandang sebut, fonetik, abjad, latih tubi, permainan, nyanyian, imlak dan mengeja antara yang dapat membantu pelajar mahir dalam tulisan jawi.

Untuk menggelakkan tulisan jawi pupus, Mohd Aderi berharap ia dapat diterapkan dalam sistem pendidikan negara kerana ia teras kekuatan jati diri bangsa dan sebagai agenda nasional.

Malah, perkembangan tamadun Islam di Nusantara juga bermula dengan wujudnya tulisan jawi, justeru ia perlu dimartabatkan dalam alam nusantara.

Jelasnya lagi, guru-guru Pendidikan Islam perlu teruskan usaha memperkenalkan tulisan jawi sebagai wadah PdP harian agar pelajar dibiasakan membaca dan menulis jawi.

Ini sekali gus dapat mengekalkan tulisan jawi dalam pembelajaran Pendidikan Islam, manakala kerajaan terus memberi sokongan untuk mendaulatkan tulisan ini demi mengekalkannya dalam alam Melayu sebagai jati diri bangsa Melayu.

Pelbagaikan aktiviti menarik

“Penguasaan pelajar dalam tulisan jawi pada masa kini kurang memberangsangkan,” demikian kata Guru Pendidikan Islam, Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota (2), Kuala Lumpur, Nisa Radhiah Mohd Isa, 27.

Ujarnya, penguasaan pelajar dalam tulisan jawi secara umumnya agak lemah dan semakin merundum bahkan langsung tidak dapat memahami tulisan jawi dengan baik.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir pelajar yang menguasai pemahaman dan tulisan jawi dengan baik mengikut tahap masing-masing.

Di SK Danau Kota (2) pula, Ustazah Nisa memberitahu, murid-muridnya cukup berminat dalam pembelajaran tulisan jawi.

Mereka sering memberi tumpuan yang baik semasa proses PdP bagi subjek ini.

Namun begitu, masih terdapat sekelompok murid yang tidak menunjukkan minat terhadap jawi kerana mereka anggap subjek tersebut susah.

“Untuk menarik minat murid-murid ini, saya akan melakukan aktiviti-aktiviti yang berbeza di samping menyediakan pelbagai bentuk bahan bantu mengajar yang berkesan.

“Selain itu, saya turut memberi kesedaran kepada murid-murid mengenai kepentingan menguasai jawi.

“Ini kerana, penguasaannya sangat penting bagi pembelajaran subjek Pendidikan Islam. Oleh itu, mereka perlu menguasainya dengan baik agar dapat memahami setiap topik dalam mata pelajaran tersebut,” katanya.

Ustazah Nisa

Ustazah Nisa menitipkan sedikit nasihat untuk semua pelajar supaya berkemahiran dan menguasai jawi dengan baik serta cinta akan tulisan tersebut yang merupakan warisan budaya bangsa.

“Bahasa jawi mempunyai nilai estetika yang tinggi dan merupakan lambang kesenian dalam identiti umat Islam. Generasi sekaranglah yang perlu memartabatkan tulisan jawi agar ia dapat digunakan secara meluas seperti dahulu di masa akan datang,” tuturnya.

Sentiasa beri sokongan

Sokongan ibu bapa merupakan tunggak kepada penerapan minat murid dalam menggunakan tulisan jawi.

Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2), Dr Nor Hisham Ismail, 48, berkata, ibu bapa dan ahli keluarga perlu membudayakan bacaan dan penggunaan tulisan jawi sejak dari kecil lagi.

“Jika bermula pada peringkat awal, saya yakin anak-anak dapat menguasainya dengan begitu baik sekali.

“Malah, sekiranya ibu bapa mahu mempertingkatkan lagi bacaan tulisan jawi, mereka haruslah menyediakan bahan bacaan yang pelbagai dan sentiasa ditambah dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Nor Hisham

Dalam pada itu, PIBG sekolah ini sentiasa menyokong sekolah dalam semua aktiviti yang dianjurkan terutama aktiviti berkaitan perkembangan dan kecemerlangan murid.

Sebagai wakil ibu bapa, Nor Hisham sentiasa mengamalkan sikap dasar terbuka dalam setiap keputusan yang diambil terutamanya bagi perkara yang melibatkan anak-anak.

“Bagi memastikan pelajar dapat menguasai subjek dan tulisan jawi dengan baik, setiap usaha pihak sekolah akan tetap kami sokong termasuklah berkaitan peningkatan tulisan jawi.

“Malah kami juga ada beberapa cadangan aktiviti untuk sekolah lakukan bagi memperkasakan perkara tersebut seperti memperbanyakkan bahan bacaan dalam tulisan jawi di sekolah dan perluaskan penggunaan tulisannya di tempat lain seperti di papan kenyataan, label dan mural dalam pekarangan sekolah,” ujarnya.

Bagi pelajar SMK Saujana Utama, Kuala Selangor, Selangor, Muhammad Amin Kamaruddin, 17, kelebihan menguasai tulisan jawi membolehkannya membaca pelbagai jenis tulisan berkenaan di segenap tempat.

Malah, pelajar ini juga memperoleh sedikit pendapatan sampingan dengan membantu guru-gurunya menulis jawi di beberapa tempat di sekolah.

Muhammad Amin

Menurut Muhammad Amin, dia mempelajari tulisan jawi ketika berumur 10 tahun. Setelah berjaya menguasainya, dia mempelajari pula beberapa jenis khat seperti khat Nasakh, Thuluth, Riq’ah, Zukhrufah, Thuluth Jali, Diwani Jali dan Farisi.

“Pada mulanya memang agak sukar, tapi dengan tunjuk ajar Ustaz Khairul Anuwar Tamrin, semuanya jadi senang.

“Di sini, saya hendak nasihatkan kepada semua supaya belajarlah bahasa dan tulisan jawi kerana ia adalah identiti negara kita,” katanya mengakhiri perbualan.

APA KATA MEREKA

“Jangan malu jika tidak tahu membaca jawi. Masih ada masa untuk belajar dengan mereka yang pakar. Yang penting, sentiasa bersemangat untuk menimba ilmu.” - Aliff Neo Ghazy Mohamad Zaid, 12, SK Kampung Baharu, Jerantut, Pahang.

Aliff Neo Ghazy

"Bila sudah menguasai jawi, saya dapat membaca pelbagai jenis buku yang dihasilkan dengan tulisan tersebut dan mampu mengaji al-Quran dengan lancar. Terima kasih mama dan ustazah yang banyak mengajar saya tentang tulisan jawi ini.” - Nur Alya Adrianna Mohamad Faizal, 12, SK Kampung Johan Setia, Klang.

Nur Alya Adrianna

"Sebagai generasi baharu, tentulah saya gembira kerana dapat menguasai tulisan jawi dengan baik. Sekurang-kurangnya saya dapat mengasah minda dan menambah ilmu pengetahuan tentang bahasa dan tulisan jawi tersebut.” - Ahmad Wafiy Naufal Ahmad Fairuz, 12, SK Seri Muda, Kedah.

Ahmad Wafiy Naufal

INFO

9 cara terkini belajar menulis jawi

1) Guna dulang pasir (sand tray)

Cari dulang pasir yang murah dipasaran. Boleh juga guna bekas bersaiz segi empat yang agak cetek dan leper serta isi bekas tersebut dengan pasir. Kemudian, lukis huruf-huruf jawi dengan jari anak-anak di atas dulang pasir dengan pengawasan anda. Aktiviti ini bukan sahaja memudahkan mereka mengenal huruf jawi tetapi ia juga boleh merangsang pergerakan motor dan sensor mereka.

2) Guna buku-buku yang ada dalam rumah

Cara ini adalah antara yang paling mudah. Ia hanya memerlukan anda untuk menunjukkan barang-barang yang sedia ada di rumah. Contohnya, buku. Perkenalkan kepadanya cara tulisan perkataan buku dalam jawi. Anak anda dapat memegang sekali gus mempelajari tulisan jawi untuk barang-barang di dalam rumah.

3) Tidak perlu ajar ikut turutan

Ramai yang salah anggap bahawa huruf jawi perlu diajar mengikut turutan. Kalau tidak ikut turutan pun tidak mengapa. Ajar anak dengan huruf yang senang dulu seperti alif, dal atau lam.

4) Guna playdough

Ajaklah anak bermain playdough dengan membentuk huruf-huruf jawi. Pasti mereka sukakan aktiviti ini!

5) Bercerita

Selepas anak sudah mahir dengan huruf-huruf jawi, bolehlah ibu bapa mulakan aktiviti bercerita. Ini dapat mengukuhkan lagi tahap pemahaman dan penguasaan jawi mereka.

6) Permainan

Kanak-kanak amat sukakan permainan terutamanya jika ia berbentuk interaktif. Banyak idea menarik yang boleh dapati di internet, hanya perlu Google sahaja.

7) Sediakan ruang khas

Selain menghias ruangan bilik anak dengan dekorasi, sediakanlah ruang khas untuk menampal poster jawi. Ibu bapa boleh juga menggalakkan anak untuk menampal hasil tulisan jawi di dinding ruangan khas tersebut.

8) Kraf huruf jawi

Masukkan unsur seni dalam pembelajaran jawi anak, pasti mereka sukakannya.

9) Kad imbas

Dapatkan kad imbas huruf jawi di kedai buku. Boleh juga buat sendiri dan apabila telah siap, boleh ajak anak melakar jari di atas huruf-huruf tersebut.

Pastikan anak menyebut huruf-huruf jawi itu supaya mereka kenal rupa bentuk dan juga sebutan yang tepat.

Artikel berkaitan 

Sejarah asal-usul tulisan jawi

UPSI tawar kursus pengajian minor Jawi, lahir graduan berkebolehan dalam bidang jawi

5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan